Apakah majalah Dewan
Sastera menjadi mangsa April Fool’s Day sehingga terpedaya
untuk menyiarkan data palsu dalam keluaran April 2017?
Saya membeli majalah Dewan
Sastera keluaran terbaharu kerana mahu membaca mengenai Saharil Hasrin Sanin yang ditampilkan
sebagai “Karyawan Bulan Ini”.
Kejutan yang menarik apabila fokus keluaran ini adalah
mengenai penulis kaum India yang menghasilkan karya Bahasa Malaysia, Inggeris
dan Tamil.
Saya lebih teruja apabila membaca kenyataan bahawa Raja Rajeswari Seetha Raman telah
mengedarkan borang soal selidik kepada 60
responden penulis kaum India; iaitu 20 penulis karya Bahasa Malaysia, 20
penulis karya Inggeris, dan 20 penulis karya Tamil.
“Responden dipilih berdasarkan keprolifikan mereka dalam
sastera Melayu, sastera Inggeris dan sastera Tamil,” tegasnya dalam esei
berkenaan.
Maka, saya selaku pengasas dan presiden Kumpulan Sasterawan Kavyan (Kavyan) menjadi
amat teruja kerana nampaknya ada sekurang-kurangnya 20 lagi penulis kaum India yang aktif dan
prolifik menghasilkan karya Bahasa Malaysia!
Untuk makluman, Raja Rajeswari Seetha Raman kononnya
telah turut meminta saya mengisi borang soal selidik berkenaan, tetapi
kenyataannya itu adalah penipuan dan pembohongan semata-mata.
Saya sebenarnya tidak hairan dengan pembohongan itu kerana saya
memang sedia maklum akan modus operandi
yang sering digunakannya. [Baca artikel “Interlok dan Tokoh Lidah Bercabang”
untuk huraian lanjut.]
Bagaimanapun, saya berasa gembira kerana nampaknya ada ramai
penulis kaum India yang aktif menulis karya Bahasa Malaysia, dan mereka telah
mengisi dan mengembalikan borang soal selidik yang dijadikan asas bagi
penulisan esei dalam majalah Dewan
Sastera keluaran April 2017.
Anehnya, menurut Raja Rajeswari Seetha Raman sendiri
dalam esei berkenaan, “kecenderungan penulis kaum India yang berkarya dalam
bahasa kebangsaan merosot sejak tahun 1990. Daripada angka 27 (orang) pada
tahun 1990, angka tersebut merudum kepada 5 (orang) pada tahun 2017. Kini, hanya empat orang penulis yang
masih menyumbang secara konsisten dalam sastera kebangsaan, di samping tiga penulis muda yang memperlihatkan
kecenderungan yang tinggi untuk menyuburkan persuratan kebangsaan.”
Dalam kertas kerja yang dibentangkan oleh Raja Rajeswari Seetha Raman di Kota
Kinabalu, Sabah pada Ogos 2015, dia menyebut nama “tiga penulis muda” yang
dimaksudkannya. Mereka ialah Sanisha
Bogaraja, Elavarassan Suppiah,
dan Thanusya Shanmuganathan.
Bagaimanapun, apabila saya menghubungi mereka pada 31 Mac
2017, dua daripadanya segera membalas untuk mengesahkan bahawa mereka tidak
pernah menerima – apatah lagi mengisi dan
mengembalikan – borang soal selidik yang dimaksudkan.
Bagi “empat orang penulis yang masih menyumbang secara
konsisten dalam sastera kebangsaan”, Raja Rajeswari Seetha Raman pada Ogos
2015 menyenaraikan nama tiga orang sahaja; iaitu Ramakrishnan Ramasamy, Uthaya Sankar SB dan Raja Rajeswari Seetha Raman. Orang
keempat yang dimaksudkan (tetapi tidak disebut) tentulah Saroja Theavy Balakrishnan.
Menerusi esei di Dewan
Sastera (April 2017), Raja Rajeswari Seetha Raman mengulas
bahawa penulis kaum India yang menulis dalam Bahasa Malaysia, Inggeris dan
Tamil sebenarnya “menganuti agama yang sama dan mengamalkan kebudayaan dan
kepercayaan yang sama”.
Mungkin dia tidak tahu Sanisa
Bogaraja beragama Islam, dan Saroja Theavy Balakrishnan beragama Kristian. Mungkin dia terlalu jahil untuk
mengetahui bahawa penulis kaum India juga mengamalkan kebudayaan dan
kepercayaan yang berlainan.
Kavyan dengan kerjasama Suruhanjaya Tinggi India di Malaysia
menganjurkan Pertemuan Penulis Kaum India Malaysia pada 1
November 2015 untuk mempertemukan penulis kaum India yang menghasilkan karya
Bahasa Malaysia, Tamil dan Inggeris. Kavyan menyokong serta menggerakkan usaha
memupuk perpaduan sambil meraikan kepelbagaian.
Berbalik kepada borang soal selidik tadi, tentulah Raja Rajeswari Seetha Raman tidak
mengambil kira borang yang diisinya sendiri. Saya pula tidak pernah dihubunginya untuk meminta mengisi borang berkenaan.
Menurut Raja Rajeswari Seetha Raman, dapatan
kajian (analisis data borang soal selidik) “membuktikan bahawa latar belakang
pengarang, latar pendidikan, keluarga, tempat kediaman, kerjaya, pergaulan,
pembacaan dan sikap mereka menyumbang karya terpecah kepada beberapa
kecenderungan yang berlainan.”
Maknanya, data yang dikumpulnya menerusi borang soal selidik
yang diedarkan kepada 60 penulis kaum
India (20 penulis karya Bahasa Malaysia, 20 penulis karya Tamil, dan 20
penulis karya Inggeris) menjadi asas kepada hujah dan “bukti” yang dikemukakan
dalam esei berkenaan.
Untuk berlaku adil, saya segera menghubungi 27 penulis kaum
India yang masih hidup dan pernah menghasilkan karya Bahasa Malaysia. Saya mendapat
jawapan segera daripada 22 orang yang mengesahkan mereka tidak pernah menerima borang soal selidik tersebut!
Seorang penulis mengaku ada menerima borang itu menerusi
e-mel tetapi tidak sempat mengisinya.
Seorang lagi telah mengisi borang itu dan mengirimkannya kembali kepada Raja Rajeswari Seetha Raman menerusi e-mel.
Maka, siapakah 20 penulis kaum India yang menghasilkan karya
Bahasa Malaysia dan menjadi responden kepada borang soal selidik yang diedarkan
oleh Raja Rajeswari Seetha Raman?
Daripada 27 penulis
kaum India (penulis karya Bahasa Malaysia) yang saya hubungi pada 31 Mac
2017, hanya seorang mengesahkan telah
mengembalikan borang soal selidik kepadanya. Seorang mengesahkan tidak
sempat mengisi borang berkenaan. Sejumlah 22 penulis mengesahkan langsung
tidak menerima borang soal selidik yang dimaksudkan.
Jadi, siapakah 20 “penulis kaum India yang menghasilkan
karya Bahasa Malaysia” yang mengisi dan mengembalikan borang soal selidik
tersebut?
Menurut Raja Rajeswari Seetha Raman dalam
analisis data terkumpul (dapatan kaji selidik): 18 responden yang menulis karya Bahasa Malaysia itu menerima
pendidikan awal di sekolah kebangsaan; 15
responden lahir dan membesar di kawasan pedalaman yang jauh dari pusat
bandar; 19 responden membaca akhbar
berbahasa Melayu; dan kesemua 20
responden berkhidmat sebagai penjawat di sektor awam.
Amat menghairankan kerana satu-satunya penulis kaum India
yang mengaku telah mengisi dan mengembalikan borang kepada Raja Rajeswari Seetha Raman merupakan pekerja
sektor swasta. Maknanya, maklumat daripada borangnya tidak diambil kira dalam analisis data – kerana Raja Rajeswari Seetha Raman dalam kajian ilmiahnya mengesahkan
kesemua 20 responden yang menghasilkan karya Bahasa Malaysia adalah kakitangan
awam.
Apakah majalah Dewan
Sastera keluaran April 2017 menjadi mangsa April Fool’s Day sehingga
terpedaya untuk menyiarkan data palsu yang disalurkan secara penuh licik?
Ternyata data hasil soal selidik yang disiarkan mengenai
penulis kaum India (khususnya yang menulis karya Bahasa Malaysia) adalah rekaan semata-mata. Sekurang-kurangnya
22 penulis yang masih/pernah menghasilkan karya Bahasa Malaysia (sajak, cerpen,
esei, novel) mengesahkan mereka tidak menerima – apatah lagi mengisi – borang soal selidik yang dimaksudkan.
Kavyan yang mengikuti
perkembangan penulis kaum India di Malaysia – khususnya mereka yang
menghasilkan karya Bahasa Malaysia – merakamkan
rasa kecewa dan terkilan dengan penyiaran data palsu dalam majalah berprestij Dewan Sastera keluaran April 2017. Kavyan sedar bahawa pihak
penerbit dan pihak editorial tidak boleh dipersalahkan dalam isu ini.
Kavyan tidak menolak kemungkinan ada motif tertentu atau
alasan tertentu di sebalik tindakan Raja Rajeswari Seetha Raman menyelitkan
data palsu dalam esei berkenaan.
Kavyan bimbang
kerana data palsu ini bakal menjadi rujukan dan petikan dalam kajian ilmiah
(tesis) pada masa hadapan; sekali gus menjadi sumber rujukan yang tidak boleh
dipercayai. Hal ini pasti mencemarkan dan menjejaskan kedudukan Dewan Sastera sebagai sumber rujukan
yang berprestij, autoratif, dan disegani.
Semoga pihak Dewan
Sastera lebih berhati-hati demi memastikan tidak lagi menjadi mangsa
penipuan golongan tidak beretika, tidak berintegriti dan tidak
bertanggungjawab.
Kavyan juga menyeru para pengkaji akademik supaya tidak
melakukan kesilapan dengan mengambil maklumat palsu daripada esei berkenaan
sebagai sumber rujukan dalam mana-mana kajian akademik atau separa ilmiah.
Sama-samalah kita membanteras penyebaran maklumat dan data
palsu yang menjejaskan kredibiliti Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) amnya dan
majalah Dewan Sastera khasnya.
Catatan: Seorang daripada 27 penulis terbabit, Thanusya Shanmuganathan, menghubungi
saya pada 1 April 2017 (selepas catatan ini disiarkan) untuk memaklumkan bahawa
beliau sebenarnya ada menerima borang soal selidik tersebut, namun beliau tidak
dimaklumkan bahawa soal selidik itu adalah untuk kajian bagi artikel Dewan Sastera. “Saya terkeliru sebab
ingat soal selidik ini untuk tujuan lain,” katanya. Tambahan pula, Thanusya
bukan kakitangan awam. Seorang lagi penulis, Ramakrishnan Ramasamy, yang mengaku
telah mengisi dan mengembalikan borang kepada Raja Rajeswari Seetha Raman juga bukan kakitangan awam.
Baca Juga: [Sasterawan Kavyan - Bahagian 1] - [KS Maniam Slams Dewan Sastera] - [Rani Manicka's Story] - [Laporan Polis Terhadap Raja Rajeswari] - [Bukti Kukuh Raja Rajeswari Menipu] - [Pertandingan Menulis Sajak Bahasa Malaysia Bertema Hinduisme] - [Reaksi Khalayak Terhadap Esei Raja Rajeswari] - [Komplot Jahat Raja Rajeswari] - [Sasterawan Kavyan dan Sastera Kebangsaan] - [Rajeswari Menuduh Nisah Haron]