Thursday, 12 January 2017

Sejarah dan Mitos

Judul: Antara Sejarah dan Mitos: Sejarah Melayu & Hang Tuah dalam Historiografi Malaysia
Penulis: Ahmat Adam
Penerbit: Strategic Information and Research Development Centre (SIRD)
Tahun: 2016
Tebal: 212 halaman
Harga Pasaran: RM35.00
Harga Saya: RM30.00 + PosLaju RM7.00 = RM37.00
(Beli bersama-sama buku-buku lain – SENARAI DI SINI – untuk menjimatkan kos PosLaju.)

Buku ini berjaya memecah tembok pemikiran konvensional berhubung kedudukan Sejarah Melayu dan Hikayat Hang Tuah sebagai teks sejarah, serta membahaskan kedudukan Hang Tuah sebagai watak sejarah, legenda, mitos atau dongeng.

Sejak kanak-kanak, saya sendiri tertanya-tanya mungkinkah Hang Tuah, Hang Jebat, Hang Kasturi, Hang Lekir dan Hang Lekiu merupakan adaptasi daripada Yudhisthira, Bhima, Arjuna, Nakula dan Sahadeva dalam Mahabharata dan Pandawa Lima. Hipotesis saya diselitkan dalam cerpen “Laksamana Arjuna” (Pulau Pendatang, 2015).

Saya membaca buku Membongkar Rahsia Dunia Melayu (2014), Antara Sejarah dan Mitos (2016) dan Hang Tuah: Catatan Okinawa (2015) sebelum menulis makalah “Hang Tuah Hanya Mitos?” (The Malaysian Insider, 16 Februari 2016) dan “Hang Tuah Tidak Wujud?” (The Malaysian Insider, 23 Februari 2016).

Buku Antara Sejarah dan Mitos oleh Prof. Emeritus Dr Ahmat Adam adalah antara kajian akademik terbaik yang amat objektif serta lari daripada sudut pandangan etnosentrik dalam memperkatakan Sejarah Melayu dan Hikayat Hang Tuah.

Malah, penulis mendedikasikan buku ini “Untuk mereka yang mahu belajar Sejarah”.

Sari Rangsang (Blurb):

Naskhah Sulalat u’s-Salatin atau Sejarah Melayu, bersama-sama dengan Hikayat Hang Tuah, adalah karya klasik agung orang Melayu yang tidak perlu ditekankan peri pentingnya dalam sejarah kebudayaan bangsa itu.

Dihasilkan pada abad ke-16 dan ke-17, karya yang asalnya ditulis berperingkat-peringkat dengan berdasarkan tradisi lisan, masing-masing telah menjadi rujukan utama dalam pengajian sejarah dan kebudayaan bangsa Melayu.

Kendatipun banyak orang menganggap Sejarah Melayu sebagai sebuah karya sejarah yang bona fide, dan ramai pula yang menganggap Hikayat Hang Tuah adalah epik sejarah yang benar-benar meriwayatkan petualangan Laksamana Melaka yang hidup antara abad ke-15 dan ke-16, namun usaha membicarakan dua teks Melayu klasik ini tidak pernah dibuat secara kritis untuk  menentukan dengan pasti sejauh mana Sejarah Melayu dapat dianggap sebagai sumber sejarah yang boleh dipercayai, dan sejauh mana pula manusia yang bernama Hang Tuah itu benar-benar wujud dalam sejarah.

Mungkinkah kewujudan Hang Tuah itu hanya berasaskan kepercayaan banyak orang, setelah terpengaruh oleh Hikayat Hang Tuah yang pernah tersebar secara meluas di serata pelosok dunia Melayu semenjak tidak kurang daripada empat abad yang lalu? 

Buku Antara Sejarah dan Mitos yang bernada kritis ini ditulis oleh seorang sejarawan yang cuba merungkai persoalan kebolehpercayaan Sejarah Melayu sebagai sumber sejarah yang utuh, dan juga menganalisis secara kritis kewujudan Hang Tuah dalam sejarah silam Melaka bagi menentukan sama ada figura ini adalah benar-benar tokoh sejarah ataupun semata-mata tokoh yang dimitoskan.

Kandungan:

Prakata
Bab I – Apakah Sejarah?
Bab II – Memperkenalkan Sejarah Melayu Naskhah Krusenstern
Bab III – Tersilapkah Anda Membaca Sejarah Melayu Selam Ini?
Bab IV – Sejarah Melayu sebagai Sumber Tarikh Pembukaan Melaka?
Bab V – Mitos, Makna, dan Keindahan dalam Teks Sejarah Melayu
Bab VI – Betulkah Hang Tuah Wujud?
Bab VII – Nota Ringkas tentang Makam Hang Tuah
Bab VIII – Kesimpulan
Glosari
Bibliografi
Indeks

Beli buku ini bersama-sama buku-buku lain – SENARAI DI SINI – untuk menjimatkan kos PosLaju. Jaminan bahan bacaan bermutu.