18 Nov 2016

Huru-hara di Kampung Chetti


Berikut kandungan laporan yang dibuat oleh saya [Uthaya Sankar SB] di Balai Polis Taman Sri Muda, Shah Alam pada 18 November 2016, pukul 7:13 malam:


Pada 17 November 2016, sekitar 10:30 pagi, sewaktu melayari internet di rumah saya di 27 Jalan 25/82-B, Taman Sri Muda, Shah Alam, saya ke laman Facebook Chetti Melaka di www.facebook.com/ChettiMelaka.

Pentadbir laman itu memaparkan keratan akhbar Harian Metro (17 November 2016) bertajuk “Hina sajian Chetti” yang menjelaskan isu nama bagi masakan tradisional masyarakat Chetti Melaka.

Pada sebelah malam 17 November 2016, portal berita dalam talian Free Malaysia Today menyiarkan berita bertajuk “Komuniti Chetti Melaka nafi nama makanan haram jadah”.

Saya berkongsi pautan berita itu di laman Facebook Chetti Melaka untuk makluman orang ramai supaya tidak timbul lagi sebarang salah faham.


Tiba-tiba, seorang individu tidak dikenali yang menggunakan nama Visa Raj menulis komen ini: “Uthaya sankar SB adakah kamu atau nenek moyang kamu keluarga Chitty Melaka? ??Jangan nak jadi populariti dengan isu ini.kamu Cuba [sic] reporter biasa dan bukan melaka Chitty. … Jangan menghuru hara dgn hal isu sekecil ini. … Jangan nak memadai madai menghapuskan nama warisan Chitty Melaka.”

Saya membaca komen itu pada pagi 18 November 2016, lalu membalas: “Bila masa pula saya jadi reporter?”


Individu yang menggunakan nama Visa Raj menulis komen: “Gua tau you bukan reporter. .tapi you macam reporter. ..buat huru-hara kampung Chitty. … nak jadi popular. .guna org kampung Chitty. .utk kepentingan diri sendiri.”

Saya bertanya untuk mendapatkan pengesahan sama ada Visa Raj benar-benar serius dalam menuduh saya: “Are you officially accusing me of buat huru-hara kampung Chitty and gunakan org kampung Chitty utk kepentingan diri sendiri?”

Visa Raj menjawab: “ya. ..nak famous lah…gunakan orange [sic] kampung Chitty.”

Hasil carian di Facebook menunjukkan akaun www.facebook.com/visaletchmi.visa adalah milik seorang individu yang berasal dari Kuala Lumpur dan kini tinggal di Melaka. Visa Raj berkahwin pada 7 April 2002 dan bekerja di Tadika Celik Akal.

Pada 11 Disember 2016, saya dijadual akan ke Kampung Chetti, Gajah Berang, Melaka untuk terlibat dalam Projek Komuniti Kampung Chetti. Saya terlibat dalam membimbing sekumpulan belia mengumpul bahan dan menulis esei mengenai keunikan budaya Chetti Melaka.

Saya bimbang jika Visa Raj dan/atau sekutunya cuba menghalang kemasukan saya ke Kampung Chetti, atau cuba mengganggu perjalanan Projek Komuniti Kampung Chetti yang dijadualkan pada 11 Disember 2016.

Laporan ini dibuat sebagai langkah berjaga-jaga, dan untuk memudahkan saya mengambil tindakan sewajarnya jika perlu.

Pegawai polis yang menguruskan laporan di atas memberikan nombor telefon IPD Melaka Tengah dan meminta saya menghubungi pegawai di sana sekiranya Visa Raj dan/atau sekutunya menimbulkan sebarang masalah apabila saya ke Kampung Chetti.