30 Aug 2016

Impian Karthik

Ketiadaan dokumen pengenalan diri menyebabkan Karthik a/l Sundara Rajan hilang peluang mendapat pendidikan di sekolah.

Bagaimanapun, remaja berumur 18 tahun ini tidak mahu menjadikan masalah itu sebagai alasan untuk terus berdukacita dan hilang harapan dalam hidup.

Karthik yang tinggal di Paloh, Johor menyedari hakikat keluarganya kurang mampu dari segi kewangan. Ibunya suri rumah yang tidak berpelajaran, manakala bapanya dahulu pemandu traktor tetapi tidak dapat bekerja sejak kemalangan.

“Setiap kali saya ke hospital dan klinik, banyak soalan ditanya kerana saya tidak ada sijil kelahiran dan kad pengenalan, serta tiada pelajaran. Saya rasa seperti orang asing di negara kelahiran saya,” kata pemuda yang pemalu ini.

Sundara Rajan memberi galakan kepada anaknya untuk meneruskan minat dan keinginan membela kambing. Kini, Karthik memiliki 6 ekor kambing.

Dia sedar bahawa kehidupannya, serta perusahaan penternakan kambing akan lebih mudah dan bermakna, jika memiliki dokumen pengenalan diri.

“Ada pihak yang meminta wang untuk membantu mendapatkan sijil kelahiran, tetapi keluarga kami tidak mampu,” Sundara Rajan menceritakan pada Majlis Penyerahan Dokumen Pengenalan Diri di Paloh, Johor pada 27 Ogos 2016.

Mujurlah pegawai DHRRA Malaysia yang mendapat tahu mengenai isu ini datang sendiri ke rumah Karthik untuk menghulurkan bantuan tanpa sebarang bayaran.

Selepas memiliki sijil kelahiran dan kad pengenalan, pemuda ini semakin bersemangat dan memiliki keyakinan diri bahawa impiannya untuk menjadi penternak kambing yang berjaya akan menjadi kenyataan.

“Walaupun tiada pelajaran, saya ada minat untuk menjadi penternak kambing. Dengan adanya kad pengenalan, sekarang saya yakin akan dapat memohon bantuan dan pinjaman,” katanya.

Sekiranya anda mengenali sesiapa yang menghadapi masalah dokumen pengenalan diri – seperti sijil kelahiran, kad pengenalan, sijil kewarganegaraan, sijil anak angkat, atau pendaftaran perkahwinan – sila hubungi DHRRA Malaysia untuk nasihat dan bantuan.

Anda juga boleh menghubungi saya menerusi uthayasb@yahoo.com.my atau 016-3288142 atau www.facebook.com/uthaya untuk menyalurkan maklumat.


Paparan ini adalah di bawah program #MerdekaPertamaKu yang meraikan individu yang baharu menerima dokumen pengenalan diri. Baca juga - Keinginan Mogana