Golongan Orang Kurang Upaya (OKU)
sebenarnya mempunyai potensi besar untuk menjadi pengkarya seni dan sastera.
Hal ini saya perhatikan sendiri sejak
dahulu. Antara aktiviti awal Kumpulan Sasterawan Kavyan (Kavyan) apabila diasaskan pada Ogos
1999 adalah acara khas melibatkan golongan OKU.
Program yang dinamakan “For Your Ears Only” diadakan pada 2 dan
23 November 1999 di Kompleks MAB, Brickfields. Peserta terdiri daripada
golongan OKU cacat penglihatan.
Semasa acara Baca Cerpen Kavyan berlangsung pada
2003 dan mencatat nama dalam The Malaysia
Book Of Records, beberapa peserta OKU turut mengambil bahagian.
Pada 28 Ogos 2015, saya bertemu Mohammad Faizal Che Yusof dan Mohd
Rosli Ibrahim di Brickfields, Kuala Lumpur. Kedua-duanya
OKU cacat penglihatan.
Faizal graduan Universiti Malaya dan
seorang peguam yang disegani. Beliau juga Pengerusi Majlis Permuafakatan NGO
OKU Kelantan. Aktivis hak OKU ini aktif menulis selain terlibat dalam ceramah
advokasi.
Rosli juga seorang aktivis dan penulis.
Beliau menghasilkan buku OKU Bangkit
(2014) dan Gelap Mata (2015) yang
membicarakan isu-isu berkaitan golongan OKU, khususnya kumpulan cacatan
penglihatan.
Hasil perbincangan dengan mereka berdua,
ternyata memang ramai golongan OKU mempunyai bakat dan minat dalam bidang
penulisan. Malangnya, pelbagai hambatan, rintangan dan kekangan membataskan
peluang mereka untuk muncul sebagai penulis yang berjaya.
Saya pernah mengungkapkan perasaan,
cita-cita dan impian seorang individu OKU cacat penglihatan menerusi cerpen “Dengarlah, Sayang” (Pelita Bahasa, Disember 2005) yang
kemudian dimuatkan dalam buku Kathakali
(2009).
Cerpen “Perbualan Kecil” (Dewan Siswa, Februari 2006) pula
mengetengahkan seorang watak bisu serta keinginannya untuk turut terlibat dalam
bidang sastera dan penulisan.
Bakat terpendam perlu dicungkil
Tentu sahaja idea bagi cerpen-cerpen itu
berasaskan pergaulan saya dengan sejumlah rakan-rakan OKU pelbagai kaum dan
agama sejak dahulu. Saya cuba “menyuarakan” impian golongan OKU menerusi karya.
Pada pendirian saya, golongan minoriti perlu berani bangkit
memperjuangkan hak supaya “suara” mereka tidak tenggelam begitu sahaja di
tengah-tengah hiruk-pikuk dan kokokan golongan politikus yang selalu terlepas
pandangn isu-isu sebenar dalam kalangan rakyat.
“Walaupun kami dikatakan minoriti, kami
lebih ramai daripada Orang Asal dan jauh lebih ramai daripada peneroka Felda.
Dianggarkan 15 peratus penduduk adalah OKU,” Faizal menghuraikan dalam
perbualan kami selepas Persidangan OKU Darul Naim Peringkat Kebangsaan di Kota
Bharu pada 13 Mac 2012.
Semasa saya, Faizal dan Rosli berbincang
baru-baru ini, ternyata kami sependapat dalam isu perlunya golongan OKU
diberikan bimbingan berkaitan dunia penulisan.
Menurut Rosli, OKU cacat penglihatan
khususnya mempunyai bakat terpendam tetapi terbiar begitu sahaja dan hasil
tulisan mereka tercicir tanpa pernah diterbitkan.
“Segala potensi ini perlu diketengahkan
kepada khalayak awam secara meluas. Segala kurniaan ini tidak sepatutnya
diabaikan,” katanya menerusi catatan di Facebook
seusai pertemuan kami.
Kami bertiga bersetuju bahawa golongan OKU
yang diberikan ruang dan peluang untuk menulis dan menerbitkan karya akan
memiliki keyakinan diri yang lebih tinggi.
“Menulis juga pendekatan yang berkesan bagi
mendidik masyarakat dalam memahami isu-isu OKU. Golongan OKU tidak harus lagi
memendamkan segala pengalaman dan perasaan dalam hati.
“Mereka perlu meluahkannya dengan cara
terhormat, seperti menulis. OKU harus keluar dari bawah tempurung dan
seterusnya menyumbangkan idea mengenai isu-isu OKU kepada masyarakat,” kata
Rosli.
Sebenarnya, memang ada penulis daripada
kalangan OKU. Misalnya, JM Aziz (1934-2002) antara penyair cacat penglihatan
yang terkenal kerana kemampuan menghasilkan sajak bermutu.
Bengkel penulisan untuk golongan OKU
Soalnya, masih ramaikah penulis OKU seperti
Faizal dan Rosli? Memang tidak adil untuk menuding jari menyalahkan sesiapa jika
tidak ramai penulis daripada kalangan OKU.
Dalam perbincangan bersama-sama dua aktivis
berkenaan, saya mendapat gambaran jelas iaitu ramai OKU yang berminat untuk
mendalami bidang penulisan puisi, cerpen, novel dan esei.
Ramai yang sebenarnya menghasilkan karya
tetapi hanya untuk simpanan sendiri. Mereka tidak tahu siapa yang boleh
dijadikan tempat rujukan. Mereka juga tidak berapa tahu bagaimana mahu
menghantar karya kepada penerbitan.
Dari semasa ke semasa, Kavyan mengendalikan
bengkel penulisan puisi, cerpen dan makalah/esei. Karya-karya yang dihasilkan
peserta akan dinilai, disunting dan dikirim ke majalah yang sesuai; khususnya
di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).
Golongan OKU yang berkarya juga khabarnya
menjadi mangsa penipuan kerana mereka kurang arif tentang isu-isu berkaitan
honorarium, royalti, hak cipta, hak penerbitan dan harta intelek.
Sebenarnya, isu-isu berkenaan turut
menghantui kelompok penulis bukan OKU. Kejahilan golongan penulis – normal atau
OKU – menjadi senjata yang digunakan sebaik-baiknya oleh penerbit tertentu
untuk mengaut keuntungan; sekali gus mengabaikan hak penulis.
Menyedari segala situasi yang wujud, Kavyan
memutuskan untuk menganjurkan acara khas yang dinamakan Bengkel Penulisan OKU pada 31 Oktober 2015 di Pusat Kebudayaan India (ICC),
Brickfields.
ICC yang terletak di bawah Kedutaan India
dipilih kerana pengarah pusat berkenaan memang mengundang Kavyan menganjurkan
aktiviti bahasa, sastera, seni dan budaya di tempat berkenaan.
Brickfields menjadi tempat tumpuan golongan
OKU, khususnya cacat penglihatan. Kedudukan ICC juga berdekatan Kompleks MAB
dan Stesen Monorel Tun Sambanthan. Maka, lebih mudah untuk peserta OKU
menghadiri bengkel yang diadakan.
Bengkel penulisan yang dirancang ini
terbuka kepada semua kategori OKU. Malah, golongan bukan OKU (normal) juga
boleh hadir sebagai sukarelawan untuk sama-sama membantu peserta OKU sambil
menimba ilmu penulisan.
Usaha kecil ini diharap mampu memperkasa
golongan OKU untuk bangkit bersuara bagi diri sendiri dan kumpulan yang
diwakili. Seperti diakui Faizal dan Rosli, penulisan juga mampu menjadi semacam
terapi yang mujarab kepada golongan OKU.
[Makalah ini ditulis pada 30 Ogos 2015 dan disiarkan di The Malaysian Insider pada 1 September
2015. © Uthaya Sankar SB 2015. Harap maklum bahawa anda membaca makalah ini
serta segala kandungan mana-mana blog
kendalian Uthaya Sankar SB atas pilihan sendiri.]