Bayangkan jika Abraham Kovoor (1898-1978)
masih ada dan beliau datang bertemu Datuk Guluji untuk menguji kuasa ajaib yang
konon dimilikinya.
Khayalan ini muncul dalam minda pada 24 Disember 2014, iaitu sehari sebelum
saya menonton filem Hindi PK (2014)
di pawagam.
Perwatakan makhluk asing yang dilakonkan
oleh Aamir Khan dalam filem itu memang terinspirasi daripada hasil kajian
Abraham. Beliau mencabar para guruji dan tokoh agama yang kononnya memiliki
mukjizat dan kuasa ajaib pemberian Tuhan.
Hasil kajian dan penyelidikan Abraham
berkaitan manipulasi golongan guruji (termasuk yogi, siddha dan swamiji) turut
menjadi bahan cerita bagi filem-filem seperti Punarjanmam (Malayalam, 1972), Maru
Piravi (Tamil, 1973) dan Ninthakatha
(Telugu).
Pensyarah, pengkaji dan tokoh rasionalis
ini memang terkenal di India dan Sri Lanka kerana berani mencabar golongan
guruji (“tuan guru”) di kedua-dua negara berkenaan supaya tampil membuktikan
kuasa ajaib yang kononnya mereka miliki.
Abraham turut menulis buku dan makalah untuk
mendedahkan secara saintifik cara-cara golongan guruji berkenaan menipu orang
ramai. Buku-buku tulisannya terdapat dalam bahasa Inggeris, Tamil, Hindi,
Malayalam, Kannada, Punjabi dan Sinhala.
Sekiranya kita berpeluang menonton filem PK maka kita akan dapat memahami
sedikit-sebanyak pemikiran rasional yang dibawakan oleh tokoh berkenaan.
Untuk makluman, filem komedi romantik
sepanjang 153 minit itu tidak menghina Tuhan atau mana-mana agama. Sebaliknya,
mencabar minda penonton untuk memahami perbezaan antara “Tuhan yang mencipta
manusia” dan “Tuhan yang dicipta oleh manusia”.
Pada tahun 1963, Abraham menawarkan hadiah
100,000 Rupee (Sri Lanka) kepada mana-mana guruji yang berjaya melakukan salah
satu daripada 23 cabaran yang disenaraikan.
Golongan guruji yang kononnya memiliki
kuasa ajaib dan anugerah istimewa daripada Tuhan diundang membuktikan
“mukjizat” itu tanpa sebarang tipu-daya, penipuan, silap mata dan manipulasi.
Cabaran “kacang” yang tidak berani disahut
Sekiranya diperhatikan, cabaran yang
dikemukakan itu “kacang” (mudah) sahaja bagi mana-mana individu jika mereka memang
memiliki kuasa ajaib dan mukjizat seperti didakwa.
Misalnya, mereka hanya perlu membacakan
nombor siri pada sekeping wang kertas yang disembunyikan. Atau menggunakan kuasa
mereka untuk menghasilkan replika sekeping wang kertas.
Cabaran ini tentulah tidak susah kerana
golongan guruji selalu didakwa mampu menggerak-gerakkan jari dan tiba-tiba abu
putih (vibuthi) atau rantai emas
muncul pada tapak tangan.
Golongan guruji juga dicabar oleh Abraham
supaya menggerakkan atau membengkokkan sesuatu objek menggunakan kuasa
psikokinetik yang kononnya mereka miliki.
Bagi kita yang biasa menonton rancangan
magik di televisyen tentu sudah tahu bagaimana segala silap mata itu dilakukan.
Bagaimanapun, golongan guruji dicabar melakukannya tanpa sebarang silap mata
(penipuan dan manipulasi).
Cabaran lain termasuk membaca minda
seseorang dengan kuasa telepati atau psikik, terapung di udara dengan kuasa
yogik, berhenti bernafas selama 30 minit, berjalan di atas permukaan air (bukan
ais!) atau menukar air menjadi petrol.
Sehingga Abraham meninggal dunia pada 1978,
tidak ada sesiapa yang berjaya melakukan mana-mana satu cabaran yang
disenaraikan.
Hal ini tentulah menghairankan kerana golongan
guruji secara mudah sahaja sering tampil menunjukkan kehebatan melakukan
perkara hampir sama di hadapan para pengikut tegar mereka.
Sekiranya diperhatikan, sejak tahun 1922,
terdapat sekurang-kurangnya 30 individu atau pertubuhan di seluruh dunia yang
menawarkan hadiah lumayan kepada mana-mana guruji (swamiji, yogi, mahan, siddha
dan sebagainya) yang dapat membuktikan kuasa ajaib dan “mukjizat” yang kononnya
mereka miliki.
Sehingga makalah ini ditulis, tidak ada
satu pun hadiah berkenaan berjaya dimenangi. Memang ada orang yang cuba
berjalan di atas permukaan air tetapi dilaporkan terus tenggelam sebaik
memulakan langkah pertama.
Sathya Sai Baba memulihkan tubuh yang lumpuh
Makalah bertajuk “Pendedahan teknik guruji” (Malay Mail Online, 11 Februari 2014)
menyentuh mengenai manipulasi, hipnosis, ilmu pukau dan sebagainya yang
digunakan kelompok guruji tertentu di Malaysia.
Datuk Guluji merupakan
salah seorang guruji yang paling dipuja dan paling dibenci. Hal ini nyata
menerusi komunikasi saya dengan pelbagai kelompok masyarakat kaum India sejak November 2013 untuk
mendapatkan maklumat.
Pentaksub dan pengikut setia percaya bahawa
Datuk Guluji adalah “dewa” yang bakal menyelamatkan mereka menggunakan
“mukjizat” yang dimilikinya. Golongan rasional dan bekas pengikut pula menyedari bahawa
Datuk Guluji adalah penipu besar.
Tuduhan seperti ini mungkin membuatkan
pihak tertentu (pentaksub) marah. Akan tetapi, jangan kita lupa bahawa Sathya
Sai Baba (1926-2011) juga pernah melalui segala cabaran kecil seperti ini
sehingga ke akhir hayat.
Menurut laporan, pada tahun 1940, menjelang
usia 14 tahun, Sathya Narayana Raju mengisytiharkan dirinya sebagai reinkarnasi
Shirdi Sai Baba, tokoh spiritual dari Maharashtra, India yang meninggal dunia
pada 1918.
Pada tahun 1963, Sathya Sai Baba mengalami
strok dan empat kali serangan sakit jantung. Akibatnya dia lumpuh sebelah
tubuh. Bagaimanapun, dalam suatu acara besar-besaran di hadapan ribuan
pengikut, dia dikatakan berjaya menyembuhkan dirinya sendiri.
Terdapat ramai pengikut setia Shirdi Sai
Baba dan Sathya Sai Baba di Malaysia. Sekiranya diperhatikan, sejak sedekad
lalu, semakin banyak rumah kedai diubahsuai menjadi pusat Sai Baba bagi
menampung jumlah pengikut yang bertambah secara mendadak.
Para pengikut setia ini tentu maklum
bagaimana pada 1972, Abraham menyelar Sathya Sai Baba berikutan berita kononnya
guruji itu berjaya “mencipta” (menghasilkan menggunakan kuasa ajaib) model
terbaru jam tangan Seiko.
Menurut laporan Outlook India (2 November 2009), ibu pejabat syarikat Seiko di
Tokyo, Jepun mengesahkan berita itu sebagai palsu. Apabila Abraham menulis
mengenai perkara itu, tidak ada sebarang reaksi daripada pihak Sathya Sai Baba.
Sokongan kuasawan dan politikus
Pada 1976, seorang lagi rasionalis, Hosur
Narasimhaiah menghantar tiga surat untuk mengajak Sathya Sai Baba tampil
membuktikan kuasa ajaib yang konon dimilikinya. Bagaimanapun Erlendur
Haraldsson dalam bukunya Miracles Are My
Visiting Cards (1997) merekodkan bahawa kesemua surat itu tidak dilayan.
Selepas Abraham meninggal dunia, usaha
membuktikan penipuan golongan guruji palsu diteruskan oleh Basava Premanand
(1930-2009) dari India, khususnya menerusi penerbitan majalah bulanan Indian Sceptic.
Basava antara lain menulis buku berjudul Science Versus Miracles yang mendedahkan
penipuan di sebalik 150 “keajaiban” yang konon dilakukan sejumlah guruji di
serata India.
Tentu sahaja contoh-contoh yang dikemukakan
dalam makalah ini tidak bertujuan memperlekeh sesiapa. Sebaliknya sekadar
merujuk beberapa kes sebenar yang boleh juga dibaca di media dalam talian.
Pengalaman menonton filem PK dan pembacaan sedikit maklumat
mengenai Abraham membuatkan saya tertanya-tanya bagaimana agaknya reaksi Datuk
Guluji dan kelompok guruji lain di Malaysia, sekiranya golongan rasionalis
tampil mencabar mereka.
Bagaimana agaknya jika Datuk Guluji dan
kelompok guruji (termasuk swamiji dan segala ji) diminta membuktikan kuasa sebenar yang mereka miliki tanpa
sebarang manipulasi, lakonan dan silap mata?
Sathya Sai Baba dikatakan ada hubungan baik
dengan golongan elit dan kuasawan di India (BBC
News, Jun 2004). Kuasa itu khabarnya digunakan untuk memastikan tidak ada
sesiapa yang boleh menggugat kedudukannya atau mempersoalkan kuasa ajaib yang
dimilikinya.
Khalayak yang berpeluang menonton filem PK pasti akan lebih memahami isu yang
dibincangkan di sini. Khususnya mengenai golongan guruji yang mampu menipu
ribuan pengikut dengan penuh licik. Cuma dalam filem PK tidak ditunjukkan pengaruh politikus.
Apakah Datuk Guluji juga mempunyai hubungan
platonik dengan kuasawan dan politikus? Jika begitu, kalaulah
rasionalis seperti Abharam dan Basava dilahirkan semula sekalipun, pengaruh
serta manipulasi Datuk Guluji tidak akan berkurangan.
Atau mungkinkah kita perlu menunggu
kedatangan makhluk asing menyerupai Aamir Khan untuk membantu menyedarkan kita
tentang apa yang sebenarnya sedang berlaku di depan mata? [Baca juga – PK Mencari Tuhan di Malaysia]
[Makalah ini ditulis pada 27 Disember 2014 dan disiarkan di The Malay Mail Online pada 29 Disember
2014. © Uthaya Sankar SB 2015. Harap maklum bahawa anda membaca makalah ini
serta segala kandungan mana-mana
blog kendalian Uthaya Sankar SB atas pilihan sendiri.]