Tuesday, 3 December 2013

Editor Bersekutu – Antologi Cerpen

Saya sedang dalam proses menerbitkan antologi cerpen Bahasa Malaysia yang memuatkan karya sekumpulan penulis tempatan. Antologi ini dijadualkan terbit pada Mac 2014.
 
Bagi membuka ruang penglibatan lebih ramai rakan-rakan dan kenalan dalam penerbitan buku ini, saya mengundang rakan-rakan dan kenalan – jika sudi dan tertakluk syarat-syarat yang menyusul – untuk menjadi sukarelawan sebagai Editor Bersekutu.
 
Berikut beberapa perkara asas yang perlu diperhatikan dan dilakukan sebelum seseorang membuat keputusan:
 
1. Editor Bersekutu adalah secara sukarela; tidak dibayar.
 
2. Individu yang berminat WAJIB menghantar biodata diri secara lampiran (attachment) ke alamat e-mel uthayasb@yahoo.com.my sebelum 31 Disember 2013. Panjang biodata adalah minimum 50 patah perkataan dan maksimum 150 patah perkataan serta ditulis dalam satu perenggan sahaja. Contoh biodata yang profesional boleh dirujuk dalam Kisah dari Siru Kambam (2013) dan Hanuman: Suara Hati (2013). Lihat juga contoh DI SINI.
 
3. Individu yang berminat WAJIB menghantar foto diri secara lampiran ke alamat e-mel uthayasb@yahoo.com.my sebelum 31 Disember 2013. Hanya foto profesional akan dipertimbangkan. Foto mestilah profesional – misalnya foto gaya pasport, kad pengenalan atau profil kerajaan/korporat – bukannya foto lawak, selfie dan tidak profesional yang hanya sesuai untuk paparan di Facebook. Sila kirim foto warna bersaiz besar. Contoh foto yang profesional boleh dirujuk dalam novel Hanuman: Suara Hati (2013). Lihat juga contoh DI SINI.
 
4. Pemilihan Editor Bersekutu akan dilakukan berasaskan biodata diri dan foto profesional yang diterima sebelum 5:00 petang [Waktu Kavyan], 31 Disember 2013 – kerana ia menjadi bukti sikap profesional, disiplin dan kematangan berfikir.
 
5. Jumlah Editor Bersekutu yang diperlukan adalah terhad. Konsep “siapa cepat, dia dapat” digunakan secara adil.
 
6. Setiap Editor Bersekutu perlu bersedia memberikan komitmen penuh dalam menyemak dan menyunting sekurang-kurangnya dua buah cerpen.
 
7. Setiap Editor Bersekutu perlu bersedia menjalankan tugas secara berdisiplin, mengikut jadual, berdikari, matang dan profesional.
 
8. Setiap Editor Bersekutu akan diberikan masa sekitar sebulan sahaja untuk menyemak manuskrip cerpen.
 
Rakan-rakan pelbagai kaum daripada pelbagai latar pekerjaan, pelajaran, bakat dan minat yang sanggup mematuhi panduan asas di atas dipelawa tampil menawarkan diri secara sukarela.
 
Maklumat Editor Bersekutu akan dirahsiakan sehingga mereka menyelesaikan tugas menyunting dan menyemak manuskrip yang diamanahkan. Biodata dan foto akan dimuatkan dalam antologi; selain mungkin dipaparkan di blog dan media sosial lain bagi tujuan promosi.