[Sambutan pesta menuai membuka peluang masyarakat melihat sendiri
prestasi cemerlang Barisan Nasional di Selangor.]
Sejak seminggu lalu, secara agak tiba-tiba,
kewujudan kaum India (baca: pengundi kaum India)
bagaikan baru sahaja benar-benar terasa dan disedari oleh pemerintah dan
politikus serta penyokong parti-parti politik di negara bertuah ini.
Kita tentu masih ingat akan tsunami politik
yang berlaku menerusi Pilihan Raya Umum Ke-12 (Mac 2008)
antara lain berikutan Perhimpunan Hindraf pada November 2007. Memandangkan
PRU-13 semakin hampir – serta sudah tidak boleh dilengah-lengahkan oleh Perdana
Menteri tercinta, Datuk Seri Najib Razak – maka usaha diambil pihak
berkenaan untuk menjadi “mesra penduduk kaum India”.
Memandangkan ada ramai pengundi kaum India
di Selangor – serta penduduk pelbagai kaum dan agama di negeri itu
hidup aman dan selesa di bawah Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat (PR) – maka
tidaklah menghairankan apabila langkah-langkah drastik diambil pembangkang untuk
memancing undi penduduk dengan apa cara
sekali pun.
Menjelang tahun baru 2013, saya antara
penduduk Selangor yang cukup “bertuah” kerana menerima surat permohonan maaf
daripada Pengerusi BN Negeri Selangor merangkap Presiden UMNO.
“Kami sedar, terdapat kesilapan dan
kekurangan dalam pentadbiran Barisan Nasional yang lalu. Atas kesedaran ini,
kami berjanji akan bangkit semula dengan niat dan semangat baru bagi memberikan
perkhidmatan terbaik kepada rakyat Selangor. Janji kami adalah Janji Ditepati.
Yakinlah dan berilah peluang kepada kami untuk membawa perkhidmatan yang lebih
baik kepada seluruh rakyat Selangor.”
Demikian petikan surat yang memaparkan tandatangan
Najib dan tentu sahaja dihantar kepada semua pengundi berdaftar di Selangor
menerusi kempen “Sayangi Selangor, Yakini BN”
menggunakan wang rakyat. Sepertimana dalam poskad ucapan Hari Malaysia
(September 2012) dan kad ucapan Deepavali (November 2012), kali ini juga
maklumat pengundi dicetak sebagai bukti kukuh bahawa surat ini adalah
sesungguhnya bertujuan memancing undi.
Pada penelitian saya, penduduk kaum India
di Selangor memang sangat bertuah dan hal ini saya nyatakan di Facebook pada 12 Januari 2013 selepas
melihat sepanduk “Pesta Ponggal Sayangi Selangor PM Bersama Rakyat” di sekitar
Jalan Tengku Kelana, Klang.
Sejak BN menjadi pembangkang di Selangor berikutan
PRU-12, macam-macam dilakukan oleh BN dan para “NGO penyokong BN” demi perpaduan
kaum India. Misalnya, apabila pihak berkuasa tempatan merobohkan kuil kecil di
luar rumah penduduk kaum India beragama Hindu, akan ada wakil parti politik
yang bergegas datang untuk membinanya semula dengan segera. Keajaiban seperti ini
tidak dilaporkan berlaku sebelum 2008.
Sepanduk yang saya lihat di Klang juga
menjadi bukti terbaru keprihatinan BN terhadap budaya, agama, adat, kepercayaan
dan perayaan masyarakat India beragama Hindu. Khabarnya, selama beberapa hari
mulai Sabtu lalu (12 Januari 2013), Presiden BN sendiri turun padang untuk
bertemu masyarakat sebagai Perdana Menteri. Betapa bertuah penduduk di Selangor
di bawah kerajaan negeri yang ada sekarang!
Melihat pada senario yang berlaku, tidaklah
keterlaluan untuk mengatakan bahawa khidmat
BN di Selangor lebih “cemerlang” sebagai pembangkang. Saya tinggal di
Selangor sejak November 1991 dan berpeluang menyaksikan sendiri kecemerlangan
ini.
Selepas PRU-12, BN benar-benar “mesra kaum
India” khususnya di Selangor. Entahlah prestasi cemerlang ini akan kekal atau
terus berubah 180 darjah jika/apabila BN berjaya menawan semula Selangor pada
PRU-13. Hanya Tuhan yang tahu.
Nampaknya saya tidak sendirian dalam
melakukan pemerhatian itu. Rakan-rakan saya di Facebook turut tampil berkongsi pandangan dan analisis. “Mari kita
kekalkan BN sebagai pembangkang,” kata Rosihan
Pawnstar Amri yang turut mengakui prestasi cemerlang BN di Selangor sejak
2008.
“Memandangkan BN kini mampu memberikan
khidmat cemerlang dalam membantu penduduk kaum India di Selangor, saya sokong
supaya mereka kekal sebagai pembangkang,” kata Sukumar Theviannan.
Uthaya
Chandran pula mengingatkan bahawa walau sebanyak
mana pun sepanduk digantung di mana-mana, semua itu adalah duit pembayar cukai
iaitu rakyat. Bukan duit parti politik berkenaan.
Agak menarik juga untuk diperhatikan bahawa
logo wajib “1Malaysia” dan mantera ajaib “Nambikei” tidak kelihatan pada sepanduk
yang dipasang di Klang. Mungkinkah ada unsur sabotaj oleh pihak tertentu yang
tidak mahu Najib membawa obor semangat “1Malaysia” dan “Nambikei” yang sudah
sinonim dengan kempennya?
Pada pagi 13 Januari 2013, Najib dilaporkan
“menyertai kira-kira 5,000 masyarakat itu (India) meraikan Pesta Ponggal di
Padang Ceti dalam suasana meriah dan penuh warna-warni” (Utusan Malaysia, 14 Januari 2013). Rupa-rupanya Datin Seri Rosmah
Mansor juga hadir sama tetapi media seolah-olah kurang memaparkan kehadiran
beliau di tengah-tengah masyarakat India.
Media lebih berminat melaporkan bahawa
Najib makan itu dan makan ini di pasar itu dan pasar ini daripada menyentuh
mengenai penampilan Rosmah yang anggun
berpakaian biru muda di sisi suaminya. Kata orang, ini juga mungkin sabotaj
untuk tidak memberi ruang dan peluang kepada “wanita pertama” itu menampilkan
keperibadian sebagai wanita yang penyayang
dan prihatin.
Keseronokan yang dialami Najib diluahkan
menerusi Twitter: “I visited ‘Little
India’ in Klang this morning. Interesting community indeed. Had banana leaf
lunch, capati and tosei!”
Untuk makluman kelompok etnosentrik yang
kurang mengenali makanan kaum India, Kamus Dewan menjelaskan bahawa
“tose” (ejaan Bahasa Malaysia) adalah “sejenis
makanan India yang dibuat daripada beras dan dimakan bersama kuah dal dan
sebagainya” manakala “capati” adalah “sejenis roti nipis yang dibuat daripada tepung
atta (asalnya dari India)”.
Bagaimanapun, saya lebih tertarik dan
terkesan dengan reaksi “interesting
community indeed”. Selepas memperkenalkan slogan muluk “1Malaysia” pada 2
April 2009, akhirnya pada 13 Januari 2013, Perdana Menteri tercinta menyedari
hakikat sebenar mengenai kaum India apabila datang ke Klang bagi suatu acara
yang diatur pembangkang di bawah kempen “Sayangi Selangor, Yakini BN”.
Pada pandangan saya, BN yang perlu “Sayangi Rakyat Selangor” dan “Yakini Pilihan Penduduk”. Seperti dinyatakan
tadi, agak jelas bahawa penduduk/pengundi yang “Sayangi Selangor” sudah sedia “Yakini
BN Sebagai Pembangkang” berikutan khidmat cemerlang yang diberikan kepada
seluruh penduduk Selangor sejak Mac 2008.
Selain daripada itu, tentulah BN tidak
perlu bimbang kerana jika prestasi PR merosot, pasti sahaja penduduk/pengundi
yang “Sayangi Selangor” akan memilih pembangkang (BN) untuk membentuk Kerajaan
Negeri Selangor. Saya juga akan berkempen menerusi tulisan untuk menolak mana-mana
kerajaan (negeri/pusat) yang korup dan gagal berkhidmat kepada rakyat. [RUJUK PELBAGAI PAUTAN DI SINI]
“Kita juga mesti mencari sokongan daripada
pertubuhan bukan kerajaan (NGO) seperti Sri Murugan Centre yang memberikan
keyakinan kepada BN,” kata Najib pada program di Klang, seperti dilaporkan
akhbar Utusan Malaysia (14 Januari
2013).
Cuma, saya sedikit kecewa dengan wakil Sri
Murugan Centre dan wakil MIC yang tidak memberitahu Najib bahawa
sambutan Ponggal adalah pada 14 Januari 2013,
manakala apa yang sebenarnya diraikan pada 13 Januari 2013 adalah “Boghi” di
mana secara penuh simbolik, penduduk kaum India mengumpulkan benda-benda yang
tidak diperlukan di suatu tempat (di Padang Cheti, misalnya) dan membakarnya
dengan penuh gembira. Ya, amat simbolik!
Sehari sebelumnya pula, dikhabarkan bahawa
lebih daripada 15,000 orang hadir di Tesco Semenyih sempena program bersama
rakyat anjuran Parti Barisan Kemajuan India Malaysia (IPF). Untuk makluman, IPF
sudah berkali-kali memohon menjadi komponen BN tetapi ditolak atas alasan
bahawa MIC adalah satu-satunya parti politik yang layak mewakili kaum India di
Malaysia.
Ternyata orang ramai – khususnya kaum India
– yang menghadiri Perhimpunan Semenyih sangat bertuah
kerana mendapat bantuan sekampit beras yang tentulah telah digunakan bagi
memasak nasi manis sempena Ponggal pada 14 Januari 2013. Walaupun terpaksa
berebut-rebut seperti mangsa kebuluran di Somalia, akhirnya dapat juga membawa
pulang beras dan beberapa barangan keperluan dapur secara percuma.
Bandingkan pula dengan orang ramai –
pelbagai kaum dan agama – yang “membazir masa” menghadiri Himpunan Kebangkitan Rakyat (HKR) di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur
pada tarikh yang sama. Apa yang mereka dapat? Tentulah penganjur HKR tidak
menyediakan kampit beras untuk digunakan bagi memasak nasi manis sempena
Ponggal. Sebaliknya peserta pula khabarnya diminta menghulurkan derma untuk
membayar kos sewa stadium.
Ada bebarapa orang yang menyertai HKR
mengaku mendapat “habuan” wang – tetapi sekadar wang kertas mainan tertera
gambar seorang wanita gemuk berambut palsu menggerbang berdiri di sisi seorang
lelaki pendek yang memakai gincu merah jambu. Tentulah wang itu tidak sah
digunakan dalam mana-mana urusan.
Menurut laporan Mingguan Malaysia (13 Januari 2013), HKR “gagal menarik perhatian
masyarakat India di negara ini apabila hanya dihadiri oleh beberapa ratus orang
sahaja”. Awang Selamat tampil mendedahkan bahawa “sasaran untuk menghimpunkan
sejuta orang tidak tercapai, ia cuma dihadiri tidak sampai 50,000 orang”.
Tentulah kaum India menjadi punca, bukan? Saya percaya, ramai yang memilih
secara “bijak” untuk ke Perhimpunan Semenyih kerana ada “habuan” material.
Peserta Perhimpunan Semenyih memang sangat
bertuah kerana mendapat sekampit beras dan peluang bertemu Pengerusi BN
merangkap Presiden UMNO merangkap Perdana Menteri; umpama bertemu Brahma, Vishnu dan Shiva. Peserta HKR
pula tidak mendapat apa-apa selain sekadar peluang untuk sama-sama menuntut
masa depan yang cerah menerusi pilihan raya yang adil, bebas, telus dan bersih.
Maka, dapat kita bayangkan bahawa pada hari
Isnin lalu (14 Januari 2013), dua hari selepas Perhimpunan Semenyih dan HKR,
lebih 15,000 keluarga kaum India sekitar Semenyih memasak nasi manis di rumah
sempena Ponggal menggunakan beras yang disedekahkan BN dan IPF.
Sekitar 50,000 keluarga peserta HKR (sumber:
Mingguan Malaysia) serta baki rakyat
Malaysia yang tidak menghadiri Perhimpunan Semenyih pula meraikan Ponggal
bersama-sama rakan-rakan dan jiran-tetangga pelbagai kaum dan agama sambil
berkongsi rasa bangga kerana berani tampil menuntut perubahan demi kemakmuran
dan masa depan negara tercinta. – Baca juga makalah
bertajuk Ponggal Perpaduan dan Janji Politik.
[Uthaya
Sankar SB adalah penulis sepenuh masa yang tidak menyokong mana-mana parti politik. Makalah ini ditulis pada 14 Januari 2013 dan disiarkan di Free Malaysia Today pada 19 Januari
2013. © Uthaya Sankar SB
2013. Harap maklum bahawa anda membaca
makalah ini serta segala kandungan di Blog Uthaya Sankar SB atas pilihan sendiri.]