Friday, 8 March 2013

Kutiyattam

[Seni persembahan tradisional kaum India yang paling dikenali di Malaysia adalah bharatanatyam.  Makalah ini pula membawa kita mengenali sebuah drama tari yang unik dari Kerala.]
Walaupun saya belum pernah menjejakkan kaki ke negara India, saya sangat kagum dengan seni persembahan tradisional di negara Asia Selatan itu; khususnya di negeri Kerala.
Semasa saya mengikuti pengajian media (major) dan seni persembahan (minor) di Universiti Malaya pada tahun 1990-an, saya secara khusus tertarik untuk mendalami aspek-aspek unik berkaitan drama tari dari negeri di Pantai Malabar itu.
Satu adalah kathakali yang saya dokumentasikan menerusi makalah budaya di Dewan Siswa (Oktober 1995) dan Free Malaysia Today (Jun 2011). Keunikan drama tari itu juga sempat saya adunkan menjadi cerpen berjudul “Kathakali” serta disiarkan di Dewan Siswa (April 2003) sebelum dimuatkan dalam buku Kathakali (2009).
Satu lagi drama tari yang menarik perhatian saya adalah kutiyattam yang pada asalnya berkait erat dengan upacara keagamaan Hindu di kuil. Ia menggunakan Bahasa Sanskrit, Malayalam serta Manipravala (gabungan Bahasa Malayalam dan Sanskrit) dalam nyanyian, dialog dan penceritaan.
Kutiyattam dipersembahkan di atas pentas disebut kutambalam yang dibina khas di perkarangan kuil, terutama di Kerala. Hasil kajian menerusi buku dan menonton klip video, saya pernah menulis makalah yang disiarkan di Dewan Budaya (April 1997).
Drama tari kutiyattam yang kini diiktiraf secara rasmi oleh Pertubuhan Pelajaran, Sains dan Kebudayaan Bangsa-bangsa Bersatu (Unesco) dipercayai bermula pada abad ke-10. Ia dipercayai berasaskan cerita tulisan Tolan. Andaian ini dibuat kerana skrip drama tari yang dihasilkan oleh Tolan diperturunkan daripada satu generasi kepada generasi seterusnya di Kerala. - Baca makalah penuh dalam Mandala Bicara.
[Makalah ini ditulis pada 13 Februari 2013 dan disiarkan di Roketkini pada 17 Februari 2013. © Uthaya Sankar SB 2013. Harap maklum bahawa anda membaca makalah ini serta segala kandungan di Blog Uthaya Sankar SB atas pilihan sendiri.]

No comments:

Post a Comment

Sila gunakan Bahasa Malaysia atau Bahasa Inggeris yang betul dari segi ejaan, tatabahasa, tanda baca, struktur ayat dan kesantunan berbahasa. Komen tanpa nama tidak akan dilayan. Komen yang tiada kaitan dengan topik tidak akan disiarkan. Pencemaran bahasa diharamkan!