5 Mar 2013

Kerajaan Perompak di Pulipore

[Sebuah fiksyen yang tidak dapat tidak pasti membuatkan pembaca tersenyum dan ketawa sendiri.]
 
Pulipore atau Tiger Isle tidak wujud 2,000 tahun dahulu. Maklumat mengenai pulau itu yang berbentuk kepala harimau khabarnya tiba-tiba muncul dalam cerita dongeng dan pada ukiran di kuil-kuil India Selatan pada sekitar tahun 200 Masehi.
 
Berbeza dengan Tanah Melayu, Sumatera dan Jakarta, Pulipore tidak mempunyai sebarang sumber asli mahu pun rempah-ratus untuk diperdagangkan. Apa yang ada hanyalah lokasi yang strategik di Asia Tenggara dan keindahan alam semula jadi yang menjadi tarikan utama.
 
Demikian antara paparan mengenai pulau mistik dan penuh misteri yang menjadi latar dalam novel Tiger Isle: A Government of Thieves (2012) karya E. S. Shankar.
 
Dipika Mukherjee menerusi novel Thunder Demons (2011) memulakan kisah fiksyen itu dengan insiden seorang wanita jelita diikat bahan letupan dan diletupkan di suatu lokasi di Shah Alam, Selangor, Malaysia atas arahan seorang politikus dan isterinya.
 
Kisah seorang pelakon wanita jelita dalam novel Tiger Isle yang dibunuh secara ganas melibatkan seorang pemimpin tertinggi dan isterinya pula berlaku di Pulipore – bukan Singapore dan bukan juga Malaysia – di mana “puli” adalah “harimau” dan “singa” adalah “singa” yang berasal daripada Bahasa Tamil.
 
Latar tempat Pulipore atau Tiger Isle – peta lokasi dan kedudukannya di Asia Tenggara disertakan dalam novel ini – mengingatkan saya pada Pulau Cinta yang menjadi latar bagi beberapa cerpen satira saya sendiri sejak 20 tahun lalu.
 
Novel setebal 328 halaman ini diterbitkan oleh Gerakbudaya Enterprise dan sangat seronok dibaca. Pada 1 Januari 2013, saya ke Seremban menaiki Komuter untuk menguruskan program “Konvoi ke Rumah Ibadat” yang dijadualkan pada 17 Februari 2013. Dalam perjalanan pergi dan pulang, saya menghayati novel Bahasa Inggeris ini.
 
Guna isu perkauman untuk terus berkuasa
 
Novel Tiger Isle menampilkan sebuah kerajaan yang mengamalkan rasuah dan penyalahgunaan kuasa secara keterlaluan; maka dimasukkan tajuk kecil “A Government of Thieves” pada judul novel.
 
Presiden keenam negara ini – ingat: bukan Perdana Menteri – ialah Kapalin Blowfish Black Panther Chandran yang tidak teragak-agak menggunakan isu perkauman dan agama untuk terus berkuasa. Musuh politiknya ialah presiden Democratic Justice Party (DJP), Maitreya Blue Dolphin Suryan yang pernah dituduh terlibat dalam kes rogol dan liwat.
 
Isteri Presiden Kapalin bernama Natasha dan wanita yang bercita-cita tinggi dan mabuk kuasa itu dipercayai terlibat sama dalam kes pembunuhan seorang pelakon wanita terkenal di negara berkenaan.
 
Dalam pada itu, Mantan Presiden iaitu Bhairav Oak Broad Leaf Sivan (presiden kelima) mempunyai agenda politik tersendiri; iaitu menyingkirkan Kapalin dan mengangkat anak sulungnya, Duryodhana Acacia Broad Leaf Sivan, sebagai Presiden Pulipore.
 
Di tengah-tengah segala percaturan politik – sekali gus ekonomi, jenayah, sosial, budaya, agama dan kaum – muncul pula watak Rekha Krishnasamy Roshan, ibu kepada dua anak yang memperjuangkan konsep “We are all of One Race, the Human Race”.
 
Harus saya nyatakan bahawa terdapat banyak watak kaum India, budaya India dan agama Hindu dalam novel ini. Hal ini perlu saya sebut sebelum saya dituduh mempromosi karya yang memuatkan unsur penyebaran agama Hindu. Pembaca yang biasa dengan budaya India dan agama Hindu – khususnya nama-nama dewa – akan lebih mudah memahami cerita dan jenaka yang disajikan.
 
Ada begitu ramai watak dalam novel ini dan pembaca pula boleh mengaitkan setiap watak dengan individu tertentu yang mungkin dikenali dalam realiti. Namun, tentulah novel ini hanya sebuah karya fiksyen yang berlaku pula di sebuah pulau yang tidak wujud.
 
Sejarah kelahiran Pulipore
 
Halaman demi halaman novel ini terus-menerus mengundang rasa ingin tahu saya untuk mengetahui apa yang berlaku seterusnya. Latar masa berubah-ubah antara masa kini dan masa silam.
 
Kisah bermula pada 4 September 2012 dengan berita kematian Rekha. Anak perempuan Rekha bernama Lakshmi Roshan Prasad Rekha. Janaki Redwood Rekha pula generasi kelima selepas Lakshmi, dan antara penduduk terakhir Tiger Isle yang masih hidup.
 
Kisah nenek-moyang yang berasal dari India dan kemudian berbangga menjadi warga Tiger Isle juga dihuraikan secara terperinci. Kisahnya hampir sama seperti kisah penduduk India yang datang ke Tanah Melayu pada suatu masa dahulu; sebagaimana terkandung dalam buku The Malaysian Indian Dilemma (2010) susunan Janakey Raman Manickam.
 
Watak Bhairav dikatakan mengemukakan retorik “pandang ke timur” semasa menjadi Presiden Tiger Isle. Dia juga mengemukakan hipotesis berbentuk konspirasi “dunia maya avatar” berhubung insiden 9/11. Dia pernah menjadi presiden United National Tigerists Association (UNTA) serta percaya bahawa penggantinya, Kapalin, hanya mampu memegang tampuk kuasa selama satu penggal.
 
“Dia (Kapalin) sangat lemah dan tidak mempunyai keberanian untuk melaksanakan reformasi sosial, politik dan ekonomi yang kurang popular tetapi sangat penting. Isterinya (Natasha) tidak punya apa-apa kedudukan mengikut undang-undang tetapi wanita itu membayangkan dirinya Puteri Diana atau Hillary Clinton. Semua orang membenci sikap borosnya yang membeli-belah di seluruh dunia menggunakan wang rakyat,” kata Bhairav kepada Duryodhana.
 
Sejarah kelahiran Pulipore ada kaitan erat dengan mitos Hindu melibatkan empat dewa iaitu Sivan, Suryan, Chandran dan Krishnan, serta Gurunandha selaku ketua sami. Ketua agama Hindu itu dikatakan kemudian mengasaskan agama baru yang dinamakan “Tigerism” di mana pengikutnya digelar “Tigerist”.
 
Apabila Pulipore mencapai kemerdekaan pada tahun 1960, penduduk berdarah empat dewa berkenaan dan menganut agama Tigerism membentuk 40 peratus jumlah penduduk. Sejumlah 40 peratus lagi adalah kaum Cina yang dibawa dari China sebagai buruh oleh British tetapi kini sudah menjadi peniaga.
 
Sejarah, mitos, legenda dan hikayat
 
Penduduk Melayu-Islam dari Tanah Melayu dan Indonesia yang terlibat dalam pertanian, perikanan dan perdagangan berjumlah 7 peratus, manakala penduduk etnik Melayu (Bukan Islam), Sri Lanka, Punjabi, Gujrati, Arab, Turki, India-Muslim, Portugis, Belanda, Pakistan, Filipina dan Orang Asli membentuk 4 peratus penduduk.
 
Warga pelbagai etnik dan agama hidup aman damai di pulau itu. Bagaimanapun, segala-galanya berubah pada 1980 apabila presiden keempat, Devadeva Chola Mountain River Suryan yang berdarah campuran India, Turki, Arab, Melayu dan Pulipore melepaskan jawatan atas sebab masalah kesihatan.
 
Beliau menamakan Bhairav sebagai pengganti, tanpa menyedari bahawa pemimpin itu bakal membawa kepada kehancuran Tiger Isle menerusi polisi perkauman dan keagamaan yang sekali gus secara terang-terangan menindas serta menafikan hak penduduk lain. Kisah ini segera mengingatkan saya pada “Faksyen Pulau Cinta” (Free Malaysia Today, April-Mei 2011).
 
Sebenarnya, Bhairav sudah memulakan rasisme dan diskriminasi agama sejak menjadi Menteri Pelajaran. Rekha antara generasi muda penduduk Tiger Isle yang menjadi mangsa sistem kuota yang memberi keistimewaan secara berlebihan dan tidak wajar kepada penduduk beragama Tigerism.
 
Kisah-kisah mengenai Adhi Gurunandha, Tigerisme, Pulipuranam dan asal-usul nama-nama penduduk keturunan empat dewa di Pulipore juga amat menarik untuk dibaca; secara santai mahupun secara serius dengan mengaitkan bersama-sama sejarah, mitos, legenda dan hikayat yang diketahui.
 
Bahagian awal novel ini banyak mendedahkan mengenai watak Bhairav. Bapanya seorang lelaki keturunan Tamil-Dravida bernama Rengasamy Muthu. Rengasamy mengahwini Sita dan mendapat enam anak perempuan.
 
Kemudian, Rengasamy mengahwini seorang janda bernama Rhamba, lalu mendapat dua anak lelaki iaitu Mahathevan dan Mahabalan. Pada 27 Jun 1914, Rengasamy dan Mahathevan berlayar dari Madras, Tamil Nadu ke Chandrapore, Tiger Isle untuk bekerja.
 
Demi kepentingan politik dan kroni
 
Di sini, Rengasamy bertemu dan berkahwin dengan Parvathy Lotus Jagged Lightning, iaitu anak kepada seorang ketua kampung bernama Parameswara Jagged Lightning Sivan. Anak-anak yang lahir dinamakan Lingamraja Jacaranda Jagged Lightning Sivan dan Lalitha Dewi Sirikit Hibiscus Jagged Lightning Sivan.
 
Tidak lama kemudian, sewaktu menziarah keluarga pertama dan kedua di Madras, Rengasamy meninggal dunia. Rhamba menasihatkan supaya Mahathevan terus menetap di Pulipore.
 
Perasaan marah terhadap sikap ibu bapa kandungnya dipendam sehingga Mahathevan mencapai umur 16 tahun. Lalu dia membakar sijil lahirnya dan meminta Parameswara (datuk tiri) mengambilnya sebagai anak angkat secara rasmi.
 
Mulai saat itu, nama Mahathevan bertukar menjadi Aja Teak Jagged Lightning Sivan dan dia memeluk agama Tigerism dan menjadi Tigerist. Pada usia 25 tahun, Aja mengahwini Uma Oak Broad Leaf Sivan, anak seorang lagi ketua kampung.
 
Pada 8 Disember 1929, lahirlah Bhairav Jagged Lightning Sivan yang kemudian menjadi Presiden Pulipore pada 6 Januari 1980. Akan tetapi, sebelum itu, sebaik sahaja mencapai usia 18 tahun, Bhairav menukar namanya kepada Bhairav Oak Broad Leaf Sivan kerana tidak mahu ada apa-apa pertalian dengan bapanya yang ada darah kaum India dan agama Hindu.
 
Apa yang saya paparkan di sini hanyalah sebahagian kecil daripada kisah pada halaman 1-89 dalam novel setebal 328 halaman. Maka, anda boleh membayangkan sendiri pelbagai kisah, rahsia dan konspirasi yang termuat dalam novel ini.
 
Novel Bahasa Inggeris ini tepu dengan unsur budaya India dan pelbagai frasa dalam Bahasa Tamil dan Sanskrit. Hal ini tidak menghairankan kerana sejarah Pulipore bermula dengan budaya India dan agama Hindu sebelum segala fakta itu disembunyikan, dihapuskan dan dinafikan wujud oleh Bhairav dan Kapalin demi kepentingan politik dan kroni.
 
Novel Tiger Isle: A Government of Thieves boleh dibaca sebagai sebuah fiksyen atau sebuah faksyen yang menggabungkan fakta dan fiksyen. Apa yang pasti, peminat dan pemerhati politik Pulipore pasti seronok membaca buku ini untuk memahami pelbagai konspirasi yang didedahkan sedikit demi sedikit secara penuh kreatif tetapi meyakinkan.
 
[Ulasan ini ditulis pada 3 Januari 2013 dan disiarkan di Free Malaysia Today pada 7 Januari 2013. © Uthaya Sankar SB 2013. Harap maklum bahawa anda membaca makalah ini serta segala kandungan di Blog Uthaya Sankar SB atas pilihan sendiri. Sila KLIK DI SINI untuk maklumat lanjut mengenai ruangan ulasan buku]