[Sebuah fiksyen yang tidak dapat tidak pasti membuatkan pembaca
tersenyum dan ketawa sendiri.]
Pulipore atau Tiger
Isle tidak wujud 2,000 tahun dahulu. Maklumat mengenai pulau itu yang berbentuk
kepala harimau khabarnya tiba-tiba muncul dalam cerita dongeng dan pada ukiran
di kuil-kuil India Selatan pada sekitar tahun 200 Masehi.
Berbeza dengan Tanah
Melayu, Sumatera dan Jakarta, Pulipore tidak mempunyai sebarang sumber asli
mahu pun rempah-ratus untuk diperdagangkan. Apa yang ada hanyalah lokasi yang
strategik di Asia Tenggara dan keindahan alam semula jadi yang menjadi tarikan
utama.
Demikian antara paparan
mengenai pulau mistik dan penuh misteri yang menjadi latar dalam novel Tiger Isle: A Government of Thieves (2012) karya E. S. Shankar.
Dipika Mukherjee
menerusi novel Thunder Demons (2011) memulakan kisah fiksyen itu dengan insiden seorang
wanita jelita diikat bahan letupan dan diletupkan di suatu lokasi di Shah Alam,
Selangor, Malaysia atas arahan seorang politikus dan isterinya.
Kisah seorang pelakon
wanita jelita dalam novel Tiger Isle
yang dibunuh secara ganas melibatkan seorang pemimpin tertinggi dan isterinya
pula berlaku di Pulipore – bukan Singapore dan bukan juga Malaysia – di mana
“puli” adalah “harimau” dan “singa” adalah “singa” yang berasal daripada Bahasa
Tamil.
Latar tempat Pulipore
atau Tiger Isle – peta lokasi dan kedudukannya di Asia Tenggara disertakan
dalam novel ini – mengingatkan saya pada Pulau Cinta yang menjadi latar bagi beberapa cerpen satira saya sendiri
sejak 20 tahun lalu.
Novel setebal 328
halaman ini diterbitkan oleh Gerakbudaya Enterprise dan sangat seronok dibaca.
Pada 1 Januari 2013, saya ke Seremban menaiki Komuter untuk menguruskan program
“Konvoi ke Rumah Ibadat” yang dijadualkan pada 17 Februari 2013. Dalam perjalanan
pergi dan pulang, saya menghayati novel Bahasa Inggeris ini.
Guna isu perkauman untuk terus berkuasa
Novel Tiger Isle menampilkan sebuah kerajaan
yang mengamalkan rasuah dan penyalahgunaan kuasa secara keterlaluan; maka
dimasukkan tajuk kecil “A Government of Thieves” pada judul novel.
Presiden keenam negara
ini – ingat: bukan Perdana Menteri – ialah Kapalin Blowfish Black Panther
Chandran yang tidak teragak-agak menggunakan isu perkauman dan agama untuk
terus berkuasa. Musuh politiknya ialah presiden Democratic Justice Party (DJP),
Maitreya Blue Dolphin Suryan yang pernah dituduh terlibat dalam kes rogol dan
liwat.
Isteri Presiden Kapalin
bernama Natasha dan wanita yang bercita-cita tinggi dan mabuk kuasa itu
dipercayai terlibat sama dalam kes pembunuhan seorang pelakon wanita terkenal
di negara berkenaan.
Dalam pada itu, Mantan
Presiden iaitu Bhairav Oak Broad Leaf Sivan (presiden kelima) mempunyai agenda
politik tersendiri; iaitu menyingkirkan Kapalin dan mengangkat anak sulungnya,
Duryodhana Acacia Broad Leaf Sivan, sebagai Presiden Pulipore.
Di tengah-tengah segala
percaturan politik – sekali gus ekonomi, jenayah, sosial, budaya, agama dan
kaum – muncul pula watak Rekha Krishnasamy Roshan, ibu kepada dua anak yang
memperjuangkan konsep “We are all of One
Race, the Human Race”.
Harus saya nyatakan
bahawa terdapat banyak watak kaum India, budaya India dan agama Hindu dalam novel ini. Hal ini perlu saya sebut sebelum saya
dituduh mempromosi karya yang memuatkan unsur penyebaran agama Hindu. Pembaca yang biasa dengan budaya India dan
agama Hindu – khususnya nama-nama dewa – akan lebih mudah memahami cerita dan
jenaka yang disajikan.
Ada begitu ramai watak
dalam novel ini dan pembaca pula boleh mengaitkan setiap watak dengan individu
tertentu yang mungkin dikenali dalam realiti. Namun, tentulah novel ini hanya
sebuah karya fiksyen yang berlaku pula di sebuah pulau yang tidak wujud.
Sejarah kelahiran Pulipore
Halaman demi halaman
novel ini terus-menerus mengundang rasa ingin tahu saya untuk mengetahui apa
yang berlaku seterusnya. Latar masa berubah-ubah antara masa kini dan masa
silam.
Kisah bermula pada 4
September 2012 dengan berita kematian Rekha. Anak perempuan Rekha bernama
Lakshmi Roshan Prasad Rekha. Janaki Redwood Rekha pula generasi kelima selepas
Lakshmi, dan antara penduduk terakhir Tiger Isle yang masih hidup.
Kisah nenek-moyang yang
berasal dari India dan kemudian berbangga menjadi warga Tiger Isle juga
dihuraikan secara terperinci. Kisahnya hampir sama seperti kisah penduduk India
yang datang ke Tanah Melayu pada suatu masa dahulu; sebagaimana terkandung
dalam buku The Malaysian Indian Dilemma (2010) susunan Janakey Raman Manickam.
Watak Bhairav dikatakan
mengemukakan retorik “pandang ke timur” semasa menjadi Presiden Tiger Isle. Dia
juga mengemukakan hipotesis berbentuk konspirasi “dunia maya avatar” berhubung insiden 9/11. Dia pernah menjadi presiden
United National Tigerists Association (UNTA) serta percaya bahawa penggantinya,
Kapalin, hanya mampu memegang tampuk kuasa selama satu penggal.
“Dia (Kapalin) sangat
lemah dan tidak mempunyai keberanian untuk melaksanakan reformasi sosial,
politik dan ekonomi yang kurang popular tetapi sangat penting. Isterinya
(Natasha) tidak punya apa-apa kedudukan mengikut undang-undang tetapi wanita
itu membayangkan dirinya Puteri Diana atau Hillary Clinton. Semua orang
membenci sikap borosnya yang membeli-belah di seluruh dunia menggunakan wang
rakyat,” kata Bhairav kepada Duryodhana.
Sejarah kelahiran
Pulipore ada kaitan erat dengan mitos Hindu melibatkan empat dewa iaitu Sivan,
Suryan, Chandran dan Krishnan, serta Gurunandha selaku ketua sami. Ketua agama
Hindu itu dikatakan kemudian mengasaskan agama baru yang dinamakan “Tigerism”
di mana pengikutnya digelar “Tigerist”.
Apabila Pulipore mencapai
kemerdekaan pada tahun 1960, penduduk berdarah empat dewa berkenaan dan
menganut agama Tigerism membentuk 40 peratus jumlah penduduk. Sejumlah 40
peratus lagi adalah kaum Cina yang dibawa dari China sebagai buruh oleh British
tetapi kini sudah menjadi peniaga.
Sejarah, mitos, legenda dan hikayat
Penduduk Melayu-Islam dari Tanah Melayu dan Indonesia yang terlibat dalam
pertanian, perikanan dan perdagangan berjumlah 7 peratus, manakala penduduk
etnik Melayu (Bukan Islam), Sri Lanka, Punjabi, Gujrati, Arab, Turki,
India-Muslim, Portugis, Belanda, Pakistan, Filipina dan Orang Asli membentuk 4
peratus penduduk.
Warga pelbagai etnik
dan agama hidup aman damai di pulau itu. Bagaimanapun, segala-galanya berubah
pada 1980 apabila presiden keempat, Devadeva Chola Mountain River Suryan yang
berdarah campuran India, Turki, Arab, Melayu dan Pulipore melepaskan jawatan
atas sebab masalah kesihatan.
Beliau menamakan
Bhairav sebagai pengganti, tanpa menyedari bahawa pemimpin itu bakal membawa
kepada kehancuran Tiger Isle menerusi polisi perkauman dan keagamaan yang
sekali gus secara terang-terangan menindas serta menafikan hak penduduk lain.
Kisah ini segera mengingatkan saya pada “Faksyen Pulau Cinta” (Free Malaysia
Today, April-Mei 2011).
Sebenarnya, Bhairav sudah
memulakan rasisme dan diskriminasi agama sejak menjadi Menteri Pelajaran. Rekha
antara generasi muda penduduk Tiger Isle yang menjadi mangsa sistem kuota yang
memberi keistimewaan secara berlebihan dan tidak wajar kepada penduduk beragama
Tigerism.
Kisah-kisah mengenai
Adhi Gurunandha, Tigerisme, Pulipuranam dan asal-usul nama-nama penduduk
keturunan empat dewa di Pulipore juga amat menarik untuk dibaca; secara santai
mahupun secara serius dengan mengaitkan bersama-sama sejarah, mitos, legenda
dan hikayat yang diketahui.
Bahagian awal novel ini
banyak mendedahkan mengenai watak Bhairav. Bapanya seorang lelaki keturunan
Tamil-Dravida bernama Rengasamy Muthu. Rengasamy mengahwini Sita dan mendapat
enam anak perempuan.
Kemudian, Rengasamy
mengahwini seorang janda bernama Rhamba, lalu mendapat dua anak lelaki iaitu
Mahathevan dan Mahabalan. Pada 27 Jun 1914, Rengasamy dan Mahathevan berlayar
dari Madras, Tamil Nadu ke Chandrapore, Tiger Isle untuk bekerja.
Demi kepentingan politik dan kroni
Di sini, Rengasamy
bertemu dan berkahwin dengan Parvathy Lotus Jagged Lightning, iaitu anak kepada
seorang ketua kampung bernama Parameswara Jagged Lightning Sivan. Anak-anak
yang lahir dinamakan Lingamraja Jacaranda Jagged Lightning Sivan dan Lalitha
Dewi Sirikit Hibiscus Jagged Lightning Sivan.
Tidak lama kemudian,
sewaktu menziarah keluarga pertama dan kedua di Madras, Rengasamy meninggal
dunia. Rhamba menasihatkan supaya Mahathevan terus menetap di Pulipore.
Perasaan marah terhadap
sikap ibu bapa kandungnya dipendam sehingga Mahathevan mencapai umur 16 tahun.
Lalu dia membakar sijil lahirnya dan meminta Parameswara (datuk tiri)
mengambilnya sebagai anak angkat secara rasmi.
Mulai saat itu, nama
Mahathevan bertukar menjadi Aja Teak Jagged Lightning Sivan dan dia memeluk
agama Tigerism dan menjadi Tigerist. Pada usia 25 tahun, Aja mengahwini Uma Oak
Broad Leaf Sivan, anak seorang lagi ketua kampung.
Pada 8 Disember 1929,
lahirlah Bhairav Jagged Lightning Sivan yang kemudian menjadi Presiden Pulipore
pada 6 Januari 1980. Akan tetapi, sebelum itu, sebaik sahaja mencapai usia 18
tahun, Bhairav menukar namanya kepada Bhairav Oak Broad Leaf Sivan kerana tidak
mahu ada apa-apa pertalian dengan bapanya yang ada darah kaum India dan agama
Hindu.
Apa yang saya paparkan
di sini hanyalah sebahagian kecil daripada kisah pada halaman 1-89 dalam novel
setebal 328 halaman. Maka, anda boleh membayangkan sendiri pelbagai kisah,
rahsia dan konspirasi yang termuat dalam novel ini.
Novel Bahasa Inggeris
ini tepu dengan unsur budaya India dan pelbagai frasa dalam Bahasa Tamil dan
Sanskrit. Hal ini tidak menghairankan kerana sejarah Pulipore bermula dengan
budaya India dan agama Hindu sebelum segala fakta itu disembunyikan, dihapuskan
dan dinafikan wujud oleh Bhairav dan Kapalin demi kepentingan politik dan
kroni.
Novel Tiger Isle: A Government of Thieves boleh dibaca sebagai sebuah fiksyen atau sebuah
faksyen yang menggabungkan fakta dan fiksyen. Apa yang pasti,
peminat dan pemerhati politik Pulipore pasti seronok membaca buku ini untuk
memahami pelbagai konspirasi yang didedahkan sedikit demi sedikit secara penuh
kreatif tetapi meyakinkan.
[Ulasan
ini ditulis pada 3 Januari 2013 dan disiarkan di Free Malaysia Today pada 7 Januari 2013.
© Uthaya Sankar SB
2013. Harap maklum bahawa anda membaca
makalah ini serta segala kandungan di Blog Uthaya Sankar SB atas pilihan sendiri. Sila KLIK DI SINI untuk
maklumat lanjut mengenai ruangan ulasan buku]