Reaksi orang ramai berikutan klip video “Listen Listen Listen” yang tersebar
luas baru-baru ini adalah berbelah-bagi. Rata-rata masyarakat pelbagai kaum
yang waras (ulang: waras) menyedari betapa Sharifah Zohra Jabeen Syed Shah Miskin Albukhary telah memalukan diri serta pertubuhan yang diwakili.
[Sila rujuk juga makalah berkaitan
bertajuk Listen Listen Listen Zohra – DI SINI]
Pada masa yang sama, ada juga puak
etnosentrik yang bersikap “pantang menyerah kalah” lalu mula menggunakan ruang
siber – khususnya Facebook – untuk
menghina Bawani KS, mahasiswi tahun dua jurusan undang-undang di Universiti
Utara Malaysia (UUM).
Insiden memalukan yang berlaku semasa
forum “Seiringkah Mahasiswa dan Siswi dengan Politik?” di UUM pada 8 Disember
2012 seharusnya membuka mata pelbagai pihak; khususnya politikus yang suka
membuka mulut tanpa berfikir. Malangnya, dalam kes ini, ramai anggota
masyarakat yang memilih untuk melakukan serangan berbaur perkauman dan agama
terhadap individu terbabit.
Sebenarnya, teknik mengasak dan
mengacah untuk menakutkan orang – khususnya minoriti – bukanlah sesuatu yang
baru. Saya pernah menghadiri perhimpunan membantah isu Interlok
dipolitikkan anjuran
Gabungan Persatuan Penulis Nasional Malayaia (Gapena) dan NGO-NGO Melayu di
Rumah Gapena, Kuala Lumpur pada 15 Januari 2011.
Walaupun saya hanya hadir sebagai
penonton, saya dipaksa naik ke pentas untuk menjelaskan beberapa perkara. Ada
pula kumpulan yang melakukan provokasi dan mengasak dengan laungan “Now! Now! Now!” bagi mendesak saya
menjawab pertanyaan mereka. Paparan itu juga ada di YouTube tetapi tidak sehangat klip video UUM.
Situasi yang sebaliknya pula berlaku
dalam kes melibatkan Bawani dan Zohra. Bawani tidak diasak supaya bercakap;
sebaliknya dihalang daripada bercakap. Zohra tidak diasak supaya bercakap;
tetapi dia membuat pilihan sendiri untuk menonjolkan tahap mentaliti sebenar.
Lebih menarik apabila klip video itu
khabarnya dimuat naik ke YouTube
dengan niat untuk menunjukkan “kehebatan” Zohra dan “memalukan” Bawani yang
merupakan seorang aktivis di dalam dan luar kampus. Akhirnya, senjata makan
tuan dan kita semua sedia maklum apa yang berlaku.
Zohra yang merupakan Presiden Suara
Wanita 1Malaysia (SW1M) melakukan kesilapan demi kesilapan dalam insiden itu.
Sebagai seorang perunding media, saya akan menasihatkan wanita itu supaya
jangan bercakap sekiranya tidak tahu bercakap atau tidak ada apa-apa hujah.
Bercakap adalah suatu seni dan kedudukan Zohra sebagai presiden sebuah
pertubuhan yang menggunakan logo “1Malaysia” tidak memberikannya kelebihan dan hak untuk bercakap
apa sahaja tanpa berfikir.
Selepas klip video itu tersebar luas
dan pelbagai pihak meluahkan kemarahan, Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin
mengeluarkan kenyataan menerusi Twitter
pada 14 Januari 2013: “This Jabeen lady
DOES NOT represent BN” (Wanita Jabeen ini TIDAK mewakili BN).
UMNO, KIMMA tak mahu tanggung malu
Laporan media pada 9 Disember 2012
mengenai tuduhan Zohra bahawa pengerusi bersama Gabungan Pilihan Raya Bersih
dan Adil (Bersih 2.0), Datuk Ambiga Sreenevasan adalah seorang anarkis masih
menyebut wanita itu sebagai Timbalan Ketua Wanita Kongres India Muslim Malaysia
(KIMMA) Kebangsaan.
Bagaimanapun, pada 15 Januari 2013, The Malaysian Insider menyiarkan
kenyataan rasmi Presiden KIMMA, Senator Datuk Syed Ibrahim Kader yang
mengesahkan, “kami memang tahu tentang sikap liar dan agresif beliau ini dan
susah nak kawal beliau ini. Namun, beliau kini tidak berada dalam parti lagi”.
SW1M juga mengeluarkan kenyataan
menerusi Twitter pada 15 Januari 2013
untuk membela presidennya: “hanya kerana seorang student yg xmo diam
apabila diberi microphone kecoh cytroo2 pr semua”. Terjemahan: “Hanya kerana seorang pelajar yang
tidak mahu diam apabila diberi mikrofon, kecoh semua tentera siber Pakatan
Rakyat.”
Mungkin SW1M
tidak sedar bahawa reaksi yang diterima tiada kaitan dengan mana-mana parti
politik. Memandangkan Barisan Nasional (BN; juga ‘Bar1san
Nas1onal’) dan KIMMA sudah tidak lagi mengaku Zohra ada kaitan dengan mereka,
maka ada pula usaha menuduh pembangkang dalam isu yang timbul. Tindakan tidak
bijak demi tidakan tidak bijak terus dilakukan Zohra dan SW1M.
Pengerusi National Indian Rights Action Team
(NIAT; dulu National Interlok Action Team),
Datuk Thasleem Mohamed Ibrahim turut mengeluarkan kenyataan di Facebook untuk mengesahkan Zohra tidak
lagi bersama KIMMA.
“She is a Pakistani lady from Gombak and
reliable sources tell me that she is planted by UMNO to humiliate the Indian
community. She was booted out of KIMMA,” katanya. Terjemahan: “Dia seorang
wanita Pakistan dari Gombak dan sumber-sumber yang boleh dipercayai memberitahu
saya bahawa dia ‘ditanam’ oleh UMNO untuk menghina masyarakat India.
Dia sudah ditendang keluar dari KIMMA.”
Dalam satu lagi
insiden susulan, seorang ahli Wanita UMNO bernama Norhayati Saiddin menulis di Facebook: “Deii
Bawani.. kalau mau pendidikan percuma tanggechi pergi ler belajar sana India…
you mother land.. sana tanggechi boleh dapat pree… ammakk!! Untung lorrr… dulu
India banyak duduk estet… itu jamban pun lu orang tarak tau… sekarang India org
banyak mahu sebab itu BN ada perintah ini negeri.”
Kebodohan dan sikap menghina yang
ditonjolkan secara terbuka oleh wanita itu mendapat bantahan masyarakat pelbagai kaum dan agama.
Susulan daripada itu, Norhayati
mengeluarkan kenyataan memohon maaf pada 16 Januari 2013:
“Kepada semua
kawan2 saya yg berbangsa India. Maafkan saya jika
komen saya membuat anda semua tidak selesa. Saya telah meminta maaf pada hari
yg saya berhujah dan saya juga telah jelaskan perkara yg sebenar. Dalam komen
saya itu saya tidak pernah suruh Bawani balik tapi saya ada suruh dia pergi ke
India belajar di sana kalau nak percuma dan mengenai perkara JAMBAN pula kita
kena akui semasa awal kemerdekaan kita semua mana kenal tandas dan selepas
negara tgh membangun barulah kita menikmati kemudahan2 tersebut!”
Pada pemerhatian
saya, UMNO dan sekutu tidak memerlukan “pembangkang” untuk menumbangkan BN. Isu
Altantuya Shaariibuu juga sudah tidak perlu. ‘Orang dalam’ seperti
Zohra dan Norhayati sudah lebih daripada mencukupi. NGO-NGO yang
sewenang-wenangnya menggunakan logo “1Malaysia” memadai untuk menghancurkan
gagasan murni itu.
Usaha tumbangkan BN, UMNO?
Sebelum ini, ada
pemerhati politik yang mengeluarkan pendapat bahawa timbalannya sendiri mungkin
(ulang: mungkin) sedang cuba ‘menjatuhkan’ Datuk Seri Najib Razak; khususnya dalam isu “Malay first VS Malaysian first” (2010)
dan teks Interlok: Edisi Murid (2010). Akan
tetapi, rasa-rasanya “nyamuk-nyamuk” seperti Zohra dan Norhayati sudah memadai
untuk menumbangkan BN dan menghancurkan UMNO buat selama-lamanya.
Najib selaku
Pengerusi BN dan Presiden UMNO sepatutnya meminta (menasihatkan, merayu,
mengarahkan atau mewajibkan) para ahli, penyokong dan NGO pro-BN supaya menutup
mulut; sekurang-kurangnya sehingga Pilihan Raya Umum Ke-13 selesai.
Akan tetapi, saya
tidak menolak kemungkinan Zohra (atau nama manjanya Nikki Da Best) merampas
mikrofon daripada Najib dan berkata: “Listen
Listen Listen Listen Listen …”
Semasa isu novel
Komsas Interlok: Edisi Murid muncul,
ada puak dan juak-juak yang menuduh saya menjadi dalang. Kononnya saya dan Kumpulan Sasterawan Kavyan (Kavyan) adalah
golongan anti-Melayu dan anti-Islam. Kempen sama
diteruskan apabila kami mengusahakan aktiviti berbentuk perpaduan kaum dan
agama, serta berusaha memartabatkan Bahasa Malaysia sebagai milik Bangsa Malaysia. Pada Julai 2012,
seorang budak hingusan tampil dengan “Sifir Mudah Mengapa Perjuangan Kavyan Mesti Ditolak”!
Seorang penulis
Bukan Melayu yang sangat terkenal dalam kalangan penulis dan pembaca Melayu
menghantar SMS kepada saya pada Januari 2011 untuk memberi maklumat: “Semua yg
dtg dngan si XYZ [nama dibuang] yg cetek ilmu tu, guna frasa yg sama trhadap
Uthaya. Tak habis-habis otak sempit, fikiran dangkal dan perangai pelik mereka.
Berkali-kali kumpulan si XYZ tu datang pada saya memberi tahu saya, ‘ni semua
kerja Uthaya’.” [BACA SMS PENUH DI SINI]
Terbaru, apabila
Patrick Teoh didapati mengeluarkan kenyataan berbaur penghinaan agama di Facebook, nama saya juga yang diseret
masuk. Seolah-olah sayalah punca bagi segala masalah; termasuk masalah jamban
tersumbat di rumah orang.
“Itu
pasal bro Pyan, ..kita ni ‘konon sporting’ sgt! mmg lahanat la depa ni.. sekoq
lg anak indu paria keling uthaya sankar.. yang orang kita pon punya la dok
sokong.. konon2 abes intelektual sgt dah..,” komen individu bernama Huya Fattah (Hamada Gang) apabila
seorang rakan penulis meluahkan kekecewaan terhadap tindakan Teoh.
Bagi membantu pemahaman, terjemahan kata-kata itu adalah
begini: “That’s the thing, Brother Pyan.
… We’re supposedly too sporting! Those people (Non Malays) are a damned lot.
Another one is this Hindu Pariah Keling Uthaya Sankar. Our people (Malays) are
also supporting him; supposedly an intellectual person.”
Apabila rakan-rakan mahu menulis sebarang komen pada
dinding Facebook saya, syarat utama yang
diletakkan adalah supaya mereka memastikan penggunaan bahasa yang betul. Dengan
cara itu, saya berharap semua orang (termasuk diri saya) akan membaca semula
dan menilai apa yang ditulis sebelum menekan butang “post”.
Benarlah kata orang tua-tua: Terlajak perahu boleh
diundur, terlajak kata buruk padahnya. Apatah lagi kata-kata itu sudah tersebar
menerusi ruang siber tanpa sempadan. Semoga kekhilafan Zohra, Norhayati, Teoh
dan Huya menjadi pengajaran berguna kepada kita semua; dengan izin Tuhan.
[Uthaya
Sankar SB adalah pemilik tunggal Perunding Media, Motivasi dan Penerbitan Uthaya.
Makalah ini ditulis pada 17 Januari 2013 dan disiarkan di The Malaysian Insider pada 21 Januari
2013. © Uthaya Sankar SB
2013. Harap maklum bahawa anda membaca
makalah ini serta segala kandungan di Blog Uthaya Sankar SB atas pilihan sendiri.]