27 Feb 2013

Pengajaran Sharifah Zohra

Reaksi orang ramai berikutan klip video “Listen Listen Listen” yang tersebar luas baru-baru ini adalah berbelah-bagi. Rata-rata masyarakat pelbagai kaum yang waras (ulang: waras) menyedari betapa Sharifah Zohra Jabeen Syed Shah Miskin Albukhary telah memalukan diri serta pertubuhan yang diwakili.
 
[Sila rujuk juga makalah berkaitan bertajuk Listen Listen Listen ZohraDI SINI]
 
Pada masa yang sama, ada juga puak etnosentrik yang bersikap “pantang menyerah kalah” lalu mula menggunakan ruang siber – khususnya Facebook – untuk menghina Bawani KS, mahasiswi tahun dua jurusan undang-undang di Universiti Utara Malaysia (UUM).
 
Insiden memalukan yang berlaku semasa forum “Seiringkah Mahasiswa dan Siswi dengan Politik?” di UUM pada 8 Disember 2012 seharusnya membuka mata pelbagai pihak; khususnya politikus yang suka membuka mulut tanpa berfikir. Malangnya, dalam kes ini, ramai anggota masyarakat yang memilih untuk melakukan serangan berbaur perkauman dan agama terhadap individu terbabit.
 
Sebenarnya, teknik mengasak dan mengacah untuk menakutkan orang – khususnya minoriti – bukanlah sesuatu yang baru. Saya pernah menghadiri perhimpunan membantah isu Interlok dipolitikkan anjuran Gabungan Persatuan Penulis Nasional Malayaia (Gapena) dan NGO-NGO Melayu di Rumah Gapena, Kuala Lumpur pada 15 Januari 2011.
 
Walaupun saya hanya hadir sebagai penonton, saya dipaksa naik ke pentas untuk menjelaskan beberapa perkara. Ada pula kumpulan yang melakukan provokasi dan mengasak dengan laungan “Now! Now! Now!” bagi mendesak saya menjawab pertanyaan mereka. Paparan itu juga ada di YouTube tetapi tidak sehangat klip video UUM.
 
Situasi yang sebaliknya pula berlaku dalam kes melibatkan Bawani dan Zohra. Bawani tidak diasak supaya bercakap; sebaliknya dihalang daripada bercakap. Zohra tidak diasak supaya bercakap; tetapi dia membuat pilihan sendiri untuk menonjolkan tahap mentaliti sebenar.
 
Lebih menarik apabila klip video itu khabarnya dimuat naik ke YouTube dengan niat untuk menunjukkan “kehebatan” Zohra dan “memalukan” Bawani yang merupakan seorang aktivis di dalam dan luar kampus. Akhirnya, senjata makan tuan dan kita semua sedia maklum apa yang berlaku.
 
Zohra yang merupakan Presiden Suara Wanita 1Malaysia (SW1M) melakukan kesilapan demi kesilapan dalam insiden itu. Sebagai seorang perunding media, saya akan menasihatkan wanita itu supaya jangan bercakap sekiranya tidak tahu bercakap atau tidak ada apa-apa hujah. Bercakap adalah suatu seni dan kedudukan Zohra sebagai presiden sebuah pertubuhan yang menggunakan logo “1Malaysia” tidak memberikannya kelebihan dan hak untuk bercakap apa sahaja tanpa berfikir.
 
Selepas klip video itu tersebar luas dan pelbagai pihak meluahkan kemarahan, Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin mengeluarkan kenyataan menerusi Twitter pada 14 Januari 2013: “This Jabeen lady DOES NOT represent BN” (Wanita Jabeen ini TIDAK mewakili BN).
 
UMNO, KIMMA tak mahu tanggung malu
 
Laporan media pada 9 Disember 2012 mengenai tuduhan Zohra bahawa pengerusi bersama Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih 2.0), Datuk Ambiga Sreenevasan adalah seorang anarkis masih menyebut wanita itu sebagai Timbalan Ketua Wanita Kongres India Muslim Malaysia (KIMMA) Kebangsaan.
 
Bagaimanapun, pada 15 Januari 2013, The Malaysian Insider menyiarkan kenyataan rasmi Presiden KIMMA, Senator Datuk Syed Ibrahim Kader yang mengesahkan, “kami memang tahu tentang sikap liar dan agresif beliau ini dan susah nak kawal beliau ini. Namun, beliau kini tidak berada dalam parti lagi”.
 
SW1M juga mengeluarkan kenyataan menerusi Twitter pada 15 Januari 2013 untuk membela presidennya: “hanya kerana seorang student yg xmo diam apabila diberi microphone kecoh cytroo2 pr semua”. Terjemahan: “Hanya kerana seorang pelajar yang tidak mahu diam apabila diberi mikrofon, kecoh semua tentera siber Pakatan Rakyat.”
 
Mungkin SW1M tidak sedar bahawa reaksi yang diterima tiada kaitan dengan mana-mana parti politik. Memandangkan Barisan Nasional (BN; juga ‘Bar1san Nas1onal’) dan KIMMA sudah tidak lagi mengaku Zohra ada kaitan dengan mereka, maka ada pula usaha menuduh pembangkang dalam isu yang timbul. Tindakan tidak bijak demi tidakan tidak bijak terus dilakukan Zohra dan SW1M.
 
Pengerusi National Indian Rights Action Team (NIAT; dulu National Interlok Action Team), Datuk Thasleem Mohamed Ibrahim turut mengeluarkan kenyataan di Facebook untuk mengesahkan Zohra tidak lagi bersama KIMMA.
 
She is a Pakistani lady from Gombak and reliable sources tell me that she is planted by UMNO to humiliate the Indian community. She was booted out of KIMMA,” katanya. Terjemahan: “Dia seorang wanita Pakistan dari Gombak dan sumber-sumber yang boleh dipercayai memberitahu saya bahawa dia ‘ditanam’ oleh UMNO untuk menghina masyarakat India. Dia sudah ditendang keluar dari KIMMA.”
 
Dalam satu lagi insiden susulan, seorang ahli Wanita UMNO bernama Norhayati Saiddin menulis di Facebook: “Deii Bawani.. kalau mau pendidikan percuma tanggechi pergi ler belajar sana India… you mother land.. sana tanggechi boleh dapat pree… ammakk!! Untung lorrr… dulu India banyak duduk estet… itu jamban pun lu orang tarak tau… sekarang India org banyak mahu sebab itu BN ada perintah ini negeri.”
 
Kebodohan dan sikap menghina yang ditonjolkan secara terbuka oleh wanita itu mendapat bantahan masyarakat pelbagai kaum dan agama. Susulan daripada itu, Norhayati mengeluarkan kenyataan memohon maaf pada 16 Januari 2013:
 
“Kepada semua kawan2 saya yg berbangsa India. Maafkan saya jika komen saya membuat anda semua tidak selesa. Saya telah meminta maaf pada hari yg saya berhujah dan saya juga telah jelaskan perkara yg sebenar. Dalam komen saya itu saya tidak pernah suruh Bawani balik tapi saya ada suruh dia pergi ke India belajar di sana kalau nak percuma dan mengenai perkara JAMBAN pula kita kena akui semasa awal kemerdekaan kita semua mana kenal tandas dan selepas negara tgh membangun barulah kita menikmati kemudahan2 tersebut!”
 
Pada pemerhatian saya, UMNO dan sekutu tidak memerlukan “pembangkang” untuk menumbangkan BN. Isu Altantuya Shaariibuu juga sudah tidak perlu. ‘Orang dalam’ seperti Zohra dan Norhayati sudah lebih daripada mencukupi. NGO-NGO yang sewenang-wenangnya menggunakan logo “1Malaysia” memadai untuk menghancurkan gagasan murni itu.
 
Usaha tumbangkan BN, UMNO?
 
Sebelum ini, ada pemerhati politik yang mengeluarkan pendapat bahawa timbalannya sendiri mungkin (ulang: mungkin) sedang cuba ‘menjatuhkan’ Datuk Seri Najib Razak; khususnya dalam isu “Malay first VS Malaysian first” (2010) dan teks Interlok: Edisi Murid (2010). Akan tetapi, rasa-rasanya “nyamuk-nyamuk” seperti Zohra dan Norhayati sudah memadai untuk menumbangkan BN dan menghancurkan UMNO buat selama-lamanya.
 
Najib selaku Pengerusi BN dan Presiden UMNO sepatutnya meminta (menasihatkan, merayu, mengarahkan atau mewajibkan) para ahli, penyokong dan NGO pro-BN supaya menutup mulut; sekurang-kurangnya sehingga Pilihan Raya Umum Ke-13 selesai.
 
Akan tetapi, saya tidak menolak kemungkinan Zohra (atau nama manjanya Nikki Da Best) merampas mikrofon daripada Najib dan berkata: “Listen Listen Listen Listen Listen …”
 
Semasa isu novel Komsas Interlok: Edisi Murid muncul, ada puak dan juak-juak yang menuduh saya menjadi dalang. Kononnya saya dan Kumpulan Sasterawan Kavyan (Kavyan) adalah golongan anti-Melayu dan anti-Islam. Kempen sama diteruskan apabila kami mengusahakan aktiviti berbentuk perpaduan kaum dan agama, serta berusaha memartabatkan Bahasa Malaysia sebagai milik Bangsa Malaysia. Pada Julai 2012, seorang budak hingusan tampil dengan “Sifir Mudah Mengapa Perjuangan Kavyan Mesti Ditolak”!
 
Seorang penulis Bukan Melayu yang sangat terkenal dalam kalangan penulis dan pembaca Melayu menghantar SMS kepada saya pada Januari 2011 untuk memberi maklumat: “Semua yg dtg dngan si XYZ [nama dibuang] yg cetek ilmu tu, guna frasa yg sama trhadap Uthaya. Tak habis-habis otak sempit, fikiran dangkal dan perangai pelik mereka. Berkali-kali kumpulan si XYZ tu datang pada saya memberi tahu saya, ‘ni semua kerja Uthaya’.” [BACA SMS PENUH DI SINI]
 
Terbaru, apabila Patrick Teoh didapati mengeluarkan kenyataan berbaur penghinaan agama di Facebook, nama saya juga yang diseret masuk. Seolah-olah sayalah punca bagi segala masalah; termasuk masalah jamban tersumbat di rumah orang.
 
“Itu pasal bro Pyan, ..kita ni ‘konon sporting’ sgt! mmg lahanat la depa ni.. sekoq lg anak indu paria keling uthaya sankar.. yang orang kita pon punya la dok sokong.. konon2 abes intelektual sgt dah..,” komen individu bernama Huya Fattah (Hamada Gang) apabila seorang rakan penulis meluahkan kekecewaan terhadap tindakan Teoh.
 
Bagi membantu pemahaman, terjemahan kata-kata itu adalah begini: “That’s the thing, Brother Pyan. … We’re supposedly too sporting! Those people (Non Malays) are a damned lot. Another one is this Hindu Pariah Keling Uthaya Sankar. Our people (Malays) are also supporting him; supposedly an intellectual person.”
 
Apabila rakan-rakan mahu menulis sebarang komen pada dinding Facebook saya, syarat utama yang diletakkan adalah supaya mereka memastikan penggunaan bahasa yang betul. Dengan cara itu, saya berharap semua orang (termasuk diri saya) akan membaca semula dan menilai apa yang ditulis sebelum menekan butang “post”.
 
Benarlah kata orang tua-tua: Terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata buruk padahnya. Apatah lagi kata-kata itu sudah tersebar menerusi ruang siber tanpa sempadan. Semoga kekhilafan Zohra, Norhayati, Teoh dan Huya menjadi pengajaran berguna kepada kita semua; dengan izin Tuhan.
 
[Uthaya Sankar SB adalah pemilik tunggal Perunding Media, Motivasi dan Penerbitan Uthaya. Makalah ini ditulis pada 17 Januari 2013 dan disiarkan di The Malaysian Insider pada 21 Januari 2013. © Uthaya Sankar SB 2013. Harap maklum bahawa anda membaca makalah ini serta segala kandungan di Blog Uthaya Sankar SB atas pilihan sendiri.]