[Sebuah faksyen yang tidak ada apa-apa kaitan dengan perkembangan semasa
politik negara.]
Serta-merta para ibu bapa menghalang anak-anak mereka pergi ke
sekolah beraliran sastera. Pihak pentadbir sekolah gagal memujuk mereka.
Para pelajar pun mula seronok dan bersuka ria. Mereka malah
berterima kasih atas insiden runtuhan tanah di lereng bukit. Masyarakat umum
pula mula semakin rancak mengutuk golongan penulis.
“Mampus para sasterawan!”
Media massa melaporkan bahawa dua puluh
orang termasuk seorang bayi berusia lima bulan menjadi mangsa tragedi
berkenaan. Kesemuanya mati serta-merta. Hanya mayat-mayat kaku ditemui di dalam
lumpur, di dalam kereta dan di dalam gaung.
Dua puluh orang pula cedera dan dimasukkan
ke hospital. Pasukan penyelamat masih giat menggali tanah lumpur yang
dipercayai menimbus beberapa lagi mangsa. Diyakini tentu golongan sasterawan
juga!
Tragedi tanah runtuh ini mendapat liputan
menyeluruh setiap media cetak dan media elektronik. Malah dalam sehari dua lagi
mungkin akan menandingi priority yang
pernah diberikan terhadap liputan insiden pergelutan antara pihak diraja dan
pihak pemerintah di tengah jalan raya tidak lama dahulu.
Insiden itu dulu mempunyai nilai berita
yang tinggi kerana melibatkan dua tokoh terkemuka: Rama dan Ravana. Kini
tragedi ini pula memiliki nilai ‘human
interest’ yang dekat dengan masyarakat umum.
Sumber-sumber yang dikumpul menunjukkan
bahawa tragedi tanah runtuh ini berlaku sekitar pukul 5:30 petang. Hujan lebat
pada waktu itu. Beberapa buah bas dan kereta terperangkap di dalam timbunan
tanah dan lumpur di atas jalan raya di lereng bukit. Malah sebahagian runtuhan
itu melimpah ke dalam gaung bersama-sama beberapa buah kenderaan!
Salah seorang mangsa yang terselamat
memberitahu pihak media bahawa setelah bas yang dinaikinya berhenti di tengah
jalan raya apabila berlaku suatu runtuhan kecil di lereng bukit, pemandu bas
berkenaan telah meminta para penumpang agar turun segera dan mencari suaka.
Tetapi, kata mangsa tadi, belum sempat
mereka sedar daripada perasaan bingung, cemas dan tercengang-cengang, suatu
runtuhan tanah yang maha besar berlaku lalu menghanyutkan mereka semua
bersama-sama tanah lumpur yang telah menimbus mereka jatuh ke gaung di lereng
bukit.
Pengalaman seumpama ini yang diceritakan
oleh para mangsa mendapat perhatian para wartawan. Maka tidak putus-putuslah
wajah mangsa-mangsa yang disalut lumpur dihalakan kamera bagi mendapatkan foto
untuk laporan akhbar serta visual bagi siaran langsung berita tragedi melalui
tivi.
Malah mangsa-mangsa yang terlalu sedih sama
ada kerana kehilangan kaum keluarga atau kerana mengalami kecederaan yang berat
dan tidak mahu dirakam gambar mereka turut diintip oleh para wartawan dan
jurugambar semata-mata agar media yang mereka wakili dapat tampil sebagai pihak
yang berjaya menyajikan laporan eksklusif kepada khalayak.
Sebahagian lagi mangsa yang sekadar
mengalami calar-calar ringan pada betis dan lengan atau semata-mata telah
melihat insiden runtuhan tanah itu dari jauh turut menawarkan diri untuk
bercerita di hadapan kamera tivi.
“Konduktor bas suruh kami turun,” seorang
pemuda yang cedera parah pula menceritakan secara ikhlas sambil terbaring lemah
di katil hospital. “Masa tu ada pokok tumbang melintang jalan. Kita pun
tergesa-gesa turun. Tiba-tiba je saya dengar bunyi deruman macam ombak besar
dari arah bukit. Kita orang masih kelam-kabut; masing-masing nak selamatkan
diri. Saya tengok tebing atas dan nampak batu besar dan air lumpur melimpah
tepat-tepat ke arah saya. Saya dan tunang saya serta orang lain diseret oleh
lumpur dan kami tertimbus. Masa tu saya tak tau apa terjadi kepada tunang saya.
Belum ada berita tentang dia. …”
Jemaah Pemerintah masih belum mengambil
tindakan tegas yang positif berhubung tragedi berkenaan. Ketua Jemaah sekadar
mengumumkan bahawa mereka sedang menunggu laporan lengkap daripada pihak yang
dipertanggungjawabkan membuat kajian dari A hingga Z. Katanya lagi, Jemaah
Pemerintah sudah bersetuju untuk menghantar beberapa pakar pembangunan lereng
bukit bagi meninjau kawasan tragedi.
Jalan-jalan raya yang lain akan turut
diarah supaya dikaji. Begitu juga dengan sistem saliran serta tumbuhan tutup
bumi di lereng bukit. Khabarnya rumput yang diimport dengan kos beribu-ribu
ringgit dan ditanam di lereng bukit adalah daripada jenis yang berkualiti
rendah dan tidak dapat menahan hakisan air hujan!
Sementara itu, Ravana yang sedang bercuti
di luar negara melahirkan rasa sedih dan rasa terkejut. Sewaktu pihak media
menemuinya di Kerala, India, raja itu sedang menonton filem Bombay di salah sebuah pawagam di sana
bersama-sama Hanuman.
“Itulah. … Dulu mereka rampas istana saya.
Mereka jadikan puncak bukit itu tempat peranginan. Mereka jadikan istana saya
tempat perjudian. Mereka nak bina lagi infrastruktur di atas bukit tu
sewenang-wenangnya. Sekarang, biar mereka rasakan!”
Rama terdiam sambil mengetap bibir
mendengar kata-kata berupa sindiran halus daripada Ravana yang disiarkan secara
langsung di tivi melalui satelit. Dia sedar bahawa “mereka” yang dimaksudkan oleh
Ravana dalam setiap ayat yang diucapkannya adalah merujuk kepada dirinya dan
para jemaah menterinya.
Orang ramai pula segera teringat akan insiden pergelutan antara Rama dan Ravana
di simpang jalan raya tidak lama dahulu. Pergelutan yang benar-benar keanak-anakan
dan mengaibkan itu berakhir dengan kemenangan di pihak Rama bilamana Ravana
terpaksa menyerahkan istananya kepada Jemaah Pemerintah yang bijak memanupulasi
keadaan demi kepentingan diri serta kaum kerabat atau kroni.
Tetapi ingatan orang ramai terhadap insiden
pergelutan di tengah jalan raya itu tidak kekal lama. Mereka segera kembali
menumpukan perhatian terhadap tragedi yang berlaku di lereng bukit menuju ke
bekas istana Ravana.
Aktiviti yang dijalankan di kawasan
peranginan tersebut juga mula dibincangkan oleh orang ramai. Mereka yang pernah
ke sana tampil mendedahkan bahawa kawasan puncak bukit berkenaan menjadi sarang
perjudian, syurga maksiat dan medan pelacuran.
Istana Ravana yang ‘diambil’ oleh Pejabat
Jemaah Pemerintah dan dijadikan sebuah hotel peranginan khabarnya menjadi
tumpuan golongan korporat untuk mencari kepuasan; sekali gus menandingi
kepopularan hotel empat bintang di pantai bahagian selatan.
“Segala perbuatan haram aku lihat di sana,”
kata seorang pemuda yang pernah sekali ke sana. “Tapi aku tak buat apa-apa. Aku
tengok sahaja. Memang itu pusat para pendosa!”
Serta-merta topik itu menjadi fokus segala
media. Para mangsa yang sebelum ini sibuk ditemuramah sudah tidak diendahkan
lagi. Sebaliknya para pegawai agama menjadi tumpuan. Apa yang menarik adalah
bahawa para menteri yang sebelum ini sibuk bercerita tentang struktur jalan
raya dan lereng bukit dengan tiba-tiba sahaja menjadi bijak bercakap tentang
hukum-hakam dan dosa-pahala.
“Tragedi ini adalah tanda amaran daripada
Tuhan. Tuhan tentu mahu menghukum para pembikin dosa. Sebab itulah Tuhan
turunkan bencana di lereng bukit ini. Istana Ravana … maksud saya, bekas istana
Ravana … sudah menjadi pusat maksiat bagi golongan yang tidak bertanggungjawab.
Mereka menyalahgunakan pembangunan yang dirancang oleh Jemaah Pemerintah.
Mereka cemari tempat itu dengan perbuatan mungkar. … Lalu Tuhan mengambil
keputusan menggunakan kuasa-Nya untuk menghancurkan mereka melalui cara ini!”
Secara kebetulan, kesemua sembilan belas
mangsa – tidak termasuk seorang bayi berkenaan – adalah golongan sasterawan
yang paling prolifik di dalam negeri walaupun mereka mungkin tidak dikenali
oleh dunia luar. Bayi itu pula anak kepada sepasang penulis yang sedang
meningkat nama mereka dalam penulisan novel politik. – Bersambung
(Bahagian pertama disiarkan di Free Malaysia Today pada 23 Julai 2012
manakala bahagian kedua disiarkan pada 30 Julai 2012. © Uthaya Sankar SB
2012. Faksyen ini boleh juga dibaca dalam kumpulan
cerpen Sasterawan Pulau Cinta.)