Ada kisah tersendiri
bagaimana saya menyedari bahawa antologi Cinta
Sekerdip Embun (2010) sudah terbit. Pada 8 November 2010, saya
mengendalikan Bengkel Penulisan Cerpen anjuran Kumpulan Sasterawan Kavyan (Kavyan) di Sekolah Agama Menengah Tinggi Tengku Ampuan Jemaah, Shah Alam dan diberikan buku ini sebagai
cenderamata.
Antologi ini memuatkan
50 cerpen yang diiktiraf dan diakui mutunya dari kekuatan kesatuan organis
karya, keaslian persoalan yang ditampilkan secara matang, kesinambungan
estetika bahasa dengan persoalan kemanusiaan, keindahan moral dan inovasi dalam
kreativiti.
Hal ini tidaklah
menghairankan kerana kesemua cerpen yang dimuatkan dalam antologi setebal 581
halaman ini pernah menang Hadiah Sastera Perdana Malaysia antara tahun 1996 dan
2005.
Maka, antologi ini amat
sesuai dijadikan bahan bacaan dan teks rujukan oleh para pengarang yang
berhasrat menghasilkan cerpen yang tinggi nilainya dari segi kesusasteraan dan
sudah diperakui mutunya.
Pengkaji sastera juga
wajar memiliki antologi terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) ini untuk
dijadikan bahan penyelidikan; termasuk kajian ilmiah peringkat sarjana muda dan
sarjana sastera.
Seperti dinyatakan oleh
Sasterawan Negara Datuk Dr Anwar Ridhwan pada bahagian pengenalan, antologi ini memuatkan karya
yang dihasilkan para penulis daripada pelbagai latar belakang pencapaian dan
pengalaman.
“Daripada Sasterawan
Negara hinggalah kepada penulis-penulis muda. Daripada penulis yang menekuni
bidang penulisan sebagai kerjaya ‘separa-profesional’ kerana faktor usia,
kepada penulis muda yang bergelut antara kerjaya dengan dedikasi terhadap
medium pengucapan seninya,” katanya.
Walau bagaimanapun,
suatu perkara penting yang perlu dinyatakan adalah bahawa tidak kesemua cerpen
yang pernah menang Hadiah Sastera Perdana Malaysia 1996-2005 termuat dalam
antologi ini.
Saya sendiri hanya
mengetahui perkara itu apabila dihubungi oleh Azman Hussin pada 25
Mei 2011, iaitu sehari selepas penulis kelahiran Pasir Puteh, Kelantan itu
membeli antologi Cinta
Sekerdip Embun dan menyedari bahawa
cerpennya bertajuk “Tahun Depan di Jurusalem” yang menang Hadiah Sastera
Perdana Malaysia 2002/03 tidak termuat di dalamnya.
Isu ini pernah saya
tulis menerusi artikel bertajuk “Cerpen yang Tercicir” (The Malaysian
Insider, 6 Jun 2011) selain menghubungi Bahagian Penerbitan Sastera DBP
untuk mendapatkan penjelasan.
Walaupun ternyata ada
sedikit “kecacatan” – kerana ada beberapa cerpen yang “tercicir” atas
sebab-sebab tertentu – namun buku ini masih sebuah antologi yang komprehensif
dan wajar dimiliki.
Cerpen-cerpen yang
disusun mengikut tahun kemenangan dapat juga dijadikan panduan untuk meneliti perubahan
corak (trend) dalam penulisan sastera
kebangsaan.
(Uthaya Sankar SB adalah
penerima Hadiah Sastera Perdana Malaysia 1996/97 dan 1998/99. Beliau menyertai Makassar International Writers Festival di Sulawesi, Indonesia pada 13-20 Jun 2012. Ulasan buku ini ditulis
pada 24 Mei 2012 dan disiarkan di The Malaysian Insider pada 26 Mei 2012. © Uthaya Sankar SB 2012. Sila
KLIK DI SINI untuk
maklumat lanjut mengenai ruangan ulasan buku.)