[Seorang ibu
berkongsi panduan secara ikhlas berdasarkan pengalaman hidup.]
Sejak awal, saya tahu bahawa buku Terima Kasih Tuhan Atas Cinta Ini (2011)
oleh Zuhriah Mohamad Juoi ditulis menggunakan prespektif Islam.
Bagaimanapun, hakikat itu tidak bermakna
buku setebal 422 halaman ini hanya sesuai bagi bacaan orang Islam. Sebaliknya, buku
ini mempunyai pelbagai keistimewaan sehingga menjadikannya amat sesuai dibaca
oleh semua tanpa batas kaum dan agama.
Zuhriah bercerita secara ikhlas dan
bersahaja mengenai pengalaman hidupnya bermula dengan ketibaan rombongan yang
datang untuk merisiknya bagi pihak keluarga seorang pemuda “yang berilmu,
beragama dan berbudi pekerti mulia”.
Pengarang mengakui bahawa walaupun beliau
lahir dalam keluarga yang sederhana, beliau bersemangat dan bercita-cita tinggi
untuk berjaya dalam hidup.
Zuhriah mendapat pendidikan di sekolah
Inggeris sebelum melanjutkan pengajian dalam bidang agama dan seterusnya
menjadi tenaga pengajar di sebuah sekolah rendah.
Kesederhanaan dan rasa rendah diri
terpancar pada keseluruhan buku ini kerana pengarang sentiasa sedar akan kuasa
Tuhan dan tanggungjawab dirinya sebagai hamba yang diamanahkan tugas serta
tanggungjawab menjadi anak, isteri, ibu dan guru.
Buku ini yang turut disertakan petikan
al-Quran (terjemahan), hadis dan riwayat dibahagikan kepada tujuh bab iaitu
“Antara Dua Cinta”, “Temukan Cinta di Hati”, “Ujian Perisa Hidup”, “Sayang
Tiada Akhirnya”, “Kemudi Destinasi Bahagia”, “Susuri Jalan ke Syurga” dan
“Catatan Cinta Ibu”.
Setiap bab pula dibahagikan kepada
topik-topik kecil. Maka, pembaca tidak semestinya membaca buku ini bermula dari
halaman pertama. Sebaliknya pembaca boleh membuka mana-mana halaman untuk
mendapatkan panduan yang amat berguna.
Bagi seorang ibu, misalnya, mungkin mahu
menumpukan pada bab “Catatan Cinta Ibu” di mana Zuhriah berkongsi pengalaman
mendidik anak-anaknya sejak kecil. Pasti banyak yang boleh dipelajari daripada
pengalaman beliau.
Di sepanjang buku ini, dimuatkan juga
pelbagai panduan dalam bentuk nota ringkas; misalnya “Mengelak rumah tangga
dilanda krisis”, “Tanggungjawab ibu mithali”, “Tip cipta syurga rumah tangga”,
“Kesilapan ibu bapa mendidik anak-anak” dan “Mengeratkan kasih sayang”.
Sepertimana saya nyatakan sejak awal,
walaupun ditulis dari perspektif Islam, buku ini sesuai dijadikan panduan,
motivasi dan pembakar semangat bagi setiap individu yang mengharapkan suntikan
ilmu tambahan dalam menjalani kehidupan.
(Ulasan buku ini ditulis
pada 5 April 2012 dan disiarkan di Free Malaysia Today pada 6 April 2012. © Uthaya Sankar SB 2012. Sila
KLIK DI SINI untuk
maklumat lanjut mengenai ruangan ulasan buku.)