Pada 16 Februari 2012, berlangsung mesyuarat khas berkaitan isu royalti teks Komponen Sastera Dalam Mata Pelajaran Bahasa Malaysia (Komsas) di Bahagian Buku Teks (BBT), Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM), Putrajaya.
Mesyuarat dipengerusikan Pengarah BBT, Encik Jame @ Maikal Alip dalam usaha terakhir KPM cuba membantu menyelesaikan isu ini yang berlarutan sejak pertama kali didedahkan secara terbuka pada 15 Ogos 2011.
Turut hadir pada mesyuarat khas itu adalah wakil Penerbit Mega Setia Emas Sdn Bhd, Nur-Ilmu Sdn Bhd, Edu Quest Publisher, Associated Education Distributors (M) Sdn Bhd, Karya Hartamas Enterprise dan V-Nice Resources.
Mesyuarat khas berkenaan adalah berkaitan isu “empat penulis teraniaya” iaitu Rohani Deraman, Amy Suzani Mohd Ainuddin (Natasya Puteri), Hazama Harun (Aida Shahira) dan Mohd Izan Abd Hazes (Mohd Faris Ikmal) yang terus memperjuangkan hak terhadap royalti bagi karya mereka yang dijadikan teks Komsas di sekolah.
Karya Rohani adalah “Cempaka Putih Untukmu” (novel) dan “Warkah Daripada Ibu” (cerpen). Karya Amy adalah “Seorang Insan Istimewa” (puisi) dan “Budi Semangkuk Daging” (cerpen).
Karya Hazama adalah “Bukan Duniaku” (novel) manakala karya suaminya, Mohd Izan adalah “Hikmah” (novel).
Saya mengadakan perbincangan dari hati ke hati bersama-sama mereka berempat untuk mendapatkan reaksi terkini selepas mesyuarat khas berkenaan.
Berikut transkrip perbincangan kami yang saya paparkan dengan izin kesemua penulis terbabit.
Soalan: Apa harapan anda sebelum tarikh Mesyuarat Khas di Bahagian Buku Teks (BBT), Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM)?
Rohani: Pada malam 16 Februari 2012, saya bersolat hajat dan memohon agar Allah permudahkan segala urusan. Saya yakin, kali ini kami akan mendapat hak kami kerana pihak BBT sudah campur tangan dan mereka adalah wakil kerajaan yang cukup berwibawa untuk membantu rakyat biasa macam saya.
Amy: Saya pula sangat berharap penantian sekian lama akan memberikan berita gembira. Saya menjangkakan pihak BBT dapat melakukan sesuatu bagi memastikan penerbit memulangkan hak penulis yang telah diambilnya.
Hazama: Besar harapan saya agar isu royalti tersebut dapat diselesaikan dengan baik dalam situasi ‘menang-menang’.
Izan: Saya dan isteri sanggup ambil cuti dan pergi ke Putrajaya walaupun kami sudah melantik wakil rasmi, kerana kami benar-benar berharap isu akan selesai secara baik.
Soalan: Sejak karya anda dijadikan teks Komsas, tentu saudara-mara, jiran-tetangga, kenalan, rakan penulis dan pelajar menghubungi untuk ucapkan tahniah.
Rohani: Inilah satu-satu perkara yang amat melukakan hati saya setiap kali terkenang akan hal ini. Apabila ada kelompok tertentu suruh saya redha kerana bukan rezeki saya, saya rasa reda. Tapi apabila ada ucapan tahniah yang bertalu-talu daripada semua orang yang saya kenali, saya rasa sebak dan sedar saya teraniaya. Apabila mereka kata “kayalah kau!” saya terpaksa jawab “yang kaya itu penerbit, bukan saya”. Saya hanya dapat RM350 (untuk novel) dan RM40 (untuk cerpen) sepuluh tahun dulu apabila naskah itu mula-mula diterbitkan pada 2001.
Amy: Syukur, terharu dan gembira pada mulanya. Ternyata penglibatan saya dalam bidang penulisan tidak sia-sia, karya saya dibaca dan dipelajari oleh ratusan ribu pelajar Malaysia.
Hazama: Saya terharu menerima ucapan tahniah daripada pelbagai pihak tetapi pada masa sama, berasa amat kecewa dan terkilan. Tidak kurang juga yang memohon sumbangan kerana menyangka saya menerima ‘imbuhan’ yang besar hasil daripada penerbitan teks Komsas itu.
Izan: Tentulah amat gembira dan bangga pada mulanya. Tapi saudara-mara dan kawan-kawan tak tahu penderitaan sebenar yang kami alami kerana menjadi mangsa penipuan penerbit.
Soalan: Apa reaksi anda terhadap usaha pengarah BBT mengatur mesyuarat khas melibatkan wakil BBT, penasihat undang-undang KPM, penerbit dan penulis?
Rohani: Seperti yang saya kata tadi, saya rasa lorong rezeki saya tu, Allah dah buka. Jalan penyelesaian sudah sampai. Saya akan mendapat hak saya. Pihak BBT pasti akan selesaikan kes ini dengan baik hingga kedua-dua belah pihak berpuas hati. Walaupun pada hari tersebut saya tidak dapat hadirkan diri kerana sebab-sebab yang tidak dapat dielakkan, saya masih tidak putus berdoa agar mesyuarat khas itu memberikan jawapan positif.
Amy: Usaha yang baik, sebenarnya. Usaha yang menunjukkan BBT mula ‘bertindak’ setelah sekian lama membisu dan bersikap seperti lepas tangan sejak isu ini dihebohkan di media pada Ogos lalu.
Hazama: Saya berbesar hati dan berterima kasih kepada pihak berkenaan.
Izan: Semasa mesyuarat khas itu, ternyata pengarah BBT berusaha bersungguh-sungguh untuk memujuk dan menasihatkan penerbit supaya memberi sedikit royalti kepada penulis. Kami amat menghargai usaha beliau yang memahami penderitaan kami.
Soalan: Semasa mesyuarat khas itu, penerbit pula tetap bertegas tidak mahu membayar royalti kepada penulis walaupun selepas dinasihatkan berulang kali oleh pengarah BBT. Komen anda?
Rohani: Walaupun saya tidak hadir pada mesyuarat itu, saya mendengar rakaman penuh yang dibuat. Saya amat terkejut, sedih dan berputus asa. Suara penerbit yang lebih tinggi daripada suara Pengarah BBT menyebabkan saya terus berkata dalam hati, “memang saya telah gagal”.
Amy: Saya sangat kecewa tetapi tidak terkejut apabila mendengar rakaman itu. Tanpa suatu tindakan tegas yang boleh memaksa penerbit membayar royalti itu, penerbit tetap tidak akan melakukannya. Mereka anggap mereka berkuasa lebih daripada Timbalan Perdana Menteri.
Hazama: Saya benar-benar terkejut dan kecewa. Amat kecewa sehingga berasa hampir putus asa dan tidak mahu menulis apa-apa karya selepas pengalaman buruk itu.
Izan: Penerbit akan bermaharajalela dan pasti akan mendabik dada berikutan kemenangan ini lalu mungkin terus menganiaya penulis lain selepas ini. Ternyata penerbit menganggap mereka lebih berkuasa daripada Pengarah BBT dan menteri sendiri!
Soalan: Semasa mesyuarat khas yang dihadiri pengarah BBT, penasihat undang-undang KPM, penerbit dan penulis, dicadangkan supaya salinan dokumen-dokumen rasmi berhubung izin terbit teks Komsas yang kononnya sudah dikemukakan kepada KPM ditunjukkan, tetapi penerbit bertegas tidak membenarkan ia ditunjukkan.
Rohani: Di sini saya rasa keliru dan pelik. Kenapa perkara semudah itu tidak dapat dibuat kalau betul surat itu ada? Apakah mereka takut kerana tandatangan yang ada bukan tandatangan saya? Selama ini saya tertanya-tanya apakah bentuk dokumen yang saya sudah tandatangan itu. Saya ada menandatangani sekeping baucar bayaran. Apakah itu yang penerbit kata kontrak perjanjian? Setahu saya, daripada pengalaman saya menandatangani kontrak perjanjian dengan beberapa syarikat penerbitan lain, dokumen itu mesti ada dua set. Ditandatangani di hadapan saksi, kemudian disahkan. Kalau benar semua ini ada, tunjuklah kepada saya. Saya cuma ingin melihatnya. Kalau benar ada, boleh saja tutup kes!
Amy: Tidak menghairankan kerana kita semua tahu dokumen itu tidak wujud. Saya tidak pernah menandatanganinya. Jadi bagaimana penerbit boleh menunjukkan sesuatu yang tidak wujud? Lainlah kalau ada dokumen palsu, namun mereka tentu masih tidak akan berani menunjukkan dokumen palsu itu kepada kita!
Hazama: Saya berasa amat hairan. Timbul keraguan dan semakin yakin bahawa dokumen itu sebenarnya tidak wujud. Timbul kemungkinan ada pihak mengemukakan dokumen palsu untuk menipu kerajaan untuk mendapatkan wang secara haram.
Izan: Peristiwa itu jelas membuktikan bahawa dokumen yang kononnya diserahkan itu adalah palsu dan bukan dokumen yang kami tandatangani. Ini bukan fitnah tapi hakikat. – Bersambung esok
(Uthaya Sankar SB adalah pemilik tunggal Perunding Media, Motivasi dan Penerbitan Uthaya [SA0184670-H] yang dilantik secara rasmi oleh keempat-empat penulis terbabit untuk mewakili mereka dalam isu royalti teks Komsas. Bahagian 1 disiarkan di Free Malaysia Today pada 27 Februari 2012. Sila KLIK DI SINI untuk maklumat lanjut mengenai isu ini.)