6 Mar 2012

Apabila Mangsa Komsas Bersuara (Bahagian 2)

[Mangsa royalti teks Komsas hairan mengapa penerbit bertegas tidak mahu menunjukkan dokumen yang kononnya mereka tandatangani.]

Soalan: Semasa mesyuarat khas, penerbit menyuruh penulis menghantar notis peguam jika mahu mendapatkan salinan dokumen-dokumen rasmi (asal) yang konon ada dalam simpanannya; dan peguam mewakili penerbit pula akan membalas notis itu. Apa pendapat anda?


Rohani: Yang ini buat saya ketawa berdekah-dekah. Saya mendengar rakaman itu dan hairan kerana usul penerbit itu disokong pula oleh penasihat undang-undang KPM. Perlukah ada peguam untuk mendapatkan salinan dokumen itu sedangkan Pengarah BBT ada kuasa? Atau ini semua satu taktik kotor untuk menakut-nakutkan kami dan memutar-belitkan isu surat palsu yang mungkin penerbit buat itu?


Amy: Saya rasa itu hanyalah jawapan terbaik penerbit untuk menutup kesalahan mereka dan cuba mengambil kesempatan atas kelemahan penulis yang tidak mempunyai peguam.


Hazama: Saya tidak yakin mereka akan memberikan kerjasama dengan menunjukkan dokumen itu. Jika benar, tidak perlu notis peguam kerana boleh ditunjukkan pada bila-bila masa jika diperlukan, terutama sekali semasa mesyuarat khas tempoh hari. Ini sudah pasti taktik kotor untuk mengelak daripada ‘rahsia’ terbongkar.


Izan: Saya teringat kata-kata Mahatma Gandhi iaitu “even if you are a minority of one, the truth is the truth”. Penerbit pula cuba menutup kebenaran dengan taktik licik dan semacam menakut-nakutkan penulis semasa mesyuarat itu. Kalau tak percaya, dengarlah sendiri rakaman yang dibuat untuk tujuan dokumentasi.


Soalan: Semasa mesyuarat khas itu, penerbit berulang kali meminta penulis “pasang peguam”. Apa reaksi anda?


Rohani: Hal ini juga amat menyakitkan hati, bukan hanya saya tetapi semua penulis. Kalau saya penulis yang kaya raya, saya tidak perlu menebalkan muka ke sana ke sini menuntut hak saya. Dari awal saya sudah berusaha mencari peguam. Tidak perlu mencari simpati sesiapa. Lagi pun, untuk turun-naik mahkamah bukan sekejap. Ia perlukan masa yang panjang. Saya cuma ingin hal ini diselesaikan dengan mudah. Mengapa perlu merumitkan perkara yang mudah?


Amy: Apabila kes dibawa ke mahkamah, ia akan berlarutan dan melibatkan kos yang tinggi. Untuk seorang penulis kecil seperti saya, pasti saja tidak mampu menanggung kos tersebut. Bayar sajalah royalti kami dan saya yakin nilai royalti itu tidak akan membuat penerbit rugi atau muflis. Saya bergantung hidup dengan hasil penulisan; itu sumber rezeki saya. Tolonglah faham! Kami cuma meminta hak kami; bukannya mahu merampas rezeki orang.


Hazama: Itu bertujuan melengah-lengahkan kes dan terus menindas penulis kerana mereka mempunyai agenda tersembunyi. Mereka berduit; mereka fikir mereka mampu membeli ‘kebenaran’ meskipun mereka di pihak yang bersalah.


Izan: Penerbit bercakap bagaikan dia mahu menakutkan penulis kecil seperti kami. Saya sudah nyatakan bahawa kami penulis yang miskin dan tiada persatuan lain yang tampil membantu. Kami terpaksa berjuang dalam kumpulan kecil demi menuntut hak. Kalau kami kaya, sudah lama kami ambil peguam paling hebat di Malaysia.


Soalan: Satu lagi soalan asas tapi amat penting. Pernahkah anda memberi izin (lisan atau bertulis) kepada penerbit, KPM atau mana-mana pihak untuk menjadikan karya anda sebagai teks Komsas?


Rohani: Saya ulang sekali lagi. Saya tidak pernah memberi apa-apa surat kepada sesiapa. Malah, saya sendiri tidak pernah diberitahu karya saya dijadikan teks Komsas. Seorang wanita bernama Julie Looi (wakil penerbit) menelefon saya dan mengucapkan tahniah kerana karya saya terpilih. Dia minta saya berikan biodata dan surat izin untuk pemurnian karya tapi bukan surat izin penerbitan. Saya hanya memberikan biodata tetapi surat izin tidak saya berikan kerana wanita itu dengan sombong telah berkata bahawa saya tidak berhak ke atas karya itu dan penerbit tidak akan membayar royalti kepada saya. Kemudian, saya menghubungi seorang pegawai BBT dan beliau juga sependapat dengan saya, iaitu kalau karya itu bukan milik saya, untuk apa penerbit minta surat izin daripada saya? Awalnya, pegawai BBT itu beritahu saya, pihaknya tidak boleh luluskan penerbitan tanpa surat izin daripada penulis. Selepas dua minggu, apabila saya menghubungi beliau semula, beliau berkata, penerbit sudah memberikan semua dokumen berkaitan. Sekali lagi saya ternganga. Tangan siapakah yang menulis dan menandatangani surat izin palsu itu?


Amy: Tidak pernah sama sekali. Saya pernah dihubungi pihak DBP tidak lama dahulu bertanyakan tentang hal ini dan saya sudah mengesahkan bahawa saya tidak pernah memberi sebarang izin kepada sesiapa untuk menerbitkan karya saya sebagai teks Komsas. Lalu, khabarnya kerja mencetak antologi itu terpaksa ditangguh kerana isu hak cipta belum selesai. Tapi kemudian ia berjalan terus dan buku sudah pun diedarkan ke sekolah, seolah-olah tidak ada apa-apa yang berlaku.


Hazama: Tidak pernah. Kami harap Menteri Pelajaran ambil berat tentang hal ini kerana ada pihak tertentu cuba menipu KPM dan kerajaan dengan mengemukakan dokumen palsu.



Izan: Penerbit pun tahu bahawa kami tidak pernah memberi izin. Anehnya, syarat wajib yang diletakkan oleh Persatuan Penerbit Buku Malaysia (Mabopa) adalah bahawa penerbit wajib mendapatkan surat izin daripada penulis. Tapi syarat itu diabaikan. Mustahil penasihat undang-undang KPM tidak menyedari perkara itu.


Soalan: Pada mesyuarat khas itu, pengarah BBT mengakui bahawa memang ada kelemahan dalam proses pemilihan/penerbitan teks Komsas. Segala kelemahan itu yang berjaya anda berempat buktikan dengan berani akan dipastikan tidak berulang bagi teks Komsas akan datang (2016-2020).


Rohani: Mendengar Pengarah BBT mengakui kelemahan mereka, saya gembira. Sepatutnya, dari dulu lagi hal ini mereka sedari. Jangan terlalu percaya pada penerbit; sebaliknya perlu melibatkan penulis dalam apa jua urusan kontrak teks Komsas. Kalau pun ditakdirkan saya gagal dalam tuntutan royalti ini, saya rasa bangga kerana dapat memberi jasa kepada penulis-penulis yang akan datang agar mereka tidak tertipu oleh penerbit tidak beretika. Nasib kami berempat memang tidak terbela, tapi nasib rakan-rakan kami menjadi lebih baik. Mungkin Allah akan membalas pengorbanan kami dengan cara lain.


Amy: Syukurlah kalau begitu. Itu cerita akan datang, tapi yang penting, cerita sekarang sila selesaikanlah. Kalau sudah jelas ada kelemahan, kenapa tak boleh baiki sekarang? Kenapa mahu beri kemenangan kepada pihak yang menipu, menganiaya dan menindas penulis secara terang-terangan?


Hazama: Baguslah jika perkara itu disedari oleh pihak yang berkenaan. Sedikit sebanyak, perjuangan ini ada hasilnya tetapi ralat dan terkilan kerana kami berempat pula yang ‘dikorbankan’ dek kelemahan sistem.


Izan: Sejak awal, kami sudah katakan bahawa perjuangan kami bukan untuk kami sahaja tapi untuk semua penulis di Malaysia. Maka kami berjaya dalam usaha itu berikutan kemenangan moral ini. Tapi kenapa kami masih tidak boleh menikmati hasil royalti yang memang hak kami? Penerbit dibiarkan melahap duit royalti kami.


Soalan: Tapi pada mesyuarat khas itu, pengarah BBT memutuskan (memaklumkan secara rasmi) bahawa BBT dan KPM tidak boleh berbuat apa-apa untuk menolong “empat penulis teraniaya” dalam isu royalti teks Komsas.


Rohani: Suatu kenyataan yang amat menyedihkan kerana BBT dan KPM bagaikan tidak ada kuasa langsung untuk bertindak. Namun begitu, saya harus terima hakikat dan pengakuan Pengarah BBT dengan hati terbuka. Saya ucapkan terima kasih kepada KPM dan BBT kerana walaupun sedikit, masih sudi mendengar dan cuba menangani kes ini.


Amy: Marah? Saya marah pada penerbit. Saya percaya BBT dan KPM mempunyai kuasa untuk memaksa penerbit. Mesti ada jalannya. Masakan penerbit lebih berkuasa daripada pihak yang bertanggungjawab melaksanakan Komsas iaitu KPM.


Hazama: Saya berterima kasih kepada pihak BBT dan KPM kerana sudi memberi ruang dan mendengar masalah kami. Hendak marah pun tiada gunanya kerana ‘nasi sudah menjadi bubur’ dan pihak berkenaan sekali lagi bersikap ‘lepas tangan’.


Izan: Keputusan itu pasti membuatkan penerbit tertentu lebih bongkak dan tidak akan insaf. Kita juga tertanya-tanya, adakah penerbit lebih berkuasa daripada BBT, KPM, Menteri Pelajaran dan Perdana Menteri? Itulah sebenarnya gambaran amat jelas yang kelihatan sekarang. – Bersambung lusa


(Uthaya Sankar SB adalah pemilik tunggal Perunding Media, Motivasi dan Penerbitan Uthaya [SA0184670-H] yang dilantik secara rasmi oleh keempat-empat penulis terbabit untuk mewakili mereka dalam isu royalti teks Komsas. Bahagian 2 disiarkan di Free Malaysia Today pada 28 Februari 2012. Sila KLIK DI SINI untuk maklumat lanjut mengenai isu ini.)