Semasa kontroversi novel Interlok Edisi Murid (DBP: 2010) masih hangat, Matahari Books menerbitkan e-book berjudul Semangkuk Interlok yang diedarkan secara percuma pada Mei 2011.
Semangkuk Interlok menyajikan esei oleh 10 individu iaitu Dr Jeniri Amir, S. Fatimah Said, Subashini Navaratnam, S. M. Zakir, Umapagan Ampikaipakan, Hafiz Hamzah, Dr Fatimah Busu, Amir Muhammad, Mohd Affandi Hassan dan saya sendiri.
Agak menarik untuk diperhatikan bahawa esei-esei berkenaan adalah semacam “cetusan awal” iaitu pada empat bulan pertama 2011. Sewaktu belum diketahui secara jelas arah tuju kontroversi novel berkenaan yang dijadikan teks Komponen Sastera Dalam Mata Pelajaran Bahasa Malaysia (Komsas).
Berikutan “kegagalan” Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) memurnikan novel Interlok Edisi Murid – termasuk Interlok Kulit Biru yang dicetak pada 2011 dengan “izin” MIC – penggunaan novel berkenaan sebagai teks Komsas dibatalkan pada 21 Disember 2011.
Pada Januari 2012 pula terbit jurnal Malay Literature (Volume 24, Number 2, 2011) sebagai “Interlok Special Issue”.
Jurnal Bahasa Inggeris terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) itu memuatkan enam makalah akademik yang bertujuan meneliti novel Interlok dan kontroversi novel itu dari pelbagai sudut.
Saya berpeluang memiliki senaskhah jurnal itu pada 12 Januari 2012 dan terus membacanya dengan penuh minat. Tentu sahaja saya mengharapkan jurnal berkenaan diisi makalah ilmiah yang 106 kali lebih baik daripada Semangkuk Interlok.
Profesor Datuk Dr Md Salleh Yaapar selaku penyunting edisi khas ini tidak lupa menyebut bahawa novel Interlok pertama kali diterbitkan oleh DBP pada 1971 dan novel berkenaan merupakan hasil pertandingan mengarang sempena sepuluh tahun kemerdekaan negara.
Nah! Betapa baik jika maklumat penting ini sudah dicetak pada novel Interlok Edisi Murid (Interlok Kulit Merah) yang dicetak pada 2010. Malah, itu antara saranan dan tuntutan pemurnian yang dikemukakan Kumpulan Sasterawan Kavyan (Kavyan) sejak awal.
Hasil tinjauan Kavyan mendapati bahawa rata-rata masyarakat pelbagai kaum tidak tahu-menahu mengenai kewujudan novel ini sebelum dijadikan teks Komsas.
Rata-rata juga mempunyai alasan untuk mempercayai bahawa Interlok adalah novel terbaru Sasterawan Negara Datuk Abdullah Hussain (Pak Lah) dan pertama kali diterbitkan pada 2010. Perkara ini berpunca daripada kesilapan dan kecuaian yang disengajakan oleh KPM dan DBP sendiri.
Dr Md Salleh juga tidak lupa menyatakan bahawa isu sebenar bukan mengenai Interlok edisi asal (1971) tetapi adalah pada edisi murid (2010) yang disunting dan diterbitkan sebagai teks Komsas.
Harus diakui bahawa amat memalukan apabila beberapa persatuan penulis dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bersuara lantang tidak membenarkan walau sepatah kata dalam novel Interlok disunting.
Ternyata mereka sebenarnya tidak menyedari bahawa novel asal itu sudah pun “dicantas” sebelum dijadikan edisi murid!
Jurnal Malay Literature yang saya perkatakan ini pula terbukti secara khusus dan selektif hanya memuatkan makalah oleh individu yang “did not find anything wrong with the novel”.
Agak menarik juga untuk diperhatikan bahawa Dr Md Salleh ada menyebut mengenai Panel Bebas yang dilantik oleh KPM. Bagaimanapun, “Interlok Special Issue” sedikit pun tidak menyebut mengenai keputusan yang dicapai secara konsensus untuk memurnikan novel Interlok Edisi Murid.
Ahmad Thamrini Fadzlin Syed Mohamed dari Universiti Pertahanan Nasional Malaysia, serta Noraini Md Yusof dan Ruzy Suliza Haslim dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) berpendirian bahawa:
“Meninjau kontroversi ini menerusi dakwaan yang dilakukan masyarakat awam, ahli akademik dan pakar di Internet, kami ingin membahaskan bahawa sesiapa yang mengatakan novel itu memiliki unsur perkauman adalah sebenarnya kelompok yang mengamalkan rasisme.”
Baiklah. Kita berikan mereka ruang untuk berbahas. Akan tetapi, turut dinyatakan pada baris pertama makalah bahawa artikel yang mereka bertiga hasilkan mahu memberikan “perspektif alternatif” terhadap novel Interlok dengan meneliti versi asal (1971).
Maaf! Anda terkeluar skop dan saya tidak tahu bagaimana artikel yang anda bertiga tulis boleh “terlepas” untuk dimuatkan dalam jurnal Malay Literature yang amat dihormati, berprestij, disegani dan berwibawa.
Apatah lagi, Ahmad Thamrini, Noraini dan Ruzy Suliza “berusaha” mengkaji versi 1971 tetapi petikan Bahasa Inggeris pula diambil daripada versi terjemahan yang diterbitkan Institut Terjemahan Negara Malaysia (ITNM) pada 2010.
Mungkin ada orang yang terlupa membisikkan kepada mereka mengenai perbezaan ketara antara kedua-dua versi berkenaan.
Neil Khor dan Mohd Khaldun Malek pula bersikap lebih rasional dan mampu berfikir secara objektif menerusi makalah bertajuk “Literary Freedom and the Need to Inter-logue”.
Mereka tidak lupa menyebut serta mengakui bahawa Interlok Edisi Murid sudah diedit dan dipendekkan. Pada pandangan mereka, penyunting yang diamanahkan tugas itu hanya membuang bahagian-bahagian yang mereka rasakan sensitif.
Dua perkara perlu kita perhatikan di sini. Pertama, hakikat bahawa bukan suatu “dosa” untuk memurnikan (menyunting) sebuah novel apabila dijadikan teks Komsas.
Kedua, Interlok Edisi Murid (2010) sebenarnya dipermudahkan daripada Interlok Edisi Pelajar (2005) dan bukan daripada Interlok edisi asal. Saya percaya Ketua Pengarah DBP, Datuk Haji Termuzi Abdul Aziz boleh mengesahkan perkara ini yang kurang diketahui umum.
Neil Khor dan Mohd Khaldun juga memilih (ulang: memilih) untuk melihat kumpulan yang menolak Interlok Edisi Murid sebagai kelompok yang semata-mata marah dan emosional berikutan penggunaan perkataan “p****” dalam novel berkenaan.
Mereka berdua yang mengaku telah melayari “various blogs and digital publications” terlepas pandang pula hujah-hujah bernas berkaitan kesilapan bahasa dan kesalahan fakta serta penjelasan yang mewajarkan pemurnian dilakukan.
Maka, benarlah seperti diakui sendiri oleh mereka berdua: “Kumpulan yang mewakili kaum India dalam isu ini tertolak ke penjuru manakala NGO Melayu pula berdiri menentang mereka.”
Seterusnya, Dr Lalita Sinha dari Wawasan Open University menggunakan pendekatan agama Hindu, doktrin spiritual dan kebenaran metafizik universal dari surut tradisionalis untuk meneliti novel Interlok edisi asal.
Bagi sesiapa yang mahu mendalami ajaran agama Hindu, ini sebuah makalah yang amat menarik. Khususnya apabila ada puak tertentu yang bertanya mengapa orang Hindu menyembah “banyak Tuhan”.
Dr Lalita turut menghuraikan sistem varna dan sistem kasta; sebagaimana yang sudah dihuraikan oleh beberapa ahli akademik, wakil persatuan penulis dan NGO Melayu sejak Januari 2011.
Maka, jawapan balas saya juga sama seperti sejak setahun lalu: Atas segala fakta tepat yang dikemukakan oleh para ahli akademik, wakil persatuan penulis dan NGO Melayu itu jugalah watak Maniam dalam novel Interlok bukan seorang “p****”. Titik.
Bagaimanapun, bagi Dr Lalita, bukan hanya watak Maniam itu “p****” kerana beliau turut menyenaraikan Thiruvalluvar (pengarang Thirukkural) dan Ilaiyaraaja (pemuzik terkenal dari India).
Ternyata ahli akademik yang disegani itu memetik “fakta” dari Wikipedia yang dilayarinya pada 5 Januari 2011. Pertama kali kita membaca sebuah jurnal membuat rujukan ilmiah pada Wikipedia!
Sambil merujuk pada Interlok sebagai adikarya, Dr Lalita menegaskan bahawa tindakan mengubah walau sepatah kata dalam Interlok adalah sama seperti memusnahkan berhala Saraswati.
Wahai Dr Lalita! Bukan setakat sepatah kata, tetapi banyak ayat dan perenggan yang sudah dibuang daripada novel berkenaan oleh DBP apabila dijadikan teks Komsas.
Alahai, ternyata beliau juga tidak sempat membaca segala artikel berbentuk fakta dan hujah bernas yang dimuatkan di blog saya sejak Januari 2011. Mungkin sumber Wikipedia lebih penting bagi beliau.
Tidak mengapa. Sekurang-kurangnya makalah beliau dalam Malay Literature akan membantu pembaca bukan beragama Hindu mendalami ajaran agama ulung itu secara menyeluruh.
Malah, secara amat terancang – walaupun mungkin tidak sengaja -- Dr Lalita berjaya menunjukkan bahawa Interlok sebenarnya sebuah adikarya yang memuatkan pendekatan agama Hindu, doktrin spiritual dan kebenaran metafizik universal dari surut tradisionalis Hindu.
Seterusnya, Zakir menerusi makalahnya yang diterjemahkan oleh Tanja Jonid mengakui bahawa penggunaan “p****” adalah merujuk pada latar belakang watak Maniam.
Kavyan sudah membuktikan sejak Januari 2011 bahawa Maniam bukan “p****” maka tidak perlulah perkara itu dihurai lanjut.
Begitu juga dengan keghairahan puak tertentu terhadap novel Untouchable karya Mulk Raj Anand. Perkara ini sudah saya jelaskan semasa forum di Universiti Malaya pada 26 Januari 2011. Ingat: Untouchable bukan teks Komsas.
Zakir turut mengakui bahawa ada pihak yang menjadikan kontroversi Interlok Edisi Murid sebagai isu perkauman. Memang tepat! Ada puak tertentu yang mengatakan isu ini adalah soal maruah kaum tertentu; dan jangan biarkan “pendatang” persoalkan apa-apa yang ditulis kaum tertentu.
Raja Rajeswari Seetha Raman adalah individu yang pertama sekali menghubungi Kavyan (pada 20 Disember 2010) lalu mengadu bahawa Interlok menghina kaum India dan tidak patut dijadikan teks Komsas.
Bagaimanapun, seperti diketahui umum, pendiriannya berubah 180 darjah menjelang 14 Januari 2011.
Menerusi makalahnya dalam Malay Literature, dia memilih “jalan selamat” dengan sekadar mengaplikasikan teori semiotik, model kata kunci dan teori konseptual bagi meneliti kemiskinan fizikal, kemiskinan emosional dan kemiskinan dalaman yang dialami watak-watak.
Makalah oleh Mohd Hanafi Ibrahim dari DBP yang diterjemahkan oleh Noor Khairiyati Ali pula melihat Interlok dari sudut sosio-budaya dan kemanusiaan; bukan sebagai sebuah novel sejarah.
Beliau dengan yakin mengatakan bahawa “Maniam only owned an old cow”. Mana-mana individu yang pernah membaca Interlok akan tahu bahawa Maniam memiliki sekurang-kurangnya dua ekor lembu. Titik.
Selepas meneliti kesemua makalah ini, dapatlah dirumuskan bahawa Interlok adalah sebuah novel yang menerapkan doktrin dan ajaran agama Hindu.
(Artikel ini ditulis oleh Uthaya Sankar SB pada 12 Januari 2012 dan disiarkan di The Malaysian Insider pada 23 Januari 2012. Sila KLIK DI SINI untuk lebih banyak maklumat berhubung kontroversi novel Interlok Edisi Murid.)