Novel Ngeri oleh Gina Yap Lai Yoong dan Jerat oleh Dayang Noor adalah lanjutan daripada siri novel-novel berciri pulp fiction terbitan Buku Fixi milik Amir Muhammad.
Frasa “pulp fiction” saya terjemahkan sebagai “fiksyen picisan” atau “fiksyen murahan” tetapi bukan “fiksyen pulpa”.
Novel kedua-dua pengarang wanita ini memenuhi ciri-ciri genre berkenaan yang biasanya berciri urban dan kontemporari serta menggabungkan unsur suspens, misteri, seks dan thriller.
Tidak hairanlah ada kelompok yang menganggap novel-novel ini menjelekkan; apatah lagi apabila ditulis oleh pengarang wanita.
Kita perlu ingat bahawa novel-novel pulp fiction ini bukan sebahagian daripada teks Komponen Sastera Dalam Mata Pelajaran Bahasa Malaysia (Komsas) yang wajib dibaca dan difahami bagi tujuan markah dalam PMR dan SPM.
Sebaliknya, orang ramai (masih) mempunyai hak dan kebebasan untuk tidak membeli dan tidak membaca novel-novel terbitan Buku Fixi.
Dayang Noor – atau nama sebenarnya Noor Aziza Sulaiman – lahir di Mentakab, Pahang dan kini menetap di Puchong, Selangor.
Apabila membaca novel Jerat, agak sukar untuk mempercayai bahawa ini adalah novel sulungnya!
Bagaimanapun, perlu diakui bahawa budaya penerbitan yang diamalkan syarikat Buku Fixi tidak seperti kebanyakan penerbitan tempatan.
Sebaliknya, Amir mengadaptasi budaya penerbitan barat tanpa perlu “meniru barat” atau “menjadi barat”.
Ertinya, manuskrip yang diserahkan pengarang sudah melalui pelbagai proses saringan, penyuntingan, pengubahsuaian, pembetulan, rombakan, penempatan (positioning), penulisan semula dan sebagainya sebelum terbit dalam bentuk yang ada dalam pasaran.
Maka, kelompok yang menyelar Dayang Noor dan Gina Yap sebagai menghasilkan karya porno perlu lebih dahulu memahami makna pulp fiction dan budaya kerja Buku Fixi.
Pengkritik juga perlu mengetahui (baca: mengambil tahu) mengenai proses yang berlaku dalam industri penerbitan buku di luar negara.
Sekadar contoh, novel-novel hebat karya Stephen King sudah melalui proses panjang yang saya senaraikan di atas sebelum diterbitkan. Bacalah On Writing: A Memoir of the Craft (2000) atau Haunted Heart (2008) untuk lebih memahaminya.
Malah, novel Ngeri yang terbit dan berada dalam pasaran tidak sama dengan manuskrip asal yang pernah saya baca pada peringkat awal rundingan penerbitan.
Gina Yap yang merupakan pereka grafik serta terlibat dalam bidang iklan tidak serik merombak manuskripnya berulang kali berdasarkan cadangan dan saranan daripada penerbit, editor dan perunding.
Akhirnya, novel Ngeri lahir sebagai sebuah karya thriller yang mengisahkan pengalaman luar biasa tiga mahasiswa bidang perfileman di sebuah universiti tempatan.
Khalayak yang sudah biasa menonton filem seram-ganas dari luar negara (timur dan barat) yang melibatkan watak pelajar kolej/universiti pasti akan dapat menyesuaikan diri dengan mudah apabila membaca novel ini.
Menerusi novel Jerat pula, Dayang Noor menggunakan pengalamannya dalam bidang teknologi maklumat (IT) untuk menjadikan novel thriller ini lebih realistik dan meyakinkan.
Pembaca dibawa untuk sama-sama merasai pengalaman yang terpaksa dilalui oleh watak Shereen yang hilang ingatan selepas kemalangan.
Maka, pembaca turut merasai debaran apabila segala rahsia mula dibongkar satu per satu oleh Shereen. Hal ini kerana pembaca dan Shereen sama-sama berada dalam situasi tidak tahu apa yang sebenarnya telah, sedang dan akan berlaku.
Ada beberapa perkara yang perlu diingat apabila membaca novel-novel terbitan Buku Fixi. Pertama adalah berkaitan bahasa slanga dan celupar yang digunakan kerana penggunaannya memang “digalakkan” penerbit ini.
Dalam novel Ngeri pula, terdapat kenyataan yang mengingatkan pembaca bahawa cerita berlaku di sebuah dunia fantasi di mana apa sahaja boleh berlaku.
Maka itulah watak polis dalam novel berkenaan diberi jawatan Detektif dan bukannya Inspektor atau Sarjan seperti norma di Malaysia.
Berbeza sedikit dengan novel “Jerat” di mana pembaca boleh mengecam beberapa tempat dan syarikat yang muncul dalam cerita.
Bagaimanapun, untuk berlaku selamat, dinyatakan sejak awal bahawa jika ada nama tempat atau syarikat sebenar dalam novel ini, maka sekadar dimasukkan dalam konteks fiksyen.
Secara keseluruhan, novel Ngeri setebal 231 halaman dan Jerat setebal 303 halaman menjanjikan nafas baru dalam bidang penulisan pulp fiction di Malaysia.
Saya tidak akan hairan jika peminat tegar novel-novel cinta (baca: cinta tiga segi) yang melambak dalam pasaran langsung tidak tertarik membaca buku-buku seperti ini.
Tentu sahaja tiada paksaan untuk membeli, memiliki dan membaca novel-novel pulp fiction yang mungkin masih baru dan amat asing dalam kalangan generasi muda.
Saya katakan demikian kerana generasi muda sejak lebih sepuluh tahun lalu sudah disuapkan dengan budaya membaca novel Komsas.
Maka, tidak hairanlah juga apabila Amir dengan berani mencatatkan begini pada novel terbitan syarikatnya: “Jika inginkan buku dengan pendekatan berbeza, sila ke kedai DBP.”
(Uthaya Sankar SB suka membaca karya luar negara yang diterjemah ke Bahasa Inggeris, Bahasa Malaysia atau Bahasa Indonesia. Ulasan ini ditulis pada 12 Disember 2011 dan disiarkan di Free Malaysia Today pada 30 Disember 2011. Sila KLIK DI SINI untuk catatan mengenai Kasino dan KLIK DI SINI untuk ulasan beberapa Buku Fixi. Sila KLIK DI SINI untuk maklumat lanjut mengenai ruangan ulasan buku.)