Sunday, 1 January 2012

Alfiearth Studio

Pada 25 Disember 2011, saya ke Alfiearth Studio milik Khyrul Alfie di Bukit Antarabangsa, Ampang untuk mengambil beberapa foto sebagai kenang-kenangan.

Terima kasih kepada wartawan theSun, Bissme S. yang memberikan nombor telefon Alfie kepada saya.


Kali terakhir saya mengambil foto secara profesional di studio adalah pada 15 Mac 2010; iaitu foto yang diambil untuk digunakan sebagai logo ruangan “Cereka UPSR” di majalah e-baca keluaran Mei 2010 hingga April 2011.


Foto berkenaan turut digunakan pada kad nama saya serta sebagai foto pada ruangan saya menulis di Free Malaysia Today dan The Malaysian Insider.


Foto sama juga dijadikan foto profil yang lazim di Facebook sehingga ramai yang menganggap saya seorang yang terlalu serius. (Patutlah tak ada Datin yang menambah saya sebagai rakan atau mengajak saya keluar makan malam di hotel mewah!)


Pengalaman merakam foto di Alfiearth Studio sedikit berbeza kerana saya memang mahu beliau merakamkan aksi saya dalam pelbagai suasana atau mood berbeza.


Walaupun pada mulanya hanya 20 foto dirancang, akhirnya jauh lebih banyak foto diambil. Banyak!


Empat daripada foto berkenaan telah saya paparkan di Facebook sejak seminggu lalu dan mendapat maklum balas yang agak baik daripada rakan-rakan.


Baki foto akan saya paparkan di blog secara berkala iaitu selang tiga hari mulai 1 Januari 2012; jam 12:00 tengah hari, waktu Malaysia. Tarikh siaran adalah pada 1 Januari 2012, 4 Januari 2012, 7 Januari 2012, 10 Januari 2012 ... dan seterusnya.


Sila maklum bahawa tiada manipulasi komputer pada mana-mana foto berkenaan. Malah, saya tidak mengenakan sebarang solekan bagi sesi fotografi.


Jika anda menyukai foto-foto yang dipaparkan dan berminat menghubungi Alfie untuk membuat temu janji sesi fotografi, maka anda boleh mencari beliau di Facebook. Atau dapatkan nombor telefonnya daripada saya.