29 Dec 2011

Ustaz Nordin, Salmah dan Seorang Penulis Muda

Salmah kini berasa dirinya lebih tenang dalam menempuh kehidupan seharian. Dia berasa lebih tenang dan tenteram dengan mendekatkan diri kepada Tuhan dan berkongsi pengalaman bersama kaum wanita yang menyertai Temunita.

Salmah juga merasakan dirinya kini lebih bebas mengikuti kelas-kelas agama dan ceramah daripada Ustaz Nordin.


Sejak bercerai dengan Aminuddin, Salmah juga banyak menghabiskan masa berehat dan bersendirian di rumah membaca kitab.


“Selepas novel sulung Cik Mah, tak ada lagi ke novel baru?”


“Sabarlah, Kak Eton. Novel baru masih pada peringkat awal penulisan. Baru siap kumpul bahan.”


“Baguslah tu. Ingatkan lepas bercerai, Kak Mah dah tak nak menulis lagi. Maklumlah, dah tak ada bimbingan daripada bekas suami.”


“Masakan begitu, hajah. Novel yang bakal saya tulis ni pun berkisar sekitar perceraian itulah.”


“Ya? Baguslah. Buat panduan semua kaum wanita.”


“Tentang Temunita ni, Kak Mah tak tulis ke?” Celah Cik Midah yang sebenarnya pendiam.


“Tapi Kak Mah, kalau tulis pasal perceraian tu, mau ke bekas suami Kak Mah terbitkan?”


“Cik Debah, Cik Debah. Kalau pun bekas suami saya tu pemilik penerbitan sendiri, tak bermaksud saya akan serah manuskrip kali ini kepadanya.”


Selepas Temunita, Salmah ke Dewan Besar Siru Kambam. Dia terlewat sampai. Buktinya, apabila Nissan Sentranya sampai di pintu pagar, ceramah sudah bermula.


Salmah mengeluh. Menyesal kerana terlalu lama berbual selepas Temunita tadi.


Selepas mengambil tempat di sudut kiri hadapan, Salmah menumpukan perhatian pada ceramah yang disampaikan oleh Ustaz Nordin.


Tetapi segera Salmah mengeluh lagi apabila menyedari topik ceramah itu. Dirisiknya daripada orang sebelah. Benarlah tekaannya. Ustaz Nordin sedang memberi ceramah tentang “Sistem Nilai Islam”. Tentang wajib, haram, sunat, makruh dan mubah.


“Kenapa tak berikan ceramah yang asal tu, ustaz?” Tanyanya apabila Ustaz Nordin mendapatkannya selepas selesai berceramah.


“Ceramah tentang hak wanita menuntut cerai? Kita tunda ke minggu depan.”


Damn it! Gerutu hatinya.


Apabila enjin kereta sudah dihidupkan, Salmah masih tidak pasti ke mana dia mahu pergi selepas itu. Kembali ke Temunita di Peria Pattanam atau pulang ke rumah.


Kalau ke Temunita, bolehlah Salmah bertukar-tukar pengalaman bersama-sama wanita-wanita lain.


Akan tetapi, sampai di simpang Jalan Kampung Kecil, Salmah membrek tiba-tiba. Dia teringat bahawa perbincangan sesi kedua Temunita pada hari itu adalah tentang cara-cara mengelakkan keretakan rumah tangga.


Salmah melihat jam pada pergelangan tangan kiri. 11:17 pagi. Segera dia membelok ke kiri menuju ke rumah.


Ada poskad daripada Sahara. Ringkas sahaja berita yang dikirim: Mama, studi di Cambridge okay buat masa ini. Mama take care. Jangan terlalu runsing memikirkan papa.


Damn it! Mengapa Sahara harus menulis begitu? Bukankah Salmah sudah memaklumkan kepada anak-anaknya bahawa dia lebih bahagia setelah bercerai.


“Kau salah faham, Mah. As tu cuma salah seorang penulis yang karya-karyanya penerbitan abang terbitkan. Tak lebih daripada itu,” pujuk Aminuddin empat bulan lalu.


“Mah taulah perangai lelaki. Pandai bermuka-muka. Mah tak mau dimadukan!”


“Apa yang Mah cakap ni? Abang bukannya muda lagi. Dah tua pencen, Mah.”


“Perempuan, semakin tua, semakin hodoh dipandang. Tetapi lelaki, semakin beruban, semakin menggatal. Mulalah memikat Si As yang montok tu.”


“Eh, eh. Ke situ pulak dia. Asmindar tu kan ke penulis novel. Sebagai pemilik Aminuddin Publications, abang kenalah menjalin hubungan baik dengan penulis yang menghantar karya mereka kepada abang.”


“Menjalin hubungan yang macam mana tu?”


“Mengucap, Mah. Tak baik mencurigai. ...”


“Sudah, jangan berlakon lagi. Ada orang dah bagi tau Mah pasal perangai abang. Mah dah tak rela hidup dengan abang lagi.”


“Mah!”


“Mah memang dah lama nak minta cerai. Mah yakin Mah akan dapat hidup lebih bahagia sebagai janda.”


Ringgg!


Salmah meletakkan poskad tadi di atas meja seraya mencapai gagang telefon.


“Hello, mama!”


“Din, ya? Macam mana game pagi tadi?”


“Pasukan kami menang tiga kosong.”


Congratulations! Bila Din balik?”


“Esok, mama. Kat sini boring gak. Makan chewing gum pun boleh kena denda.”


Salmah ketawa kecil mengingatkan Jamaluddin, anak bongsunya.


“Ajak sekali tunang kau, Din. Mama pun dah lama tak jumpa dia.”


Okay, mama. Err ... papa telefon, tak?”


“Buat apa?”


“Err ... Kalau papa telefon, mama kirim salam Din kepada papa, ya?”


“Hmm.” Salmah bersetuju dengan hati yang amat berat. Namun, dia pasti bahawa bekas suaminya tidak mungkin akan berani menelefonnya lagi.


(© Uthaya Sankar SB. Petikan di atas adalah daripada cerpen “Ustaz Nordin, Salmah dan Seorang Penulis Muda” yang termuat dalam kumpulan cerpen Orang Dimensi pada tahun 1994. Sila KLIK DI SINI untuk senarai lengkap cerpen-cerpen pengarang ini dan sila KLIK DI SINI untuk bahan-bahan dalam Bahasa Inggeris.)