18 Sept 2011

Novel Bersiri UGUT

Pada 20 Jun 2011, saya memulakan proses menulis sebuah novel berciri pulp faction berjudul UGUT yang menggabungkan unsur-unsur saspens, misteri, thriller, politik, kritikan sosial, seks, ugutan siber, narrative hook dan twist.

Walaupun berciri pulp fiction, novel berkenaan masih mengekalkan penggunaan Bahasa Malaysia yang betul; selain penggunaan Bahasa Inggeris di sana-sini mengikut keperluan cerita dan tuntutan watak.

Perlu saya akui bahawa fenomena yang dicetuskan oleh Buku Fixi milik Amir Muhammad menjadi pencetus kepada usaha saya menulis UGUT.

Walau bagaimanapun, apabila selesai menulis sebelas bab, saya menyedari dan terpaksa mengakui bahawa UGUT tidak sesuai dihantar ke Buku Fixi untuk dinilai bagi penerbitan.

Perkara paling utama yang menjadi “halangan” adalah dari segi penggunaan bahasa yang tidak selaras “Gaya Fixi”. Memang ada pelbagai “perencah” yang menjadikan UGUT sebuah pulp fiction tetapi saya tetap menghormati “pendirian” Amir Muhammad yang menggalakkan bahasa slanga dan celupar.

UGUT mengisahkan watak utama bernama Wan – bukan “One” seperti pada “1Malaysia” – yang menggunakan laman rangkaian sosial pada tahun 2011 untuk menghubungi beberapa lelaki yang sudah berkahwin. 

Masalah timbul apabila salah seorang mangsanya adalah seorang lelaki yang “berkuasa”.

Novel ini bukan sahaja berciri pulp fiction, malah juga pulp faction kerana penulisan adalah berdasarkan pelbagai fakta yang difiksikan. Kisah yang dipaparkan dalam UGUT juga pasti amat berbeza dengan cerpen dan novel yang pernah saya hasilkan selama ini!

UGUT disiarkan secara bersiri (mingguan) di portal berita dalam talian The Malaysian Insider dari 18 September 2011 hingga 15 April 2012.

Ada sesiapa yang masih berminat untuk membacanya? Sudilah komen di bawah.

Nota: Frasa “pulp faction” mungkin boleh diterjemahkan sebagai “faksyen picisan” atau “faksyen murahan” tetapi bukan “faksyen pulpa”.