28 May 2011

Ibu Bapa Mahu Mesyuarat Agung Tergempar PIBG

SHAH ALAM – Sekumpulan ibu bapa dan penjaga kepada pelajar sebuah sekolah menengah kebangsaan di sini mahu Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah berkenaan memanggil Mesyuarat Agung Tergempar (EOGM) dengan kadar segera.

Wakil kumpulan itu, A. Sivaprakasam berkata, tindakan lebih 20 ibu bapa dan penjaga yang membuat laporan polis pada pagi 28 Mei 2011 membuktikan bahawa mereka sudah hilang kepercayaan terhadap YDP itu.


“Laporan polis yang dibuat oleh YDP PIBG pada 24 Mei dan dilaporkan di akhbar Sinar Harian pada 25 Mei jelas menunjukkan bahawa beliau melabel kami (ibu bapa/penjaga) sebagai kumpulan yang berniat jahat dan mahu mencemarkan namanya.


“Amat memalukan apabila segala perkara yang kami luahkan secara terbuka pada Sesi Dialog & Pemuafakatan PIBG pada 21 Mei digunakan oleh YDP untuk membuat laporan polis dan kenyataan media yang mencemarkan nama baik dan merosakkan imej ibu bapa,” katanya selepas mengiringi ibu bapa/penjaga membuat laporan di Balai Polis Taman Sri Muda, di sini.


Sementara itu, Stephen Perumal Velu yang turut membuat laporan polis berkata, adalah tidak logik untuk YDP memberi alasan bahawa beliau masih baru untuk memikul tugas yang diamanahkan.


“Sebelum menjadi YDP, beliau pernah menjadi Ahli Jawatankuasa PIBG di sekolah sama. Malah, beliau juga berpengalaman luas sebagai YDP PIBG di sebuah sekolah lain,” katanya yang mewakili ibu bapa/penjaga dalam meluahkan rasa kesal dan sedih atas tindakan YDP itu membuat laporan polis pada 24 Mei lalu.


Seorang lagi ibu, Irene Kia Ooi Meng menjelaskan bahawa mereka telah cuba berbincang secara baik dengan YDP berkenaan selepas terkejut membaca kenyataanya di akhbar Sinar Harian pada 25 Mei.


“Tapi dia tidak mahu menjawab telefon, maka akhirnya kami semua terpaksa datang ke balai polis dan membuat laporan kerana mahu membetulkan fakta,” katanya.


Mengenai tindakan susulan, Sally Quah Saw Choon berkata, para ibu bapa sudah bersetuju untuk menghantar surat rasmi kepada YDP PIBG dan meminta supaya EOGM diadakan segera kerana mereka sudah tidak yakin dan tidak percaya pada kewibawaan beliau (YDP) menerajui PIBG.