9 May 2011

Golongan Wanita Jadi Sasaran Samun Pukau

TAMAN SRI MUDA, 9 Mei 2011 – Sambutan Hari Ibu semalam menjadi pengalaman yang kurang menarik bagi beberapa wanita di sekitar kawasan ini apabila hampir menjadi mangsa samun pukau.

Seorang suri rumah, Chua Kuie Eng, 56, berkata, semasa balik dari pasar pada pagi semalam, dia didatangi seorang wanita berumur sekitar 30-an yang bertanya tentang klinik di kawasan itu.


“Wanita itu mengatakan bahawa dia mahu membawa anaknya untuk pembedahan di klinik tetapi dia tidak tahu tempat. Saya menjadi risau apabila dia seperti sengaja mahu mengajak saya berbual lebih lama,” katanya kepada wakil media selepas bertemu Naib Setiausaha MCA Bahagian Kota Raja, Quah Saw Choon di sini, sebentar tadi.


Menurut Kuie Eng, dia mengesyaki sesuatu tidak kena kerana cara wanita keturunan Cina itu bercakap tidak menunjukkan dia sebenarnya mahu membawa anak ke klinik.


Seorang lagi surirumah, Chan Siew Chin berkata, dia mengalami perkara yang hampir sama, kelmarin.


“Apabila saya baru meletakkan kereta di tepi pasar, seorang wanita terus datang dan bertanya tentang klinik di kawasan ini. Saya jadi risau kerana saya lihat seorang lelaki yang mencurigakan dan saya rasa kawannya, menunggu tidak jauh dari sana,” katanya.


Saw Choon yang mendengar aduan kedua-dua surirumah itu menasihatkan penduduk sekitar Taman Sri Muda supaya sentiasa berhati-hati dan tidak mudah tertipu apabila orang datang meminta bantuan.


“Modus operandi seperti ini selalu digunakan penyamun yang memukau mangsa sebelum mengambil wang dan barangan kemas. Mujurlah Kuie Eng dan Siew Chin tidak terpedaya.


“Saya percaya sindiket samun pukau ini beroperasi di beberapa lokasi dan menggunakan teknik menipu yang sama. Sesiapa yang pernah menjadi mangsa perlu segera tampil membuat laporan supaya polis boleh mengetatkan kawalan di lokasi terbabit,” katanya.


Orang ramai d sekitar Shah Alam dan Kota Raja boleh menghubungi Saw Choon melalui talian 016-3735519 untuk aduan berhubung kes penipuan seperti ini.