9 May 2011

Pelajar Mula Luahkan Rasa Marah

SHAH ALAM – Susulan insiden pergaduhan di sebuah sekolah menengah kebangsaan di sini pada 20 April 2011 serta kegagalan pengetua sekolah itu menangani pelbagai masalah sejak empat tahun lalu membuatkan pelajar turut mula meluahkan rasa marah dan kecewa.

Beberapa pelajar sekolah itu mendedahkan bahawa grafiti dan lukisan serta tulisan berbaur rasa benci terhadap sikap pengetua itu mula kelihatan di dinding sekitar sekolah sejak hampir dua minggu lalu.


“Pelajar sekolah ini memang tidak tahan dengan sikap melampau puan pengetua yang tidak bertanggungjawab dan selalu bersikap lepas tangan.


“Sementara ibu bapa, penjaga dan bekas pelajar menandatangani petisyen yang diserahkan kepada Menteri Pelajaran, pelajar pula meluahkan rasa tidak puas hati terhadap pengetua dengan cara menconteng pada dinding,” kata seorang pelajar yang enggan namanya disiarkan.


Surat aduan dan petisyen diserahkan wakil ibu bapa ke pejabat Menteri Pelajaran di Putrajaya pada 3 Mei lalu serta salinannya diserahkan ke pejabat Timbalan Menteri Pelajaran, Ketua Pengarah Pelajaran, Jabatan Pelajaran Negeri Selangor dan Pejabat Pendidikan Daerah.


Tinjauan petang ini (9 Mei 2011) mendapati, kesemua kata-kata berupa protes yang ditulis pelajar pada dinding sekitar sekolah sudah dipadam dan dicat semula.


Bagaimanapun, pelajar sekolah itu terus meluahkan pandangan dan protes mereka menerusi laman rangkaian sosial seperti Facebook dan blog.


“Kami tahu bahawa Facebook dan blog dipantau. Jadi, kami mahu kerajaan dan Kementerian Pelajaran tahu bahawa pelajar sekolah ini juga tidak senang dengan sikap puan pengetua.


“Dalam usaha menyelamatkan diri sendiri, puan pengetua macam sedang mencari kambing hitam. Kami bimbang kalau guru dan pelajar yang tidak bersalah menjadi mangsa dalam permainan kotor ini,” kata seorang lagi pelajar.


Beberapa pelajar sekolah itu turut meluahkan rasa sedih dan kecewa kerana pengetua itu sering mengungkitkan isu-isu perkauman sehingga menyebabkan wujud jurang kemesraan antara guru dan pelajar pelbagai kaum.


Kumpulan pelajar yang ditemui petang tadi (9 Mei 2011) juga hairan mengapa kes seorang pelajar Tingkatan Tiga yang dibuli dan dibelasah lapan pelajar Tingkatan Empat pada 13 April lalu masih belum diselesaikan.


“Puan pengetua lebih banyak menghabiskan masa di kantin daripada menjalankan tugas sebagai pengetua. Kami harap tindakan segera akan diambil oleh Kementerian Pelajaran sebelum keadaan di sekolah ini menjadi lebih buruk.


“Tambahan pula menjelang sambutan Hari Guru tidak lama lagi,” kata mereka.


Nota: Identiti pelajar yang ditemui dirahsiakan atas sebab keselamatan.