Tuesday, 14 December 2010

Kuil Sri Navaneetha Krishnar

Sukar untuk melupakan bahawa Rajnikanth (Shivaji Rao Gaikwad) menyambut hari jadi ke-61 pada 12 Disember 2010 memandangkan stesen radio THR kegemaran Devishi Prabha Sankari memasang hanya lagu-lagu dari filem-filem lakonan warga emas itu sepanjang hari berkenaan. Sehingga Devishi sendiri menjadi muak dan menutup radio di kereta saya!
.

Pada pagi hari berkenaan, saya dan Devishi ke Kuil Sri Navaneetha Krishnar di Kampung Boyan. Kuil ini yang dibina pada 1803, kini sedang melalui proses pembinaan semula. Bahagian hadapan kuil itu sudah pun dirobohkan dan asas sedang dibina untuk membangunkan sebuah dewan kuil berkenaan di sana.

.

Saya berasa agak sedih kerana bahagian depan (anjung, tinnei) yang menyerupai gaya rumah-rumah tradisional di India sudah tiada. Presidne kuil, Encik M Balasundram dan seorang lagi ahli jawatankuasa pengurusan kuil membawa saya dan Devishi meninjau sekitar kuil.

.

Saya merakamkan sebanyak mungkin foto sebagai kenangan peribadi dan juga untuk diedarkan kepada mana-mana rakan media yang berminat menulis bahan berita mengenai kuil ini yang dipercayai adalah kuil Dewa Krishna yang tertua di Malaysia.

.

Seterusnya, saya dan Devishi ke rumah Muniswaran di Jalan Masjid (dahulu, Jalan Surau). Sambil berbual-bual, kami sempat melihat Malini membuat gelang, rantai dan subang menggunakan manik. Memang unik dan menarik.

.

Kemudian, kami berdua singgah di rumah Malarkodee keluarganya yang dahulu merupakan jiran saya di Aulong Lama dan kini mereka tinggal di Jalan Masjid, berhampiran jalan masuk ke Aulong Lama. Di rumahnya ada empat anjing serta begitu banyak ayam dan itik. Sayangnya, Devishi agak takut.

.

Sebelum pulang ke rumah neneknya di Kamunting, Devishi dan saya singgah membeli biskut kaya di sebuah rumah yang sering menjadi tumpuan kami untuk mendapatkan biskut yang baru sahaja disiapkan.

.

Pada sebelah petang, Prabhawathy dan ibunya menaiki sebuah kereta manakala saya dan Devishi menaiki kereta saya untuk memandu pulang ke Lembah Klang. Selamat tinggal, Taiping! Sila KLIK DI SINI untuk melihat foto-foto yang dirakam pada 12 Disember 2010.

No comments:

Post a Comment

Sila gunakan Bahasa Malaysia atau Bahasa Inggeris yang betul dari segi ejaan, tatabahasa, tanda baca, struktur ayat dan kesantunan berbahasa. Komen tanpa nama tidak akan dilayan. Komen yang tiada kaitan dengan topik tidak akan disiarkan. Pencemaran bahasa diharamkan!