4 Jul 2010

Penyokong Brazil Saudades

Kekalahan mengejut pasukan Brazil di tangan pemain Belanda pada suku akhir Piala Dunia Fifa 2010 tidak mematahkan semangat penduduk negara itu yang gemar berpesta.
.

Di pantai sepanjang 4 kilometer di Copacabana, Brazil, dua puluh minit selepas penyokong pasukan itu mengalirkan air mata menyaksikan kekalahan pasukan negara, pemain muzik samba naik ke pentas khas dan mula menghiburkan pengunjung dengan alunan muzik rancak.

.

Sejurus selepas itu, orang ramai mula berpesta dengan semangat saudades iaitu bergembira dalam kedukaan kerana sedar bahawa apa yang sudah berlaku tidak boleh diubah.

.

“Kami amat sedih dan orang ramai menangis sebentar tadi, tetapi kemudian kami mula berfikiran positif dan mula meraikan kejayaan yang diimpikan empat tahun akan datang,” kata Claudia Ressea sambil menyapu air mata dan mula menari mengikut iringan muzik samba.

.

Terdahulu, sebaik Brazil kalah kepada Belanda di Port Elizabeth, Afrika Selatan, hampir 20,000 penyokong – kanak-kanak, remaja, dewasa dan warga emas – yang berkumpul di pantai Copacabana tertunduk tanpa bicara dan menitiskan air mata.

.

“Saya tidak percaya Brazil kalah dan tidak akan mara ke separuh akhir,” kata Luciano Barreto sambil menyapu air mata menggunakan jersi Brazil yang sebelum itu dikibarkan ke udara sewaktu Brazil mendahului 1-0.

.

Kekalahan Brazil memang mengejutkan peminat bola sepak seluruh dunia dan pasti menjadi bualan ramai selama empat tahun akan datang, iaitu apabila Brazil menjadi tuan rumah Piala Dunia 2014.

.

Bagi penyokong Brazil, mereka optimis bahawa kejayaan tetap akan berpihak kepada pasukan negara itu pada masa hadapan.

.

“Saya tidak sedih, saya gembira! Pasukan Brazil bermain dengan baik dan menjaringkan satu gol. Kita hanya dikalahkan, itu sahaja,” kata Henrique Miguel, 7, yang menjadikan Kaka idolanya.

.

(Sinar Harian, 4 Julai 2010)