3 Jun 2010

Pencalonan Anugerah Sastera Negara

Pencalonan bagi Anugerah Sastera Negara yang membawa gelaran Sasterawan Negara ke-11 ditutup pada 31 Mei 2010.
.
Kempen untuk mencalonkan Profesor Madya Dr Lim Swee Tin sebagai Sasterawan Negara dimulakan pada Jun 2009 [BACA DI SINI] dan ternyata mendapat sokongan ramai.
.
Agak menghairankan juga mengapa tidak ada individu atau institusi yang pernah mencalonkan beliau sebelum ini.
.
Apa-apa pun, memandangkan Dr Lim Swee Tin sesungguhnya amat layak menerima Anugerah Sastera Negara, maka saya menyerahkan borang pencalonan secara rasmi pada 31 Mei 2010 kepada Urus Setia Anugerah Sastera Negara, Hajah Zaiton Ajamain di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).
.
Saya terhutang budi kepada setiap individu yang membantu saya dalam mengumpulkan maklumat serta melengkapkan laporan penilaian setebal hampir 150 halaman.
.
Malah, Dr Lim Swee Tin, Puan Selina S F Lee dan Cik Lim Fheng Fheng banyak membantu dalam mempermudah kerja saya dengan menyalurkan data yang diperlukan.
.
Sekarang, sama-sama kita nantikan siapakah tokoh yang akan menyertai Senarai Sasterawan Negara iaitu “sasterawan yang menyumbangkan ciptaan bermutu tinggi dan cemerlang dalam perkembangan kesusasteraan tanah air” pada tahun-tahun akan datang.
.
Sekiranya Dr Lim Swee Tin masih dianggap/diputuskan “belum layak” menerima Anugerah Sastera Negara, ternyata “ada yang tidak kena” dalam keseluruhan sistem. Apa pun, saya hanya boleh mengemukakan pencalonan. Keputusan muktamad masih pada Panel Penilai dan Pengerusi Panel Penilai.