28 Aug 2009

Mrs Ho @ Cikgu Neo Kee Boon

Pada 28 Ogos 2009, sekitar pukul 1:00 tengah hari, saya bersama-sama Devishi dan Ashwini (anak saudara) cuba mencari rumah Cikgu Neo Kee Boon di Taman Kerjasama, Jalan Izuddin Shah, Taiping.

Kami mahu memberikan senaskhah Rudra Avatara dan Kathakali kepada bekas guru berkenaan.

Saya tidak ingat bila kali terakhir saya bertemu beliau. (Kali terakhir saya ke Taiping adalah pada Ogos 2006.)

Cikgu Neo Kee Boon merupakan guru kelas sewaktu saya di Darjah Enam, di SRK Convent Aulong.

Pada waktu itu, kami mengenali beliau sebagai Mrs Ho.

(Ada sedikit kisah diceritakan dalam cerpen “e-mel untuk anda” yang termuat dalam Kathakali. Malangnya, entah mengapa, saya tersalah taip nama beliau sebagai Ng Kee Boon! Jika anda memiliki senaskhah buku Kathakali, sila ke halaman 140 dan betulkan nama beliau.)

Bagaimanapun, apabila bertemu semula dengan Mrs Ho selepas tahun 2000, saya mendapat tahu bahawa beliau sudah bercerai dan kembali menggunakan nama asal.

Berbalik pada cerita tadi, akhirnya kami bertiga berjaya mengesan rumah beliau di Taman Kerjasama.

Malangnya, kami dimaklumkan bahawa beliau sudah meninggal dunia beberapa tahun lalu akibat kemalangan jalan raya.

Saya boleh membayangkan Cikgu Neo Kee Boon berbasikal di jambatan Jalan Muzaffar Shah (berhampiran Stesen Kereta Api Taiping), lalu dilanggar sebuah van yang hilang kawalan.

Semoga roh mendiang aman di sisi Tuhan.

Nota: Foto Devishi dan Cikgu Neo dirakam pada 2 Mei 2003.