Saya mahu membaca cerpen. Kalau boleh, saya mahu membaca cerpen dengan suara yang lantang di tempat awam. Biar khalayak berdiri di sekeliling dan mendengar saya membaca sebuah cerpen.
“Awak jangan mengimpikan yang bukan-bukan,” kata rakan-rakan pada setiap kali saya meluahkan keinginan itu kepada mereka.
Adakah apa yang saya impikan ini sesuatu yang bukan-bukan? Saya memang gemar membaca buku. Memanglah tidak banyak buku versi Braille dalam bahasa kebangsaan; apatah lagi karya sastera seperti cerpen dan novel.
“Emak, bacakan saya sebuah cerita.”
Demikian saya selalu meminta kepada emak pada usia muda. Saya akan berbaring di riba emak sementara emak membacakan puluhan, malah ratusan, cerita untuk saya dengar.
“Dengarlah, sayang …”
Suara emak lunak dan sedap didengar. Emak pandai mengawal intonasi suara. Emak bijak menyampaikan dialog dengan penuh penghayataan dan perasaan.
Kalau ceritanya menggembirakan, emak akan menyampaikannya dengan nada gembira.
Kalau ceritanya menyedihkan, emak akan menitiskan air mata sambil suaranya sebak.
Saya tahu bahawa tangisan emak adalah bukan semata-mata kerana kesedihan dalam cerita. Sebenarnya emak sedang melahirkan kesedihan dalam dirinya sendiri. Kesedihan kerana anaknya tidak mampu melihat sejak lahir.
(Petikan cerpen yang disiarkan dalam majalah Pelita Bahasa, Disember 2005. Kemudian dimuatkan dalam buku Kathakali, 2009)