4 Jan 2009

Selamat Bersekolah, Devishi!


Devishi Prabha Sankari (DPS) akan melangkah ke Tahun Satu pada Isnin, 5 Januari 2009.

Saya sudah mengambil cuti bagi 5 dan 6 Januari 2009. Saya sebenarnya ada diminta pergi membuat liputan banjir di Kemaman, Terengganu pada 4 Januari, tetapi saya tolak secara baik kerana saya pasti bahawa saya tidak akan dapat pulang pada/sebelum 5 Januari untuk membawa DPS ke sekolah.

DPS bersekolah sesi petang. Pada sebelah pagi, memandangkan ibunya mengajar sesi pagi, DPS akan ke rumah pengasuh.

Sekitar 12:30 tengah hari, saya akan pergi mengambilnya dari rumah pengasuh dan membawanya ke sekolah. Sekolah bermula 1:10 tengah hari.

Saya percaya DPS tidak akan menghadapi sebarang masalah untuk menyesuaikan diri di sekolah. Apatah lagi, DPS sudah ke Tadika CEC selama dua tahun, serta pergi ke sekolah barunya untuk sesi ujian penempatan pada 20 Disember 2008.

Selepas menghantar DPS ke kelas, saya bercadang duduk melepak di kantin sekolah sambil membaca novel I Know This Much Is True (Wally Lamb, 1998) yang saya beli dua tahun lalu tetapi baru kini terbuka pintu hati untuk membacanya secara tekun.

Pada waktu rehat, saya akan bersama DPS. Pasti DPS mahu menceritakan pengalaman hari pertama di kelas sambil makan.

Selepas DPS masuk semula ke kelas, saya akan pulang. Kemudian, sekitar 6:30 petang, pergi untuk mengambilnya selepas sekolah.

Demikian perancangan saya untuk 5 Januari 2009.