16 Sept 2008

Siaran Langsung 24 Jam Suara Anda Aidil Fitri di BERNAMA RADIO24

KUALA LUMPUR, 16 September 2008 - Sempena sambutan Hari Raya Aidil Fitri tahun ini, Bernama Radio24 memberi peluang kepada orang ramai untuk menyampaikan ucapan hari lebaran melalui segmen popular Suara Anda dengan membuka talian berterusan sepanjang siaran langsung 24 jam.

Talian akan dibuka mulai pukul 7:00 pagi hari terakhir Ramadhan (Malam Raya Pertama) hingga 7:00 pagi Hari Raya Pertama. Melalui talian langsung ini, pendengar dipelawa berinteraksi dengan peneraju BR24, memberikan komen tentang berita semasa di Aidil Fitri dan berpeluang menyampaikan dedikasi lagu Raya.

“Uniknya di Bernama Radio24, Suara Anda Aidil Fitri ini bukan sahaja memberi platform kepada orang ramai membuat ucapan Raya dan dedikasi lagu, tetapi juga bertujuan memberi ruang kepada pendengar melaporkan suasana sambutan Aidil Fitri ala laporan langsung berita,” menurut Ketua Pegawai Operasi BR24, Sheikh Raffie Abd Rahman.

Tambah Sheikh Raffie, seperti format segmen Suara Anda yang biasanya ke udara sepanjang hari, Isnin hingga Jumaat, Suara Anda Aidil Fitri membentangkan isu-isu semasa yang berkisar sekitar musim Hari Raya dan permasalahan yang ditampilkan dalam komen pendengar.

Bernama Radio24 boleh didengar melalui frekuensi 93.9 FM di sekitar Lembah Klang atau melalui laman web www.radio24.com.my dari seluruh dunia.

Setelah setahun beroperasi secara bebas-ke-udara dan melalui audio streaming langsung laman webnya, stesen radio berita pertama negara ini juga berjaya menarik minat pendengar dari kumpulan tersendiri termasuk dari luar Lembah Kelang yang mendengar melalui laman web Bernama Radio24.

Justeru, istimewanya Suara Anda Aidil Fitri tahun ini, adalah ia bukan sahaja dapat didengar di dalam negara, bahkan di seluruh dunia. Pendengar boleh memberi ucapan kepada insan tersayang yang berada di perantauan di mana ia mampu didengari mereka secara langsung melalui laman web www.radio24.com.my.

Selain daripada memanggil studio Bernama Radio24 melalui talian 03-2692 7939, orang ramai juga boleh menghantar ucapan melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) dengan menaip R24 diikuti ucapan, dan hantar ke (DAPAT) 32728.

Bagi memeriahkan suasana sambutan Aidil Fitri tahun ini, Bernama Radio24 juga akan memainkan lagu-lagu Hari Raya Aidil Fitri dari pelbagai genre dan era.

Sepanjang cuti Hari Raya, BR24 akan terus memberikan berita terbaru setiap jam melalui Top 5 News dan Buletin 24. Antara laporan menarik di luar berita sepanjang musim perayaan ini ialah laporan trafik secara langsung daripada Lembaga Lebuhraya Malaysia dan Polis DiRaja Malaysia.

Bernama Radio24 adalah stesen radio berita pertama di Malaysia yang dilancarkan pada 3 September 2007 dan beroperasi di bawah naungan Pertubuhan Berita Nasional Malaysia, BERNAMA. Stesen radio komersial ini yang membawakan liputan langsung secara eksklusif dan menawarkan program wawancara secara interaktif kepada pendengar. Ia juga menampilkan ulasan berita utama dan analisis segera mengenai sesuatu peristiwa atau isu yang memerlukan perhatian umum.