21 Sept 2025

“Mungkin Lepas Ni Orang Tak Sebut Tentang Kavyan” – Bahagian 3

[Baca Bahagian 1] [Baca Bahagian 2] Pertubuhan Sasterawan Kaum India (Kavyan) turut mengadakan program di Pusat Kebudayaan India (ICC), Brickfields dengan kerjasama Suruhanjaya Tinggi India. Antaranya ialah “Bengkel dan Persembahan Drama Pentas Megha Duta” (16 April 2023, 21 Mei 2023, 18 Jun 2023, 1 Julai 2023, 16 Julai 2023, dan 20 Ogos 2023), “Pertemuan Penulis dan Pembaca Malaysia” (14 Mei 2023), dan “Perbincangan Meja Bulat Penulis Malaysia” (14 Oktober 2023) melibatkan peserta pelbagai kaum dan pelbagai bahasa.

Bengkel penulisan Bahasa Malaysia yang dirancang dan dikendalikan sepenuhnya oleh Kavyan termasuk Bengkel Penulisan Intensif di Taiping (15-17 Disember 2023), Bengkel Penulisan Intensif di Pinggiran Subang (2-3 Mac 2024), Bengkel Penulisan Intensif di Putrajaya (8-9 Jun 2024).

Kavyan turut bekerjasama dengan Persatuan Kebajikan Idayakkani untuk menganjurkan program “Temasya Bahasa” khusus bagi murid Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT). Misalnya, program bagi SJKT di Daerah Larut, Matang dan Selama (11 Mei 2024, 14 Mei 2024, 24 Mei 2024, 4 Jun 2024, 21 jun 2024, 22 Jun 2024, 13 Julai 2024, dan 27 Julai 2024), serta bagi SJKT di Daerah Kerian (16-17 April 2025).

Ada pelbagai lagi aktiviti Kavyan selaras matlamat yang termaktub dalam Perlembagaan Kavyan. Maka, amat pelik bagaimana timbul pandangan, salah tanggap, dan persepsi kononnya Kavyan sudah tidak aktif sejak tahun 2020.

Lebih menyedihkan apabila memikirkan bahawa orang ramai yang mengikuti sesi bual bicara Suara dari Anjung: Tinta Sastera Menelusuri Ensiklopedia – secara langsung atau menerusi media sosial DBP – mendapat gambaran salah tentang Kavyan dan Sasterawan Kavyan. Tambahan pula, Krishanan Maniam berkata: “Mereka [Kavyan] tidak aktif seperti sebelum Covid.”

Mujurlah Krishnan Maniam juga berkata: “Mereka [Sasterawan Kavyan] masih tidak keluar. Itu yang menggembirakan kita. Tidak keluar daripada penulisan. Juga tidak keluar daripada bertemu dengan sasterawan Melayu.”

Moderator turut bertanya: “Apakah saranan dan harapan Dr. Krishanan dalam mengajak dan menyeru masyarakat India dalam keterlibatan dalam penghasilan karya sastera, khususnya dalam penulisan ensiklopedia?”

“Kalau kita meneliti penglibatan masyarakat India, ianya boleh dibuat segmen-segmen. Satunya ialah menulis dalam bahasa Tamil itu sendiri dan satu lagi, menulis dalam bahasa Melayu,” katanya.

Menurut Krishanan Maniam, jika mahu menghasilkan ensiklopedia, penulis kaum India yang menghasilkan karya bahasa Tamil juga perlu diambil kira.

“Sampai sekarang, kita tidak ada satu dokumentasi yang penuh ataupun satu dokumentasi yang rasmi untuk masyarakat India yang terlibat dalam penulisan sastera. Ramai juga yang sudah meninggal dunia dan sebagainya,” beliau menjelaskan.

Khusus mengenai penglibatan kaum India dalam penulisan karya Bahasa Malaysia dan Sastera Kebangsaan, Krishanan Maniam menegaskan: “Kita kena buat banyak penyelidikan. Penyelidikan awal ini boleh dikatakan sangat terhad.”

“Macam sekarang pula, ada generasi baharu yang terlibat itu pun, kita tidak ada rekod. Mungkin Cik Nor [moderator] tadi sebut tentang Kavyan; mungkin lepas ni orang tak sebut tentang Kavyan pun. Kita tak tahu bahawa mereka [Sasterawan Kavyan] ada menghasilkan (karya) dan sebagainya. Dengan itu, sangat pentinglah untuk membuat satu ensiklopedia untuk orang-orang begini,” ujarnya dengan penuh harapan.

Sementara itu, sesiapa yang mahu mendapatkan maklumat tepat, sahih, dan menyeluruh mengenai penglibatan kaum India – termasuk penulis Tamil, Jawi Peranakan, dan Sasterawan Kavyan – dalam perkembangan Sastera Kebangsaan, jangan lupa memiliki buku Kavya Sastra (2021) iaitu dokumentasi paling lengkap setakat ini.

Orang ramai boleh melayari Blog Kavyan atau Portal Sastera Kavyan atau Blog Uthaya dari semasa ke semasa untuk mendapatkan pelbagai maklumat berkaitan. Boleh juga menghubungi e-mel uthayasb@gmail.com atau WhatsApp 011-11411952 (Uthaya) jika masih tertanya-tanya tentang Kavyan dan Sasterawan Kavyan serta sumbangan kepada perkembangan Sastera Kebangsaan.

[Uthaya Sankar SB terlibat dalam bidang penulisan sejak tahun 1991. Anugerah yang diterima termasuk Hadiah Cerpen Maybank-DBP (1992, 1993, 1996), Hadiah Sastera Utusan-Public Bank (1993), Hadiah Cerpen Esso-Gapena (1996), Hadiah Sastera Perdana Malaysia (1996/97, 1998/99), Anugerah Duta Keamanan (2008), dan Anugerah Tokoh Saraswati (2023). Beliau sudah menghasilkan lebih daripada 30 buah buku. Baca biodata penuh]

20 Sept 2025

Kempen Hadiah Buku Untuk Kanak-kanak

Pengenalan

Buku Rani di Kuil Bhagavati (2025) memuatkan sembilan buah cerita rakyat India yang diceritakan semula dalam Bahasa Malaysia. Kempen menghadiahkan buku cerita Nari! Nari! (2023) serta Ikan Patin dan Beruang Besar (2024) pernah diadakan sebelum ini untuk membolehkan kanak-kanak pelbagai kaum daripada keluarga miskin (B40) yang gemar membaca boleh memiliki bahan bacaan bermutu. Orang ramai pula berpeluang menyumbang bagi menjayakan usaha murni ini. Kempen ini diusahakan semula dengan harapan kanak-kanak berpeluang memiliki dan membaca buku Rani di Kuil Bhagavati pada cuti sekolah hujung tahun (20 Disember 2025 – 11 Januari 2026).

 

Gerak Kerja

Kempen hadiah buku ini diuruskan oleh Uthaya Sankar SB selaku penulis dan penerbit buku Rani di Kuil Bhagavati. Maka, kempen dapat dijalankan dengan kos minimum kerana tidak melibatkan kos penyelenggaraan atau motif keuntungan. Kempen dijalankan dalam tiga fasa seperti berikut.

 

Fasa Satu – Penerima Hadiah Buku

Uthaya dengan bantuan rakan-rakan (Kavyan, guru, penulis, NGO, pemimpin komuniti, dan sebagainya) berusaha mengenal pasti kanak-kanak (10-14 tahun) pelbagai kaum yang sesuai, layak, dan berminat membaca buku cerita Bahasa Malaysia. Setiap individu diminta mencalonkan empat (4) kanak-kanak yang layak menerima hadiah buku cerita. Borang khas diberi kepada pencalon mulai 1 Oktober 2025 untuk memasukkan maklumat empat (4) kanak-kanak yang dicalonkan. Tarikh akhir bagi menyerahkan borang pencalonan kepada Uthaya ialah 31 Oktober 2025 (10:00 malam). Nama pencalon dan nama kanak-kanak yang dicalonkan dipaparkan di blog ini bagi tujuan dokumentasi dan ketelusan.

 

Fasa Dua – Penyumbang Hadiah Buku

Uthaya berusaha mencari individu yang sudi memberi sumbangan untuk membolehkan buku cerita Rani di Kuil Bhagavati dihadiahkan kepada kanak-kanak terbabit. Menerusi sumbangan RM50 (Lima Puluh Ringgit), buku cerita dapat dihadiahkan kepada empat (4) kanak-kanak. Nama penyumbang dipaparkan di blog ini. Penyumbang boleh meminta supaya nama samaran digunakan di blog (jika tidak mahu nama sebenar dipaparkan). Surat penghargaan diberi bagi setiap sumbangan dengan menyatakan jumlah sumbangan. Bagaimanapun, resit tidak diberi kerana ini bukan urusan jual-beli. Segala urusan sumbangan diharap dapat diselesaikan selewat-lewatnya pada 30 November 2025 (10:00 malam).

 

Fasa Tiga – Mengirim Hadiah Buku

Buku Rani di Kuil Bhagavati dikirim melalui pos kepada pencalon pada awal Disember 2025. Pencalon bertanggungjawab menyerahkan buku cerita kepada kanak-kanak terbabit sebelum 19 Disember 2025. Pencalon juga bertanggungjawab merakam foto setiap kanak-kanak (secara individu) memegang dan membaca buku cerita berkenaan; jika boleh bersama ibu bapa atau penjaga. Foto perlu dikirim kepada Uthaya selewat-lewatnya pada 19 Disember 2025 (10:00 malam). Foto akan dipaparkan di blog ini dan media sosial bagi tujuan dokumentasi. Kanak-kanak terbabit diharap akan meluangkan masa membaca buku cerita pada cuti sekolah hujung tahun.

 

Maklumat Lanjut dan Pertanyaan

Hubungi Uthaya menerusi WhatsApp 011-11411952 selewat-lewatnya pada 30 November 2025 (10:00 malam).

“Mungkin Lepas Ni Orang Tak Sebut Tentang Kavyan” – Bahagian 2

[Baca Bahagian 1] Saya menerbitkan sendiri buku-buku saya sejak Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) cuba menafikan hak saya menggunakan istilah “Bahasa Malaysia” (baca di sini). Bermula dengan Sasterawan Pulau Cinta (2001), saya masih aktif menerbitkan buku dengan sokongan modal sosial daripada rakan-rakan – lihat senarai buku [di sini].

Pertubuhan Sasterawan Kaum India (Kavyan) juga membantu merealisasikan impian M. Mahendran menerbitkan kumpulan cerpen Karupaya (2018) dan Ramakrishnan menerbitkan kumpulan puisi Kurnia (2018).

Malah, Kavyan menganjurkan siri bengkel penulisan secara bersemuka dan dalam talian dari semasa ke semasa, serta mengirim karya peserta untuk disiarkan di majalah terbitan DBP. Usaha itu dihentikan pada April 2021 berikutan tindakan rasis, fasis, ekstremis, dan subversif DBP menafikan hak umat Bukan Islam menggunakan istilah “Tuhan” dalam penulisan — baca dokumentasi penuh [di sini].

Baca juga ulasan bertajuk “Penulis Kaum India, Carma, Tuhan, dan DBP” untuk huraian lanjut.

Namun begitu, para penulis kaum India – sama ada secara sendirian atau menerusi Kavyan – tetap menulis tanpa mengeluh atau merungut “tidak ada ruang untuk melibatkan diri dalam penulisan sastera”. Portal seperti Eksentrika dan Cukaria turut menjadi medan (“ruang”) berkarya.

Peranan Kavyan turut diperakui Krishanan Maniam semasa memperkatakan tentang penulis kaum India pada sesi bual bicara Suara dari Anjung: Tinta Sastera Menelusuri Ensiklopedia pada 11 September 2025. Tambahan pula, beliau memang mengikuti perkembangan Kavyan sejak diasaskan pada 1999 dan menjadi salah seorang Penasihat Kavyan.

“Uthaya Sankar dengan sendirinya memulakan satu persatuan yang dikenali sebagai Kavyan. Dan Kavyan ini mengumpulkan penulis-penulis kaum India yang minat menulis dalam Bahasa Kebangsaan dan mereka dapat menghasilkan beberapa antologi dan ada juga sebuah antologi yang dipanggil sebagai Vanakam, selain daripada penghasilan buku secara persendirian oleh Uthaya Sankar. Ini menjadi satu contoh kepada masihnya ada bibit-bibit dalam masyarakat India untuk menghasilkan Sastera Kebangsaan,” katanya.

Kejahilan atau sikap kurang ambil tahu tentang realiti serta perkembangan terkini para penulis kaum India dalam Sastera Kebangsaan juga terserlah apabila moderator mengemukakan pertanyaan seperti berikut:

“Kalau dahulu, sebelum Covid-19, saya meneliti perkembangan kumpulan tersebut [Kavyan] rancak di dalam media elektronik tetapi sehingga kini [2025], saya masih mencari di mana titik temu ataupun perkembangan mereka yang kalau dahulu aktif sebelum Covid-19 dalam media sosial ataupun media elektronik, penerbitan dan penulisan, kini di mana tempatnya? Adakah masih aktif berwacana ataupun dalam ruangan digital?”

Saya terkedu dan terkesima menonton rakaman sesi bual bicara ini menerusi YouTube [tonton di sini]. Seolah-olah Kavyan dan Sasterawan Kavyan sudah lumpuh sejak pandemik Covid-19. Pada hakikatnya, sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), Kavyan masih aktif secara maya (lihat contoh).

Antara penulis baharu yang berjaya dibimbing, dipupuk, dan dicungkil bakat mereka sejak tahun 2020 ialah Chelvi Ganesan, Diviya Devaraj, S. Maartandan Suppiah, Malini Lakshmi Bai, Nageinthini Tewarajan, S. Perevenia, Rupasree Ganesan, dan Santhiavathi Ramasamy. Maklumat mereka boleh dibaca dalam buku Kavya Sastra (2021) manakala karya mereka termuat dalam antologi yang diusahakan oleh Kavyan, misalnya Seruling Malam (2024).

Bagi menjawab pertanyaan moderator, Krishanan Maniam menjelaskan bahawa para Sasterawan Kavyan masih aktif mengadakan pertemuan dalam skala kecil.

“Ada satu restoran yang dipanggil sebagai Baba Melaka [Restoran Anak Baba, Brickfields], di situ anggota Kavyan ini dipimpini oleh Uthaya Sankar SB memang bertemu dan mereka bincang tentang apakah perkembangan sastera sekarang,” katanya.

Untuk makluman, antara program yang dijalankan di Restoran Anak Baba ialah “Baca di Anak Baba” (5 Ogos 2023, 2 September 2023, 7 Oktober 2023, 4 November 2024, dan 2 Disember 2023), “Lepak Menulis Cerpen di Anak Baba” (17 September 2023), “Lepak Menulis Rencana di Anak Baba” (22 Oktober 2023), “Bicara Tagore di Anak Baba” (27 Julai 2025), “Bicara Bharati di Anak Baba” (23 Ogos 2025), serta “Bicara Nayagi dan Pameran Solo Sai Vijay” (27 September 2025). [Baca Bahagian 3]

19 Sept 2025

“Mungkin Lepas Ni Orang Tak Sebut Tentang Kavyan” – Bahagian 1

“Joseph Selvam mula menulis pada tahun 1965 hingga tahun 1970-an. Beliau menghasilkan antara 200 puisi ataupun sajak dan banyak menghasilkan cerpen, dalam anggaran lebih kurang 25 buah cerpen. Adakah masih ada penulis seaktif beliau pada masa kini?

Demikian pertanyaan dikemukakan pegawai perancang bahasa di Bahagian Penyelidikan Sastera, Jabatan Dasar dan Penyelidikan, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Nor Muhamad Mat Zain @ Nur Muhamad Fansuri selaku moderator pada sesi Suara dari Anjung: Tinta Sastera Menelusuri Ensiklopedia.

Sesi bual bicara ini berlangsung di Anjung DBP, Menara DBP, Kuala Lumpur pada 11 September 2025 serta disiarkan secara langsung menerusi media sosial dan didokumentasi di YouTube [tonton di sini].

Sesiapa yang mengikuti perkembangan Pertubuhan Sasterawan Kaum India (Kavyan) pasti tahu bahawa Sasterawan Kavyan – penulis kaum India yang menghasilkan karya Bahasa Malaysia – masih aktif memperkaya khazanah Sastera Kebangsaan.

Mantan ketua Jabatan Pengajian India, Universiti Malaya, Dr. Krishanan Maniam menjawab pertanyaan moderator dengan penjelasan berikut:

“Sebenarnya, masa-masa Joseph Selvam menghasilkan karya itu adalah masa Balai Muhibbah masih hidup. Dan mereka memang menulis pada Balai Muhibbah dan editor Balai Muhibbah akan memurnikan karya-karya mereka dan ia menjadi pembacaan untuk orang ramai.”

Bercerita lebih lanjut tentang Joseph Selvam dan N.S. Maniam yang aktif pada tahun 1970-an, Krishanan Maniam menghuraikan:

“Mereka memang sangat-sangat aktif dalam karya Sastera Melayu waktu itu kerana mereka juga didedahkan kepada Sastera Indonesia. Joseph Selvam banyak merujuk kepada Chairil Anwar dan sajak-sajaknya ada mirip dengan Chairil Anwar. Saya juga menulis artikel perbandingan sajak Joseph Selvam dan Chairil Anwar.”

Menurut Krishanan Maniam, menjelang tahun 1980-an, tidak ada kesinambungan dalam usaha membawa masyarakat India mendekati serta berkecimpung dalam bidang penulisan Bahasa Malaysia.

“Hanya apabila Majlis Penulis Remaja [Minggu Penulis Remaja] yang dimulakan di DBP, dan juga Majlis Penulis Pelbagai Kaum di DBP, mereka menganjurkan banyak aktiviti untuk memupuk Sastera Melayu dalam kalangan penulis-penulis daripada masyarakat India.”

Penerangan susulan daripada beliau menimbulkan tanda tanya kerana katanya:

“Dalam masa itu, Uthaya Sankar SB, Saroja Theavy, Sridevi [Srivali?], dan juga Mahendran dan Prabhu [?] dan sebagainya menghadiri dalam Majlis Penulis Remaja [Minggu Penulis Remaja] dan mereka menghasilkan karya-karya mereka dalam peraduan Maybank-DBP [Hadiah Cerpen Maybank-DBP].”

Untuk rekod, antara nama penulis kaum India yang dinyatakan di atas, hanya saya menyertai program Minggu Penulis Remaja (baca di sini). Namun begitu, memang benar bahawa Saroja Theavy, Mahendran, Srivali, dan saya memenangi Hadiah Cerpen Maybank-DBP.

“Mereka menang dan ini menjadi satu lonjakan kepada mereka dan juga menjadi satu medan untuk menghasilkan karya-karya mereka. Tetapi yang itu [Hadiah Cerpen Maybank-DBP] pun sudah tidak ada lagi. Maka, mereka tidak ada ruang untuk melibatkan diri dalam penulisan sastera,” kata Krishanan Maniam lagi pada sesi bual bicara Suara dari Anjung: Tinta Sastera Menelusuri Ensiklopedia.

Tentulah kenyataan “mereka tidak ada ruang untuk melibatkan diri dalam penulisan sastera” tidak benar sama sekali. Sebagai pengasas Pertubuhan Sasterawan Kaum India (Kavyan), saya berani katakan dengan penuh autoriti bahawa para Sasterawan Kavyan tidak pernah semata-mata bergantung kepada pertandingan, peraduan, dan sayembara untuk terus melibatkan diri dalam bidang penulisan.

Disertasi kajian sarjana sastera saya yang diterbitkan dengan judul Kavya Sastra (2021) memuatkan segala maklumat dan data berkaitan perkara ini. Malah, Kavyan memiliki portal Sastera Kavyan yang menyiarkan karya seperti puisi, cerpen, rencana, ulasan, dan catatan pengalaman.

Antologi Vanakam (2002), Busana Bahasa (2019), Landasan Hidup (2020), Peluru Aksara (2020), Lakaran Diri (2022), dan Seruling Malam (2024) menjadi bukti komitmen serta sumbangan Sasterawan Kavyan kepada perkembangan Sastera Kebangsaan. [Baca Bahagian 2]

7 Sept 2025

Taiping, 12-16 September 2025


 

Saya akan berada di Taiping, Perak pada 12-16 September 2025. Ada beberapa slot untuk bertemu sesiapa yang mahu bersarapan, minum petang, atau makan malam sambil berbual-bual. 

Tarikh

Masa

Aktiviti

12 Sept 2025 (Jumaat)

7:00 am

Shah Alam ke Taiping

 

12:00 pm

Makan tengah hari

(Datuk Murugan Alimuthu)

3:00 pm

Berehat di hotel

Kemas kini media sosial

5:30 pm

Minum petang

(Sri Bala dan anaknya)

7:00 pm

Raintown Film Festival

11:30 pm

Tidur

13 Sept 2025 (Sabtu)

9:00 am

Sarapan

 

10:00 am

Raintown Film Festival

7:30 pm

Makan malam

(Shuresh Latchumana)

9:30 pm

Menulis

14 Sept 2025 (Ahad)

9:00 am

Lorong B, Aulong Lama

 

12:30 pm

Raintown Film Festival

7:30 pm

Makan malam

9:30 pm

Menulis

15 Sept 2025 (Isnin)

9:00 am

Sarapan

(Loganathan Veloo)

 

11:00 am

Kamunting

4:00 pm

Kuil Krishnar, Taiping

11:30 pm

Tidur

16 Sept 2025 (Selasa)

8:30 am

Taiping ke Shah Alam

Hubungi saya menerusi WhatsApp 011-11411952 dengan segera.

2 Sept 2025

Retrospektif “Nayagi” Selepas 33 Tahun



“Bagi Madhavi, sejak datuknya, Kumara Kurunadhar datang ke sini dari Kerala sebagai ‘krani’ dahulu dan terlibat sama dalam pembangunan ekonomi Malaya, sejak itulah tanah ini menjadi tanah tumpah darahnya.

“Atas dasar itulah juga Vijay Kumar turut bergiat bersama-sama penduduk lain untuk membebaskan negara ini daripada belenggu penjajah. Cita-cita Vijay Kumar adalah agar MCA, MIC dan UMNO bersatu, bekerjasama dan seiring menuntut kemerdekaan.”

Demikian petikan daripada cerpen “Nayagi” yang saya tulis pada Februari 1992 iaitu pada usia 20 tahun. Cerpen ini menggunakan latar masa sekitar Ogos 1950 dan digambarkan berlaku di sebuah kampung kecil bernama Siru Kambam di Taiping, Perak.

Apabila siap ditaip kemas menggunakan mesin taip Olivetti Lettera 32, manuskrip dikirim ke majalah Dewan Siswa melalui pos tetapi tidak tersiar.

Mungkin tema dan muatan cerpen “Nayagi” terlalu berat bagi sebuah majalah remaja kerana mengangkat soal perjuangan hak wanita, semangat patriotik kaum India terhadap Tanah Melayu serta perjuangan menuntut kemerdekaan negara.

Pada masa itu, saya mendapat tahu tentang pertandingan cerpen anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP). Lalu, manuskrip sama dihantar tanpa sebarang perubahan.

Memang membanggakan apabila cerpen “Nayagi” menang tempat pertama Hadiah Cerpen Maybank-DBP 1992, lalu dimuatkan dalam antologi Menara 5 (1993).

Cerpen itu turut dimasukkan dalam buku persendirian saya iaitu Siru Kambam (1996), Yang Aneh-aneh (1997), Nayagi (2000) dan Kisah dari Siru Kambam (2013).

Maklum balas yang diterima daripada tokoh seperti Sasterawan Negara Datuk Dr. Anwar Ridhwan dan Datuk A. Samad Said serta Allayarham Dr. Othman Puteh amat mengujakan. Mereka kagum dengan muatan cerita yang segar, baharu dan asli.

Menerusi rencana bertajuk “Malayali dalam Cerpen Tamil” (Utusan Malaysia, 24 Jun 2023), dihuraikan hakikat watak dan budaya komuniti Malayali dan Telugu hampir tiada dalam cerpen dan novel Tamil tempatan.

Malah, karya sastera kebangsaan oleh penulis kaum India yang terdiri daripada keturunan Tamil, Malayali, Punjabi, dan Telugu juga rata-rata hanya memperkatakan watak, isu, dan budaya komuniti Tamil dalam fiksyen yang dihasilkan sejak 1970-an. Perkara ini diperincikan dalam buku Kavya Sastra (2021).

“Saya sebenarnya sudah jemu, malah mual, membaca cerpen-cerpen yang menampilkan watak stereotaip kaum India yang digambarkan masih tertumpu setia terhadap negara asal nenek moyang,” saya nyatakan pada bahagian prakata buku Siru Kambam (1996).

Lalu, saya ketengahkan citra baharu kaum India yang berbangga menjadi warga Tanah Melayu jauh sebelum negara ini merdeka. Saya libatkan mereka bersama-sama penduduk kaum lain dalam perjuangan menuntut kemerdekaan. Malah, dikaitkan dengan perjuangan menuntut hak wanita dalam menentukan masa depan.



Cerpen “Nayagi” diterjemah kepada bahasa Tamil oleh seorang penulis Tamil tempatan, mendiang M. Balachandran untuk siaran dalam dua bahagian di akhbar Shanti (4 dan 11 September 1994).

Cerpen itu juga kemudian kami sama-sama olah menjadi skrip drama radio dan disiarkan di stesen Radio Enam (MinnalFM). Memang cerpen dan drama radio itu menjadi sesuatu yang baharu bagi khalayak kaum India kerana mengangkat watak, keluarga, dan budaya Malayali. Malah, menggambarkan latar ladang tebu dan bukannya ladang getah.

Versi terjemahan bahasa Inggeris pula diusahakan oleh bekas pensyarah Universiti Sains Malaysia (USM), Dr. Lalita Sinha dengan judul “Nayagi, Mistress of Destiny” atas permintaan Sasterawan Negara Dr. Muhammad Haji Salleh.

Cerpen itu dimuatkan dalam antologi Sea of Rainbows (2009) tetapi saya dan Lalita memang kurang berpuas hati dengan kualiti terjemahan kerana dilakukan secara tergesa-gesa.

Maka, Lalita membuat terjemahan serba baharu untuk kumpulan cerpen The Painted Cat (2023). Seterusnya, versi baharu itu diangkat menjadi salah sebuah cerpen bagi subjek Literature in English peringkat Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) lalu dimuatkan dalam antologi Malaysian Mosaic (2025).

Perjalanan “Nayagi” dari tahun 1992 hingga 2025 amat menarik dan istimewa. Saya gembira kerana sebuah cerpen yang diilhamkan 33 tahun lalu masih relevan sehingga kini.

Vasudevan Letchumanan, seorang guru subjek Bahasa Inggeris dan Tamil dari Skudai, Johor mengaku sudah berulang kali membaca cerpen “Nayagi” yang tajuknya membawa makna “wirawati”.

“Ia umpama memainkan semula babak-babak sejarah 1940-an dan 1950-an, mengingatkan kisah pembunuhan Mahatma Gandhi, serta peristiwa sebelum kemerdekaan Indonesia dan Tanah Melayu,” katanya dalam mesej kepada saya pda 25 Ogos 2025.

Sai Vijay @ Vijay R. Pragash pula anak muda berumur 25 tahun dari Kajang, Selangor. Graduan seni reka visual dari Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara) ini turut tertarik dengan “Nayagi”.

Pemuda ini terlibat dalam pelbagai pameran lukisan sejak usia 15 tahun. Beliau sedang dalam proses menghasilkan enam lukisan berdasarkan petikan cerpen berkenaan untuk pameran solo pertama.

Acara Bicara Nayagi dan Pameran Solo Sai Vijay dijadualkan pada 27 September 2025 di Brickfields, Kuala Lumpur. Ia menggabungkan sesi membaca petikan cerpen dalam pelbagai bahasa, diskusi cerpen “Nayagi”, serta pelancaran pameran lukisan.

Saudara saya dari Kerala, India, Bibulal Sadasiva Panicker akan membacakan petikan cerpen dalam bahasa Malayalam, sesuai dengan watak-watak Malayali yang diketengahkan dalam cerpen.

Pengerusi Persatuan Penulis Berbilang Bahasa (PEN Malaysia), Mahi Ramakrishnan dan pengerusi Pertubuhan Sasterawan Kaum India (Kavyan), M. Mahendran sudah mengesahkan penyertaan.

Selain Vasudevan dari Johor, seorang lagi tenaga pengajar, Jeeva Kasthuri Anamalay dari Sungai Petani, Kedah juga akan datang khusus untuk mengambil bahagian.

Harapan saya agar cerpen “Nayagi” yang berusia lebih 30 tahun mendapat nafas baharu apabila dipersembahkan dalam pelbagai bentuk, bahasa, dan melibatkan peserta dari pelbagai generasi dan latar belakang.

[Rencana ini ditulis oleh Uthaya Sankar SB pada 26 Ogos 2025 dan disiarkan di Utusan Malaysia pada 30 Ogos 2025.]