27 Oct 2015

Modal Sosial dan Nari! Nari!

Usaha menerbitkan sendiri buku bagi bacaan kanak-kanak tidak sama dengan menerbitkan buku untuk dewasa atau umum.

Hal ini saya rasai menerusi pengalaman mengusahakan buku Nari! Nari! yang [bakal] terbit pada Oktober 2015.

Cabaran paling utama adalah memastikan lukisan atau ilustrasi mampu menarik perhatian pembaca kanak-kanak.

Pada masa sama, buku perlu ada kebolehan untuk turut mencuit perhatian pembaca remaja dan dewasa.

Tidak setakat itu, memandangkan saya menulis dalam Bahasa Malaysia, maka kumpulan cerita rakyat India yang dihasilkan perlu sesuai untuk bacaan khalayak pelbagai kaum, agama, etnik dan budaya di Malaysia.

Sejak beberapa tahun lalu, saya berusaha mengenal pasti individu yang boleh membantu saya menghasilkan ilustrasi yang memenuhi kehendak saya.

Beberapa individu menunjukkan minat, tetapi akibat kekangan masa dan kesibukan kerja, saya terpaksa melepaskan mereka.

Akhirnya, hasil perbincangan dengan Encik Koh Yok Hwa, pengarah urusan Gemilang Publishing Sdn Bhd, penyelesaian terbaik berjaya ditemui.

Salah seorang kakitangan beliau, Teh Hun Yi diberikan tanggungjawab menghasilkan ilustrasi.

Penantian saya selama hampir lima tahun akhirnya berbaloi. Pengajaran yang diperolehi adalah seorang penulis yang mahu menerbitkan sendiri buku cerita kanak-kanak perlu banyak bersabar.

Satu lagi masalah yang dihadapi adalah dari segi kewangan. Sebagai seorang penulis sepenuh masa, saya bergantung sepenuhnya pada hasil penulisan dan pengendalian bengkel penulisan.

Dalam keadaan tiada wang untuk menampung kos mencetak buku, ada dua pilihan.

Sama ada membatalkan cadangan menerbitkan buku ini, atau mendapatkan sumbangan bagi menjayakan impian menerbitkannya.

Saya memilih untuk mendapatkan sumbangan, tetapi bukan dalam bentuk “derma” yang tidak dilketahui sumbernya.

Konsep “modal sosial” (social capital) menjadi pilihan sejak menerbitkan novel Panchayat: Edisi Khas (2012).


Meletakkan keyakinan pada “kuasa” orang ramai

Menerusi cara itu, orang ramai yang berminat akan membuat tempahan awal berbayar.

Hasil sumbangan itu digunakan untuk menampung sebahagian kos mencetak buku.

Memandangkan sayalah penulis, penerbit dan pengedar buku-buku ini, maka saya melupakan soal royalti, iaitu wang yang perlu dibayar kepada penulis.

Dalam usaha menerbitkan buku Nari! Nari! timbul pula persoalan baharu kerana sasaran utama pembaca buku ini adalah kanak-kanak dan remaja awal.

Golongan ini tidak memiliki kuasa membeli (buying power) dan bukan pembuat keputusan (decision maker).

Saya melakukan promosi bagi tempahan awal buku ini menggunakan Facebook, tetapi rakan-rakan saya di media sosial itu dihadkan kepada individu berumur minimum 18 tahun.

Jumlah rakan-rakan saya di Facebook juga dihadkan kepada sekitar 500 orang yang terpilih.

Maknanya, cabaran yang dihadapi oleh seorang individu yang mempunyai impian menerbitkan sendiri sebuah buku cerita kanak-kanak semakin bertambah.

Mujurlah saya meletakkan keyakinan terhadap rakan-rakan di Facebook, sahabat di alam nyata, serta saudara-mara yang mengenali saya.

Mereka tampil membantu menghulurkan sumbangan dalam bentuk tempahan awal berbayar. [Senarai Penyumbang]

Perlu diingat bahawa bukanlah sesuatu yang mudah dalam konteks negara kita untuk membuat pembayaran bagi suatu barangan yang belum muncul dalam bentuk fizikal.

Dalam hal ini, perkara yang perlu dipelajari rakan-rakan penulis yang mahu menerbitkan karya sendiri adalah aspek keyakinan orang ramai.

Sekiranya penulis mempunyai reputasi yang baik dalam kalangan pembaca dan masyarakat, maka urusan menjadi lebih mudah.

Mengikut perancangan, saya mahu mencetak 1,000 naskhah buku Nari! Nari! dan sehingga makalah ini ditulis (13 September 2015), sudah ada tempahan berbayar bagi 544 naskhah.

Tentu sahaja kejayaan ini merupakan bukti konsep “modal sosial” boleh digunakan sekiranya memenuhi pelbagai syarat yang diterangkan secara umum di atas.

Bukan sekadar terbitkan buku dan kaut untung

Pendekatan modal sosial menggabungkan “kuasa” yang ada pada setiap individu dalam masyarakat untuk melakukan apa yang mungkin tidak akan menjadi kenyataan sekiranya terpaksa bergantung kepada kuasawan, politikus, kerajaan dan kapitalis.

Saya lahir dalam keluarga kurang berada. Sejak kanak-kanak, saya amat gemar membaca buku cerita.

Malangnya, buku cerita adalah barangan mewah yang berada di luar kemampuan kami pada waktu itu.

Semasa menguruskan penerbitan buku Nari! Nari!, saya terkenang akan kanak-kanak yang mungkin tidak mampu memiliki buku ini.

Masalahnya, saya sendiri bergantung kepada sumbangan orang ramai untuk menerbitkan buku ini.

Bagaimana saya mahu membantu kanak-kanak daripada keluarga kurang berada untuk turut mampu memiliki dan membaca buku ini?

Suatu kempen mudah yang dipanggil Saya Mahu Nari! Nari! dimulakan. Dengan bantuan rakan-rakan, saya mengenal pasti beberapa kanak-kanak yang layak diberikan hadiah buku cerita ini.

Foto mereka dipaparkan di Facebook dan orang ramai dipelawa membuat tempahan buku sambil menyumbangkan senaskhah buku kepada kanak-kanak terbabit.

Sambutan yang diterima amat menggalakkan. Saya terharu kerana ramai yang tampil menyokong usaha ini.

Dalam masa beberapa hari, sekitar 35 kanak-kanak pelbagai kaum daripada keluarga kurang berada sudah dikenal pasti untuk menerima hadiah buku cerita.

Saya percaya “niat” amat penting apabila seseorang mahu melakukan sesuatu.

Bagi golongan penulis, sekiranya mahu menerbitkan buku sendiri dengan niat mahu menyajikan bahan bacaan bermutu kepada khalayak pelbagai kaum, maka segala urusan pasti menjadi mudah.

Perkara ini saya alami sendiri dalam proses menerbitkan buku sejak 2001. Oleh kerana saya bukan seorang kapitalis serta tiada sebarang niat mahu mengaut keuntungan, maka urusan saya sentiasa sahaja dipermudahkan. [Senarai Buku Di Sini]

Malah, seorang rakan, Kumaran Nagapa dari Batang Berjuntai, Kuala Selangor melahirkan keinginan mahu membeli Nari! Nari! untuk didermakan kepada 100 kanak-kanak di sekitar tempat tinggalnya.

Saya bersetuju menawarkan buku pada harga kos bagi membantu usaha murni ini. Apabila niatnya itu dikongsikan menerusi Facebook, sumbangan berjaya dikumpul untuk membeli 102 buku.

Perkongsian pengalaman ini bukanlah bertujuan bersikap riak atau mengangkat bakul sendiri. Sebaliknya untuk berkongsi panduan dengan rakan-rakan penulis yang bercadang menerbitkan buku sendiri.

[Makalah ini ditulis pada 13 September 2015 dan disiarkan di The Malaysian Insider pada 16 September 2015. BACA MAKLUMAT BERKAITAN DI SINI. © Uthaya Sankar SB 2015. Harap maklum bahawa anda membaca makalah ini serta segala kandungan mana-mana blog kendalian Uthaya Sankar SB atas pilihan sendiri.]