6 Mar 2015

Abang Long Selit Kasih pada Dadih dan Buku

Lima orang anak yang masih belajar di sekolah rendah dan menengah serta bergantung sepenuhnya kepada ibu bapa. Si isteri seorang suri rumah sepenuh masa manakala ketua keluarga terpaksa berhenti kerja di sebuah syarikat perkapalan pada tahun 2008.

Setiap kali salah seorang anak menyatakan keperluan mendapatkan wang bagi membeli barangan keperluan sekolah, Abang Long akan terasa sayu dan terdiam sambil meminta petunjuk daripada Allah.

Abang Long – atau nama sebenarnya Mohamad Feroz Mohammad Zaini – lahir di Singapura pada tahun 1968 tetapi membesar di Gunung Semanggol, Perak dan belajar sehingga Tingkatan 5 di Taiping.

Beliau yang menggunakan nama “Abang Long” di Facebook kini tinggal di Teluk Gadong Kecil, Klang, Selangor bersama-sama keluarga. Perniagaan dadih dimulakan secara kecil-kecilan pada tahun 2005 bagi menampung kos menyara keluarga.

Akan tetapi, berikutan masalah kesihatan, kini perniagaan dadih dan pengedaran buku menjadi sumber pendapatan utama. Berbekalkan semangat dan keyakinan bahawa rezeki halal ada di mana-mana, Abang Long menjadi peniaga kecil sepenuh masa.

Dadih berperisa jagung, strawberi, coklat dan pandan dibuat sendiri oleh isterinya di rumah. Proses pembuatan mengambil masa hampir empat jam. Apabila siap, dadih berkenaan diedarkan oleh Abang Long ke kedai-kedai berhampiran rumah.

Jualan juga dilakukan secara dalam talian (online) dengan memanfaatkan Facebook dan e-mel. Orang ramai yang berminat akan membuat tempahan menerusi mesej Facebook, e-mel atau SMS dan kemudian mendeposit wang ke akaun bank.

Selain daripada membeli untuk dimakan oleh keluarga sendiri, ramai juga yang membuat tempahan dalam jumlah besar bagi majlis hari jadi, jamuan perkahwinan dan majlis berbuka puasa.

Ramai juga yang membuat tempahan dan membuat bayaran, tetapi meminta dadih disedekahkan ke rumah anak-anak yatim di sekitar Klang, Pelabuhan Klang dan Shah Alam. Perkara ini berlaku khususnya pada bulan Ramadan.

Dadih akan dihantar sendiri oleh Abang Long yang menunggang motosikal. Saya pernah beberapa kali membuat tempahan dadih untuk acara di Rumah Kavyan iaitu tempat aktiviti Kumpulan Sasterawan Kavyan (Kavyan). Perkhidmatan yang diberikan memang bagus dan tepat pada masa.

Masalah Jantung Tidak Melunturkan Semangat

Abang Long disahkan menghidap suatu penyakit yang khabarnya hanya dikesan pada seorang dalam seribu orang. Pakar di Institut Jantung Negara (IJN) mengesahkan bahawa jantungnya sering berdegup lebih laju daripada kebiasaan.

Disebabkan masalah kesihatan ini, Abang Long perlu bersedia untuk bergegas ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang pada bila-bila masa jika degupan jantung mula bermasalah.

Atas sebab itulah beliau terpaksa menghadkan jarak penghantaran tempahan dadih. Akibatnya, jumlah tempahan yang diterima setiap hari juga tidak banyak kerana pengedaran tidak mampu dilakukan secara lebih meluas.

“Tempahan dadih paling banyak yang pernah saya terima adalah 300 bekas (cawan) iaitu pada bulan Ramadan. Pada waktu-waktu lain, purata tempahan hanyalah 50 bekas sehari. Malah, ada masanya tidak ada sebarang tempahan selama beberapa minggu,” katanya sambil masih mampu tersenyum.

Satu lagi sumber pendapatan Abang Long adalah menerusi pengedaran buku secara kecil-kecilan sejak tahun 2010. Usaha ini mendapat sokongan Kumpulan Media Karangkraf di Shah Alam yang merupakan syarikat penerbit Bumiputera terbesar di Malaysia.

“Saya berbincang dengan beberapa pegawai kanan di sana dan mereka memahami masalah kesihatan saya, lalu bersetuju menerima saya sebagai pengedar buku secara kecil-kecilan kerana saya tidak mampu menyediakan modal besar seperti syarikat pengedar besar.

“Sokongan dan peluang yang diberikan itu amat saya hargai kerana dapat membantu saya menampung kos menyara keluarga,” Abang Long yang gemar membaca menceritakan tanpa berselindung.

Saya sentiasa mengikuti perkembangan beliau menerusi Facebook dan memang kagum dengan semangat positif yang dimilikinya. Malah, semangat positif serta nilai kemanusiaan sentiasa pula dikongsikan dengan orang lain menerusi catatan harian di laman rangkaian sosial.

Abang Long bersyukur kerana berpeluang melakukan kerja-kerja pengedaran buku secara kecil-kecilan walaupun jumlah pendapatan tidaklah lumayan. Sebaliknya beliau puas hati kerana dapat sama-sama menyumbang ke arah memasyarakatkan budaya membaca dalam kalangan Bangsa Malaysia.

“Hasil (keuntungan) yang saya dapat tu, kalau nak dikatakan cukup-cukup makan pun tidak juga. Tapi sekurang-kurangnya bolehlah buat duit belanja anak-anak yang masih bersekolah,” katanya yang ternyata sentiasa bersyukur dan berfikiran positif.

Catatan Pengalaman Bakal Dibukukan

Sekiranya diperhatikan, Abang Long tidak sekadar mengedarkan buku secara lazim dan biasa-biasa. Bagi tempahan di sekitar Klang, Pelabuhan Klang dan Shah Alam, beliau akan pergi sendiri untuk menyerahkan buku itu tanpa mengenakan sebarang bayaran bagi kos penghantaran.

Manakala bagi tempahan dari luar kawasan (seluruh negara), buku dikirim menggunakan PosLaju bagi menjamin keselamatan. Buku juga boleh sampai dengan segera kepada pembeli.

“Ada 15 penulis yang saya kenal secara peribadi di sekitar Klang dan Shah Alam. Apabila ada orang menempah buku mereka, saya akan pergi bertemu para penulis berkenaan untuk mendapatkan tandatangan. Maka, pembeli dapat memiliki naskhah bertandatangan tanpa sebarang kos tambahan,” kata Abang Long yang juga seorang ulat buku.

Beliau mengakui bahawa tempahan bukannya diterima setiap hari. Namun begitu, beliau tetap bersyukur dan berterima kasih dengan sedikit rezeki halal yang diperoleh melalui jualan dadih dan pengedaran buku.

Selain daripada minat membaca, Abang Long juga ada bakat menulis. Hakikat ini saya perhatikan sendiri menerusi catatan harian beliau di Facebook. Malah, semasa kami bertemu di kafe Karangkraf pada 30 Januari 2015, beliau sedang tekun menyemak dan menyunting sebuah manuskrip.

“Saya menulis berdasarkan apa sahaja yang berlaku di sekeliling saya dan menyentuh hati saya. Kisah yang berlaku di depan mata atau saya dengar daripada orang lain akan diolah secara kreatif supaya sedap dibaca dan ada mesej positif.

“Alhamdulillah, manuskrip sulung ini sudah diluluskan oleh sebuah penerbitan dan saya sedang melakukan kerja-kerja memperkemaskan hasil tulisan saya. Saya harap mesej positif dan pengalaman peribadi yang saya kongsikan menerusi cerita-cerita dalam buku ini mendapat sambutan orang ramai,” katanya dengan penuh harapan.

Saya sempat membelek-belek manuskrip berkenaan (yang belum bertajuk) dan mendapati kisah-kisah yang termuat di dalamnya memang sangat mengujakan dan memberikan motivasi. Malah, penulisan yang datang dari hati membuatkan setiap kisah yang ditulis oleh Abang Long merentasi sempadan geografi, kaum, etnik dan agama.

Harus saya akui bahawa setiap kali berinteraksi dengan Abang Long – sama ada menerusi Facebook, telefon atau bersemuka – saya memperoleh aura positif yang dibawakannya secara semula jadi.

Semoga sedikit perkongsian kisah dirinya di sini, serta bukunya yang bakal terbit, mampu menyebarluaskan lagi aura positif Abang Long dalam kalangan masyarakat majmuk di negara bertuah ini.

[Makalah ini ditulis pada 1 Februari 2015 berdasarkan wawancara pada 30 Januari 2015 dan disiarkan di Kuala Lumpur Post pada 6 Februari 2015. © Uthaya Sankar SB 2015. Harap maklum bahawa anda membaca makalah ini serta segala kandungan mana-mana blog kendalian Uthaya Sankar SB atas pilihan sendiri.]