[Mana-mana pihak yang menyeru SJKT dimansuhkan perlu terlebih
dahulu tampil menyokong penulisan bahan berkaitan agama Hindu dalam Bahasa
Malaysia.]
Salah satu topik yang kembali dipolitikkan
puak tertentu sejak belakangan ini adalah supaya sekolah-sekolah jenis
kebangsaan Cina dan Tamil (SJKC dan SJKT) dimansuhkan.
Maknanya, kesemua sekolah di negara ini
akan menjadi sekolah kebangsaan (SK). Ingat: “kebangsaan” dan bukannya “Melayu”
seperti diimpikan puak fanatik, etrosentrik, ultra kiasu dan rasis tertentu.
Secara kebetulan, baru-baru ini saya
berbincang bersama-sama beberapa rakan mengenai penulisan karya berkaitan
budaya India dan agama Hindu dalam Bahasa Malaysia.
Nampaknya topik yang saya kemukakan itu akan menjadi lebih penting sekiranya
SJKT dimansuhkan dan semua kanak-kanak kaum India belajar di SK.
Kalau diperhatikan, sejak tahun 1970-an –
iaitu sejak istilah “Bahasa Malaysia” diperkenalkan dan
sistem pendidikan kebangsaan mula diberikan keutamaan ke arah pembinaan “Bangsa Malaysia” – ramai ibu bapa kaum
India (dan Cina) menghantar anak-anak ke SK.
Walaupun saya sering menulis dan
mengungkitkan pelbagai kepincangan yang nyata terdapat pada SJKT [BACA DI SINI], tidak bermakna saya mahu
sekolah berkenaan dimansuhkan. Sebaliknya, harapan saya adalah supaya segala
kelemahan yang wujud diatasi segera.
Tambahan pula, Barisan Nasional (BN) sudah memberikan
pelbagai “janji manis” bagi memelihara SJKT selagi gabungan parti-parti politik
berasaskan kaum itu terus menguasai Putrajaya.
Misalnya, dalam buku “Nambikei: Janji Ditepati”
(sebuah buku haram kerana tiada maklumat ISBN, penerbit, pencetak dan
sebagainya) dinyatakan bahawa “RM340 juta dibelanjakan oleh Kerajaan
Persekutuan dari 2009 hingga 2011 untuk pembangunan infrastruktur di lebih 250
sekolah Tamil di seluruh negara”.
Malah, BN juga berjanji bahawa tujuh lagi
SJKT akan dibina; menjadikan jumlahnya 530 buah. SJKT baru yang dimaksudkan
dalam “janji BN” adalah di Lunas, Sungai Petani, Sungai Siput, Petaling Jaya,
Klang, Cheras dan Masai.
Bagaimanapun, memandangkan ada “puak” yang
lebih berkuasa daripada BN dalam menentukan senario politik, sosial, ekonomi,
budaya dan pendidikan negara, kita andaikan sahaja bahawa kesemua SJKT berjaya
dimansuhkan sepenuhnya. (Nota: Usah bermimpi mahu menghapuskan SJKC!)
Pada waktu itu, tentulah Bahasa Malaysia
akan menjadi bahasa utama generasi muda kaum India; khususnya secara bertulis
dan membaca. Bahasa Tamil akan menjadi bahasa kedua
atau ketiga dalam andaian melampau (extreme
assumption) ini. Maknanya, pengetahuan budaya India dan agama Hindu (atau
Kristian) paling berkesan jika disampaikan kepada mereka menggunakan Bahasa
Malaysia.
Saya amat bersetuju! Malah, pada masa
sekarang, rata-rata rakyat Malaysia daripada kalangan kaum India beragama Hindu
berumur 50 tahun dan ke bawah menguasai Bahasa Malaysia (selain bahasa ibunda
dan bahasa-bahasa lain). Maka, apa salahnya jika bahan bacaan berkaitan agama
Hindu (termasuk buku cerita, majalah dan komik) diterbitkan dalam Bahasa
Malaysia.
Kalimah Allah dalam Bible jadi pengajaran?
Usah kita lupa bahawa hak mendalami agama
masing-masing dilindungi Perlembagaan Persekutuan. Bahasa Malaysia pula adalah
bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi negara ini. Lalu, bukanlah sesuatu yang
pelik atau menimbulkan kemusykilan jika bahan-bahan berkaitan agama Hindu bagi
bacaan penganut agama Hindu diterbitkan dalam bahasa kebangsaan.
“Pada pandangan saya, adalah tidak wajar
bahan berkaitan agama Hindu diterbitkan dalam Bahasa Malaysia. Saya tidak mahu
melihat boleh atau tidaknya ia dilakukan dari aspek Perlembagaan, tetapi dari
aspek sensitiviti umat Islam yang membentuk majoriti penduduk di negara ini,”
kata Haizir Othman dari Klang,
Selangor.
Pegawai perpustakaan yang berasal dari
Jasin, Melaka itu berpendirian bahawa umat Islam pasti akan tersinggung. Beliau
mengemukakan isu penggunaan kalimah “Allah” dalam Bible sebagai contoh yang disifatkannya “boleh merencatkan
keharmonian antara kaum dan agama di Malaysia”.
“Di Malaysia, orang Melayu sudah amat sinonim dengan
agama Islam. Ia suatu status quo yang
bagi saya, tidak perlu diubah. Maka, jika Bahasa Malaysia (bahasa Melayu)
digunakan dalam penerbitan bahan bacaan berkaitan agama Hindu, saya risau
sensitiviti agama Islam akan terkait sama.
“Puak ekstrim ada di mana-mana. Mereka
mungkin akan menggunakan peluang ini untuk memulakan sengketa. Pada pandangan
dan permintaan saya, usahlah bahan berkaitan agama Hindu diterbitkan dalam
Bahasa Malaysia kerana mudaratnya lebih banyak daripada manfaat,” kata pemuda
berumur 33 tahun itu.
Seorang calon ijazah kedoktoran di Institut
Perbankan dan Kewangan Islam, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM)
turut berkongsi pandangan secara ikhlas berhubung topik ini yang memang boleh
dianggap sensitif sekiranya tidak ditangani secara profesional.
“Salah satu ‘hindsight’ berikutan isu penggunaan kalimah ‘Allah’ dalam Bible adalah kemunculan golongan Muslim
yang sederhana (moderate) dalam sudut
pandangan (worldview) mereka. Saya
merupakan salah seorang daripada mereka,” akui Mohd Zaidi Md Zabri yang lahir di Ipoh, Perak.
Pemuda berumur 30 tahun ini tidak menolak
realiti golongan “religious bigot”
(ekstrimis agama) hadir dalam kebanyakan agama.
“Saya hampir 100 peratus yakin bahawa
jikalau bahan-bahan berkaitan agama Hindu ditulis dalam Bahasa Malaysia untuk
bacaan penganut agama Hindu di Malaysia, golongan yang saya sebutkan tadi bakal
gelisah bak cacing yang kepanasan. Apa-apa pun, teruskan sahaja usaha itu,”
kata Mohd Zaidi.
Memandangkan Bahasa Malaysia adalah bahasa
rasmi dan lingua franca negara, Nagathisen Katahenggam tertanya-tanya
apakah rasional bagi mana-mana pihak melarang penerbitan bahan-bahan berkaitan
agama Hindu dalam Bahasa Malaysia untuk bacaan penganut agama berkenaan.
“Bukankah kita sering diseru supaya
bertutur dalam Bahasa Malaysia? Masyarakat majoriti juga selalu mengkritik
golongan minoriti jika kurang menggunakan bahasa kebangsaan. Lalu, kenapa perlu
memprotes usaha memperluaskan penggunaan bahasa kebangsaan dalam kalangan minoriti
beragama Hindu?” Demikian pertanyaan penjawat awam berumur 31 tahun ini.
Nagathisen dari Jelutung, Pulau Pinang juga
mengingatkan bahawa Bahasa Malaysia menjadi bahasa komunikasi bagi pelbagai
lapisan masyarakat dalam kalangan kaum India; sama ada berpendidikan tinggi
atau kurang berpendidikan.
Penting bagi pupuk kesedaran, atasi masalah sosial
“Sekiranya ada bahan berkaitan agama Hindu
dalam Bahasa Malaysia, maka sedikit-sebanyak dapat digunakan untuk mendidik
kaum India beragama Hindu; sekali gus menjadi medium menyelesaikan masalah
sosial yang sering dikaitkan dengan golongan tidak berpendidikan tinggi.
“Kalau ada pihak yang terlalu bimbang, maka
satu kompromi yang dapat dilakukan adalah dengan mencetak frasa UNTUK BUKAN
MUSLIM SAHAJA pada kulit buku atau majalah terbabit,” katanya.
Berbalik kepada kebimbangan yang diluahkan
secara ikhlas oleh Haizir, Navanitha @
Nitha Nairu dari Menglembu, Perak cuba memberikan penjelasan agar tidak
timbul sebarang kekeliruan.
“Bagi saya, penerbitan yang dimaksudkan
adalah untuk memupuk kesedaran dalam jiwa remaja/belia beragama Hindu. Harus
dinyatakan bahawa perkara ini tiada apa-apa kaitan dengan penganut agama Islam;
atau usaha menyebarkan agama Hindu kepada penduduk
Muslim.
“Cadangan penerbitan bahan berkaitan budaya
kaum India dan agama Hindu dalam Bahasa Malaysia tidak sepatutnya dijadikan
isu. Tambahan pula, jika pegangan agama dan keimanan seseorang adalah tinggi,
tidak timbul soal penganut Islam akan tertarik untuk membaca bahan-bahan agama
Hindu ini; apatah lagi meninggalkan agama asal,” juruteknologi makmal perubatan
yang berasal dari Kangar, Perlis itu mengingatkan.
Turut berkongsi pandangan dalam isu ini
ialah R Balamurali (Vehl Murali),
peguam berumur 29 tahun yang berasal dari Pahang dan kini tinggal di Sungai
Buloh, Selangor.
“Saya mengikuti isu berkaitan penggunaan
kalimah ‘Allah’ dalam Bible. Memang
ada anggota masyarakat yang mengeluarkan pandangan yang tidak berasas kerana
hanya mendapatkan maklumat dari media arus perdana tertentu yang sudah tercalar
kredibilitinya.
“Agak malang bahawa di negara ini, sentiasa
ada golongan yang cuba memanipulasi isu-isu berkaitan agama demi kepentingan
politik dan diri. Mujurlah majoriti umat Islam tidak termasuk dalam kategori
sedemikian; sebaliknya melibatkan kumpulan kecil sahaja. Umpama nila setitik,”
Balamurali menghuraikan.
Peguam muda itu juga perpendapat bahawa
kebimbangan yang diluahkan secara ikhlas oleh orang-orang seperti Haizir
mungkin disebabkan kurangnya akses maklumat dan pencerahan minda berkaitan isu
sebenar berhubung topik penerbitan bahan bacaan agama Hindu dalam Bahasa
Malaysia.
“Saya berpendapat bahawa kebimbangan
seumpama itu adalah tidak berasas. Lebih-lebih lagi, maklumat mengenai agama
Hindu yang mahu ditulis menggunakan Bahasa Malaysia adalah berbentuk ilmu,
ilmiah dan pengetahuan sahaja. Bukan sebagai bahan memujuk orang lain memeluk
agama Hindu,” katanya.
Hasil daripada pengalaman saya sendiri,
ramai juga orang “Bukan Kaum India” dan “Bukan Hindu” berminat membaca
bahan-bahan berkaitan budaya kaum India dan agama Hindu yang saya tulis dalam
bentuk fiksyen (cerpen, novel, cerita bersiri) dan non-fiksyen (makalah, kertas
kerja) menggunakan Bahasa Malaysia sejak tahun 1992.
Tidak seorang pun daripada mereka yang
meninggalkan agama asal selepas membaca bahan-bahan berkenaan. Sebaliknya,
mereka berupaya lebih mengenali, memahami, menghormati dan bersifat empati
terhadap rakan-rakan kaum India beragama Hindu. – Baca juga makalah bertajuk “Bahasa Malaysia dan Agama Hindu”
[Makalah
ini ditulis pada 13 Mei 2013 dan disiarkan di Free Malaysia Today pada 14 Mei 2013. © Uthaya Sankar SB
2013. Harap maklum bahawa anda membaca
makalah ini serta segala kandungan di Blog Uthaya Sankar SB atas pilihan sendiri.]