10 Sept 2012

Takmilah dalam Novel Melayu

Kamariah Kamarudin sedikit teragak-agak sewaktu mahu menghadiahkan senaskhah buku kajian ilmiah berjudul Takmilah dalam Novel Melayu (2011) kepada saya.

Kami bertemu di rumah Timah Baba (isteri Allayarham Dr Othman Puteh) pada petang 7 Jun 2012 setelah sekian lama tidak berpeluang untuk bertemu dan berkongsi cerita.

Di pihak saya pula, saya amat gembira menerima hadiah berupa buku daripada rakan penulis yang sebelum ini menghasilkan novel-novel seperti Takdir Bukan Hukuman (1992), Tiada Noktah Kasih (1996) dan Kau yang Kusayang (2004) serta kumpulan cerpen Mencari Kamil (2008).

Buku ilmiah Takmilah dalam Novel Melayu adalah kajian peringkat kedoktoran yang dilakukan Kamariah secara mendalam dan menyeluruh dengan mengaplikasikan Teori Takmilah bertunjangkan Islam yang dipelopori Dr Shafie Abu Bakar.

Kamariah juga menggunakan Teori Takmilah dalam kajian ilmiah peringkat ijazah sarjana sewaktu kami sama-sama meneruskan pengajian di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada 1998.

Walaupun buku ini adalah berdasarkan sebuah kajian ilmiah peringkat kedoktoran, ia masih amat komunikatif dan “mesra pembaca”. Seorang individu “Bukan Islam” seperti saya juga tidak menghadapi masalah untuk memahami pelbagai perkara berkaitan Islam yang diperkatakan oleh pengarang dengan bahasa yang mudah.

Kita sering mendengar mengenai penganjuran pertandingan menulis novel/cerpen berunsur Islam tetapi apakah sebenarnya yang dimaksudkan dengan “berunsur Islam”? Sering kali karya “berunsur Islam” akan berbentuk dakwah yang kurang mempunyai nilai seni dan sastera; serta kurang “mesra” dengan pembaca Bukan Islam.

Penelitian terhadap buku Takmilah dalam Novel Melayu mampu memberikan penjelasan sebenar kepada “penulis karya berunsur Islam” mengenai apa sebenarnya yang dimaksudkan dengan karya seumpama itu.

Dalam bab pertama, Kamariah menghuraikan secara amat terperinci mengenai konsep Sastera Islam dan fenomenanya di Malaysia. Penjelasan mengenai pandangan/karya Imam al-Ghazali, Sayyid Quth dan Ismail Raj’i Al-Faruqi pasti membantu pemahaman pembaca terhadap pelbagai aspek penghasilan karya berunsur Islam.

Bab kedua pula menerangkan apa sebenarnya Teori Takmilah; khususnya sejarah, prinsip, hubungan dengan sastera, inderawi, akli dan rohani.

Seterusnya, Kamariah memperkatakan konsep akidah dan ibadah dalam bab ketiga. Dalam menghuraikan konsep-konsep berkenaan, beliau memberikan contoh daripada sejumlah novel yang dijadikan teks kajian.

Walaupun pada dasarnya Takmilah dalam Novel Melayu adalah sebuah buku kajian ilmiah, ia masih amat sesuai dibaca oleh khalayak umum yang mahu mengetahui secara mendalam apa sebenarnya yang dimaksudkan dengan “karya berunsur Islam”.

Malah, selepas membaca buku ini, orang ramai akan berpeluang mengaplikasikannya pula sewaktu membaca karya-karya lain; khususnya cerpen dan novel yang dihasilkan penulis beragama Islam di negara ini.

Menerusi pembacaan bab keempat buku ini, saya lebih memahami konsep sebenar khalifah, dakwah dan jihad, serta ciri-ciri kamil dan rabbani yang sepatutnya hadir secara penuh seni dalam karya-karya berunsur Islam.

Agak menarik juga untuk diperhatikan bahawa dakwah dalam Islam terbahagi kepada dakwah terhadap orang Islam, terhadap ahli keluarga dan terhadap masyarakat luar; sebelum memikirkan soal dakwah terhadap orang “Bukan Islam”.

Begitu juga konsep jihad yang terbahagi pula kepada jihad nafsu (jihad besar), jihad nafsu dengan diri sendiri, jihad nafsu dengan lelaki/wanita, jihad lahiri (jihad kecil), jihad dengan hati, jihad dengan lisan/kalam, jihad dengan taklim, jihad dengan harta/wang dan jihad dengan nyawa.

Maka, buku setebal 672 halaman ini tidak sekadar membantu khalayak lebih memahami karya sastera berunsur Islam. Lebih daripada itu, Takmilah dalam Novel Melayu amat sesuai dijadikan bahan bacaan ke arah menjayakan proses dakwah terhadap orang Islam sendiri.

Maka, sekiranya anda sedang memikirkan “hadiah” yang sesuai diberi kepada ahli keluarga sempena ketibaan Ramadan, buku Takmilah dalam Novel Melayu terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) adalah serampang dua mata yang amat bertepatan.

(Uthaya Sankar SB pernah menjadi kolumnis ruangan sastera di majalah Dakwah terbitan Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia. Ulasan buku ini ditulis pada 26 Jun 2012 dan disiarkan di The Malaysian Insider pada 30 Jun 2012. Sila KLIK DI SINI untuk maklumat lanjut mengenai ruangan ulasan buku.)