9 Sept 2012

Penulis Malaysia – 9

Sasterawan Negara Datuk Dr Anwar Ridhwan pernah menjadi Penasihat Kehormat Kumpulan Sasterawan Kavyan (Kavyan) pada 2003 selepas Dr Othman Puteh meninggal dunia. Bagaimanapun, wartawan akhbar Berita Harian, Salbiah Ani melaporkan pada 12 Julai 2007 bahawa “Dr Anwar membuat keputusan mengundur diri sebagai Penasihat Kavyan berkuat kuasa serta-merta kerana terkejut dengan kandungan sajak yang ditulis Presiden Kavyan, Uthaya Sankar SB.” Namun begitu, Dekan Fakulti Penulisan Aswara itu masih bersikap profesional dan tidak pula berpatah arang dengan Kavyan berikutan hasutan yang dilakukan puak anti-Kavyan. Malah, bagi acara “Jom Kenali Sasterawan Negara Anwar Ridhwan” pada 24 Mac 2010, saya diundang sebagai moderator.  Beliau turut mengundang saya ke “Seminar Sastera Pelbagai Kaum” di Aswara pada 6 & 7 September 2012. Dr Anwar pernah menjadi profesor pelawat di Tokyo University of Foreign Studies (1997-2000). Sebelum bertolak ke Jepun, beliau memanggil saya ke pejabatnya di DBP dan menasihatkan saya supaya mengekalkan gaya penulisan dan jati diri agar dapat terus menyerlah sebagai seorang pengarang penting tanah air. Walaupun menang pelbagai anugerah serta karya beliau diterjemah ke pelbagai bahasa antarabangsa, sasterawan kelahiran Sungai Besar, Selangor ini tetap merendah diri dan pertuturannya penuh santun. Itu adalah salah satu ciri istimewa Dr Anwar yang menjadi sebutan ramai. Selamat Menyambut Hari Malaysia!