8 Aug 2012

Chellam – Bahagian 2

6 MEI 2012 – Chellam ketawa memikirkan semua kisah silam yang berlaku lama dulu. Anak-anaknya masih menangis kelaparan dan dia pula ketawa. Dia mengetawakan diri sendiri.

Dia mengenangkan kebodohannya pada masa lalu. Dia telah bertekad mahu mengubah sikap suaminya tetapi tidak berjaya. Dia gagal.

Hari berganti hari dan tahun berganti tahun. Selvam dan Chellam sudah ada dua anak perempuan. Akan tetapi, sikap Selvam masih tidak berubah.

Malah, Selvam tidak bekerja. Dia terlalu asyik menghisap dadah dan minum arak.

Chellam pula terpaksa bekerja keras untuk mencari wang. Dia perlukan wang untuk membeli susu tepung. Walaupun dia mengandung, dia masih perlu bekerja keras. Dia memang penat dan sakit tetapi apa yang boleh dibuat?

Pada masa itu, Chellam dan Selvam tinggal di rumah emak Selvam. Emak Selvam memang tidak suka akan Chellam. Jadi, dia selalu memaki Chellam. Apa sahaja yang dia buat, mesti salah.

Chellam juga dipukul dan dimarahi oleh emak mentua. Dia sangat sedih. Tetapi dia tidak boleh mengadu kepada sesiapa. Chellam telah lari dari rumah dan berkahwin dengan Selvam. Jadi, dia tidak ada sesiapa untuk mengadu.

Suaminya pula seorang yang tidak bertanggungjawab. Dia tidak kisah tentang isteri dan anak-anak. Apa yang penting bagi Selvam adalah dadah dan arak. Dia juga mahu Chellam melayaninya dengan mesra pada setiap malam.

“Mengapa nasibku begini malang? Apakah dosaku? Adakah ini balasan kerana aku lari dari rumah? Kenapa cinta kelihatan indah tetapi sebenarnya membawa penderitaan?” Demikian Chellam selalu bertanya pada diri sendiri sambil menangis.

Penderaan oleh emak mentua menjadi lebih teruk semasa Chellam mengandung anak keempat.

“Tak guna! Tahu lahirkan anak saja. Semuanya anak perempuan pula. Memang anak perempuan tak guna,” wanita tua itu memarahi Chellam.

“Awak semua membazir wang saya saja. Kalau awak semua terus tinggal di rumah ini, saya akan menjadi miskin. Saya terpaksa meminta sedekah di jalan raya,” katanya lagi.

Oleh kerana tidak tahan dengan makian dan penderaan emak mentua, Chellam menasihatkan Selvam supaya mereka keluar dari rumah itu.

Akan tetapi, sebelum mereka sempat mencari rumah baru, emak Selvam menghalau mereka keluar.

Tangisan anak-anak mengejutkan Chellam daripada lamunan. Dia mengesat pipi yang basah. Dia tahu bahawa anak-anaknya lapar. Dia tidak boleh membiarkan mereka terus menangis.

Chellam keluar dari rumah. Dia pergi ke longkang yang kotor di tepi rumah. Ada kangkung liar di sana. Chellam memetik kangkung itu. Dia membersihkan sayur berkenaan dan memasaknya.

Hanya kangkung itulah yang menjadi makanan mereka anak-beranak pada hari itu. Tapi untuk berapa hari lagi anak-anaknya boleh makan kangkung sahaja?

Kisah perjuangan Chellam dan anak-anaknya belum berakhir. Sampai bilakah perderitaan mereka akan berterusan? – Bersambung

(Uthaya Sankar SB menulis cerita ini berdasarkan kisah benar. Nama-nama watak ditukar atas permintaan individu terbabit. © Uthaya Sankar SB. Disiarkan di The Malaysian Insider pada 6 Mei 2012.)