10 Jun 2012

Bersih 3.0 dan Interlok – Bahagian 1

Sesungguhnya Bersih 3.0 membantu saya membersihkan akaun Facebook daripada dicemari pendukung fahaman politik perkauman dan pencetus perpecahan dalam kalangan rakyat Malaysia.

Seperti yang kita sedia maklum, “demokrasi” adalah pemerintahan negara oleh rakyat. Maka, kerajaan sepatutnya berterima kasih dan terhutang budi kepada rakyat yang memberikannya peluang untuk mentadbir negara milik rakyat.

Peluang mentadbir negara pula dilakukan melalui proses pilihan raya. Sebagai seorang rakyat yang layak untuk mengundi, saya mengharapkan dan menuntut hak terhadap proses pilihan raya yang bersih, bebas dan adil.

Memanglah saya tidak terlibat secara langsung dengan cara menyertai perhimpunan Bersih 3.0 pada 28 April 2012 tetapi saya mengikuti perkembangannya menerusi laman rangkaian sosial.

Saya seperti ribuan rakan-rakan lain menyokong tuntutan ke arah memastikan proses pilihan raya yang adil, bebas dan bersih. Namun, ternyata ada pihak yang menentang permintaan seperti itu. Mungkin juga mereka mahukan pilihan raya yang kotor dan penuh tipu-helah.

Ada beberapa individu yang ternyata langsung tidak faham apa itu “Bersih 3.0” serta apa yang dituntut rakyat. Hal ini amat nyata menerusi paparan pada ruangan status serta komen yang mereka tulis di Facebook.

Bagus juga begitu kerana mereka secara langsung mendedahkan kebodohan mereka; sekali gus memudahkan usaha saya “membersihkan” senarai rakan-rakan di Facebook.

Misalnya, Umar Uzair yang ternyata tidak menghadiri Bersih 3.0 mencatatkan begini:

“Lima sepuluh atau seratus ribu,
Si Kuning bukan duduk bantah tapi setuju,
Pada hilai tawa Ambiga dan seteru,
Tentang citanya hapuskan Islam dan Melayu,
Kasihan Tuan di tanah negaraku!
Batil dan zahir sudah dikelam abu..”

Harus saya nyatakan bahawa semua petikan yang saya jadikan contoh di sini dipaparkan sebagai “public” (umum) pada Facebook. Maka, tidak timbul soal saya “mencuri” maklumat peribadi (“private”).

Dalam contoh kata-kata di atas, Umar ternyata memfitnah para peserta Bersih 3.0 sebagai “bersetuju dengan cita-cita Datuk Ambiga dan pasukannya menghapuskan agama Islam dan kaum Melayu di negara ini”.

Bagaikan benar-benar berada di Dataran Merdeka semasa perhimpunan itu berlangsung, pemuda berkenaan yang menggelarkan dirinya “penulis novel, cerpen, puisi moden, pendeklamasi, penyanyi, pereka grafik” turut menulis begini:

“Dataran bermandi nanah,
Merdeka diludah ludah,
Bangsaku berdarah,
Pak Samad sama dijajah,
Hatiku luluh, punah!”

Maka, saya keluarkan Umar daripada senarai rakan di Facebook dengan turut memaklumkan tindakan saya kepada pemuda itu. Sejurus selepas itu, terpapar pada dindingnya:

“Ada pucuk pimpin BERSIH yang sudah membuang saya dari Fbnya kerana sinikal cakap saya. Aneh, katanya berhati batu duduk himpun terbuka di kuala pertahan kubu!”

Wah! Tiba-tiba sahaja saya menjadi “pucuk pimpin Bersih” semata-mata kerana membuang kelompok yang bersikap perkauman dan menghina Datuk A. Samad Said (Pak Samad).

Seorang lagi individu yang terpaksa saya keluarkan daripada senarai rakan di Facebook ialah pemuda bernama Faiz Hussamuddin.

Dia mencadangkan “Lucut kerakyatan S. Ambiga, Anwar Ibrahim, semua ahli DAP”. Faiz turut menambah, “Tak lupa Pak Samad. Lucut kerakyatan dia juga”. Rakannya pula segera “setuju setuju setuju”.

Tidak cukup dengan itu, Faiz turut mendakwa begini: “Bodoh punya Bersih. Orang Cina yang banyak menyokong Bersih sila jangan menyebarkan cerita Bersih anda dalam Bahasa Cina. Nampak sangat rasis. Nak kutuk polis je kerja. Nak kuasa ka?”

Seorang rakannya pula menambah: “Ambiga enterprise bro.. Minachi tu, saja buat kecoh. Dia ada business lain. Kelab gay dah ada tauke bersih dia”.

Orang seperti itu juga tentu sahaja tidak layak untuk kekal dalam senarai rakan-rakan saya di Facebook. Secara kebetulan, Umar dan Faiz adalah bekas pelajar di sebuah kolej swasta di mana saya pernah menjadi pensyarah dahulu.

Mumtaz Aini Alivi yang saya kenali semasa di RTM (1996-2010) pula membuat kenyataan umum (public) menerusi Facebook: “Entah kenapalah mereka ni ‘terlebih bijak’, nak kata bingai tak jugak” serta “kesimpulan: BERSIH=BODOH”.

Beberapa rakannya pula menambah komen seperti “BERSIH = BULLSHITT” (Lily Ilyana), “Inilah contoh golongan tak bersyukur” (Rizz Zahari), “bodoh, bengap, bahlol” (Norliza Abd Rahman), They will do anything for money. Cowards (Bebe Abu Bakar), “Itu org tarak otak; lebih [baik] mati dari[pada] hidup” (Muhawin Ahmad) dan “Bingai sgt depa ni kak” (Ieqa Atiqah).

Komen-komen lain termasuk “Seorang dapat RM300... tak percaya tanya Hassan Kunyawa” (Edroosse Mumutti) lalu disambut oleh Mumtaz, “Orang mcm ni kena ‘pos’ balik pi negara atuk nenek mrk ... senang citer”.

Edroosse menambah, “Ramai mamak yang seangkatan dgn Hassan Kunyawa n Zali Yusof sepatutnya dihantar balik ke India. ... biar dia orang kebulur kat situ”. Bagi Cr Lukman Moidin pula, “Apa yang kita lihat dalam BERSHIT tu adalah gambar syaitan-syaitan yang ada dalam manusia”.

Dalam pada itu, walaupun isu novel Interlok Edisi Murid sudah “selesai” pada akhir Disember 2011, bagi puak tertentu yang mengamalkan politik perkauman dan bersikap anti-Kavyan, mereka ternyata masih amat aktif menyebarkan fitnah dan pembohongan kepada orang ramai berhubung apa yang sebenarnya berlaku.

Salah satu contoh individu yang ternyata sudah terpengaruh dengan dakyah seperti itu adalah Asrul Muzaffar Mohammed. Hal ini nyata apabila pada 28 April 2012, dia merujuk pada saya sebagai “One non-Malay author and publisher (who championed the bashing on INTERLOK previously)” di Facebook.

Terdahulu, Asrul mencatatkan komen mengenai Bersih 3.0 dengan memasukkan kata-kata negatif dan perkauman (“uttering negative and racist remarks about Bersih seperti diakuinya sendiri). Maka saya mengeluarkannya daripada senarai rakan kerana tidak mahu “aura negatif” seperti itu mengelilingi saya.

Sebenarnya, sejak Januari 2012, saya mendapat pelbagai maklumat daripada orang ramai di seluruh negara. Nampaknya ada puak tertentu – termasuk kelompok penulis tertentu – yang sibuk mengadakan kempen untuk memutar-belit fakta. Kononnya saya dan Kumpulan Sasterawan Kavyan (Kavyan) mahukan novel Interlok (asal) diharamkan.

Kononnya, saya terkinja-kinja menyucuh karak Interlok seperti kata seorang individu bernama Zana Zanzaly (mungkin nama samaran) pada 2 April 2012. Saya dan Kavyan kononnya menghina Sasterawan Negara Datuk Abdullah Hussian yang menerima Anugerah Sastera Negara daripada Yang di-Pertuan Agong. Kononnya saya cuba “menggugat keamanan rakyat” dan bersikap anti-Melayu.

Lalu, puak anti-Kavyan berusaha mengaitkan isu Interlok Edisi Murid dengan Bersih 3.0 secara sewenang-wenangnya. Pada masa sama, ada sesuatu yang lupa diceritakan oleh puak anti-Kavyan kepada umum. Atau lebih tepat lagi: sengaja tidak mahu didedahkan oleh puak yang tidak bermaruah itu kepada orang ramai. – Bersambung minggu depan [BACA DI SINI]

(© Uthaya Sankar SB. Catatan ini ditulis pada 8 Mei 2012 dan disiarkan di The Malaysian Insider pada 21 Mei 2012.)