5 Dec 2010

Bahasa Melaysia?

Saya suka apabila rakan-rakan di Facebook tampil membahaskan atau mengemukakan pandangan berhubung pelbagai perkara yang saya paparkan di halaman saya.
..
Terbaru, apabila saya paparkan petikan pandangan bertajuk “Bahasa Malaysia Bahasa Rojak” dan “Pelajarilah Bahasa”.
.
Seorang individu yang ternyata membenci istilah “Bahasa Malaysia” serta tidak mahu mengakui kewujudan istilah itu. Begini hujah beliau:
.
“Katakan Bahasa Inggeris dijadikan bahasa kebangsaan, adakah Bahasa Inggeris akan ditukar menjadi Bahasa Malaysia?” Apa kata pula kalau Bahasa Melayu menjadi bahasa kebangsaan di Singapura, adakah akan disebut sebagai Bahasa Singapura?”
.
Saya terpaksa mengingatkan beliau bahawa Bahasa Melayu memang bahasa kebangsaan di Singapura dan tidak perlu “apa kata pula”.
.
Beliau juga bersetuju dengan pandangan bahawa Bahasa Malaysia adalah bahasa rojak kerana mewakili seluruh bahasa-bahasa yang dituturkan di Malaysia, seperti mandarin, Tamil, kantonis, Inggeris, Jawa dan Iban. Turut dipersoalkan mengapa tiada istilah “Bahasa China” dan “Bahasa India”.
.
Saya tidak terkejut kerana memang ramai yang suka berhujah mengenai istilah “Bahasa India” dan “Bahasa Singapura” iaitu istilah yang tidak wujud, sehingga lupa bahawa istilah “Bahasa Malaysia” wujud sejak 1970. [Klik DI SINI untuk sejarah.]
.
Bagi saya, apabila orang mempersoalkan mengapa Bahasa Melayu di Singapura tidak disebut Bahasa Singapura, mengapa Bahasa Inggeris di Amerika tidak disebut Bahasa Amerika, mereka sebenarnya bertanya “mengapa ular tidak ada kaki” sekadar untuk menyembunyikan hakikat bahawa istilah “Bahasa Malaysia” sedia wujud. Cuma, mereka tidak mahu menerima hakikat itu; sebagaimana mereka tidak mahu menerima hakikat “kucing ada kaki”.
.
Individu berkenaan juga mengemukakan dalil berikut: “Banyak orang melakukan kesalahan tatabahasa yang banyak kerana mereka sebenarnya menggunakan bahasa Malaysia bukan bahasa Melayu yang betul”.
..
Lebih pelik apabila individu yang sama secara sinis bertanya mengapa “Kementerian Pelajaran masih menggunakan perkataan Bahasa Melayu dalam kulit hadapan kertas peperiksaan 2010”.
.
Hujah ini lebih memeranjatkan! Ternyata individu berkenaan penyokong tegar istilah “Bahasa Melayu” dan menolak sepenuhnya istilah “Bahasa Malaysia”. Lebih mudarat kerana pada beliau, apabila istilah “Bahasa Malaysia” diterima pakai, istilah “Bahasa Melayu” perlu dimansuhkan! Fahaman beliau memang suatu ancaman kepada negara!
.
Dalam keadaan terkejut dengan “ajaran sesat” yang mempengaruhi individu berkenaan, saya cuba melayari blog beliau. Kejutan menanti! Individu berkenaan menulis buku berjudul Contoh Karangan Bahasa Malaysia UPSR. Individu yang menolak sepenuhnya istilah “Bahasa Malaysia” menulis buku dengan judul sedemikian?
.
Lebih menghairankan apabila pada kulit buku itu tercatat “Berdasarkan Format Penulisan Bahasa Melaysia UPSR Terkini”. Mungkinkah beliau mahu menukar istilah “Bahasa Malaysia” dan “Bahasa Melayu” menjadi “Bahasa Melaysia”? Ajaran sesat apakah semua ini? Saya tertanya-tanya.