10 Oct 2010

Santai Sastera dan Filem

Pelakon Bollywood, Freida Pinto yang mencipta nama pada peringkat antarabangsa menerusi watak Latika dalam filem Slumdog Millionaire (2008), kini akan muncul memegang watak utama dalam filem Miral bersama Hiam Abbass.
.

Filem sepanjang 112 minit itu yang berkisar mengenai kehidupan pelarian Palestin dan mangsa perang di Tebing Barat akibat keganasan rejim Israel dibuat berdasarkan novel tulisan Rula Jebreal.

.

Julian Schnabel mengarah filem ini untuk menunjukkan kepada masyarakat dunia mengenai penderitaan dan kehidupan sebenar penduduk Palestin yang menjadi pelarian di tanah air sendiri.

.

Miral ditayangkan di Festival Filem Venice pada 3 September 2010 dan Festival Filem Perancis pada 15 September 2010, manakala tayangan terhad di Amerika Syarikat dijadualkan pada 3 Disember 2010.

.

Pinto memegang watak Miral, remaja berumur 17 tahun yang ditugaskan mengajar kanak-kanak di kem pelarian.

.

Pertemuan Miral dengan aktivis politik, Hani, membuatkan gadis itu mengalami dilema antara berperang menuntut hak dan mencari keamanan melalui pendidikan.

.

Sementara itu, Dora kini nampaknya mempunyai misi baru serta cabaran besar yang perlu diselesaikan.

.

Remaja yang menyumbangkan suara kepada watak kanak-kanak Latino dalam siri Dora the Explorer, Caitlin Sanchez, mengemukakan saman terhadap penerbit rancangan itu, Nickelodeon.

.

Peguamnya, John Balestriere memberitahu New York Daily News bahawa sejak 2007, Sanchez tidak dibayar bagi ratusan jam yang digunakan untuk merakam suara bagi watak Dora.

.

“Nickelodeon dan Jason Bercy yang bertindak sebagai agen kepada Sanchez juga memberi tekanan kepada remaja itu dan ibu bapanya menandatangani kontrak tanpa diberi peluang berunding dengan peguam. Apabila ibu bapa Sanchez mengadu mengenai bayaran yang terlalu rendah, Bercy berkata, Nickelodeon akan membatalkan kontrak jika perkara itu diungkitkan,” kata Balestriere.

.

Jurucakap Nickelodeon, David Bittler pula menolak segala dakwaan itu dan berkata, khidmat Sanchez tidak diperlukan lagi kerana suara remaja berumur 14 tahun itu tidak lagi sesuai bagi watak Dora.

.

Suara asal bagi watak Dora pada tahun 2000 diberikan oleh Kathleen Herles yang kini berumur 19 tahun.

.

Rancangan Dora the Explorer kini dialih bahasa ke lebih 30 bahasa dan ditonton lebih 100 juta kanak-kanak di lebih 150 negara.

.

Lain pula halnya dengan pengasas laman rangkaian sosial Facebook, Mark Zuckerberg, yang sebelum ini pernah mengeluarkan kenyataan tidak akan menonton filem The Social Network (2010). Dia ternyata tidak dapat mengelak daripada tarikan filem itu.

.

Jurucakap Facebook mengesahkan Zuckerberg dan sekumpulan kakitangan syarikat itu telah menonton filem berkenaan di pawagam baru-baru ini.

.

“Selepas penat bekerja, kami memutuskan untuk ke pawagam. Kami rasa, filem mana lagi yang lebih sesuai ditonton berbanding filem mengenai kelahiran Facebook,” kata jurucakap itu kepada wakil media.

.

Filem The Social Network ditayangkan mulai 1 Oktober 2010 dan semasa muncul dalam rancangan The Oprah Winfrey Show pada 24 September 2010, Zuckerberg memberi komen bahawa filem itu menyeronokkan.

.

Zuckerberg lahir pada 14 Mei 1984 di White Plains, New York dan membesar di Dobbs Ferry, New York.

.

Dia menjadi terkenal apabila dia bersama-sama rakan sekuliahnya di Universiti Harvard – Dustin Moskovitz, Eduardo Saverin dan Chris Hughes – melancarkan Facebook pada 4 Februari 2004.

.

Filem The Social Network yang diarahkan oleh David Fincher dibuat berdasarkan buku The Accidental Billionaires: The Founding of Facebook, A Tale of Sex, Money, Genius and Betrayal (2009) tulisan Ben Mezrich, seperti yang dinyatakan DI SINI.

.

Di London pula, novel Freedom (2010) yang dianggap “novel terbaik abad ke-21” tetap tidak terlepas daripada kesilapan dalam cetakan.

.

Sejumlah 80,000 naskhah edisi Britain yang dicetak dan mula diedarkan minggu lalu dikesan mempunyai ratusan kesilapan ejaan serta fakta yang berbeza dengan edisi Amerika Syarikat (AS).

.

Masalah ini berlaku kerana penerbit HarperCollins tersilap menggunakan draf awal yang belum dibetulkan sepenuhnya untuk mencetak buku berkenaan.

.

Jonathan Franzen, 51, mengakui bahawa terdapat terlalu banyak perbezaan antara draf awal dengan manuskrip akhir dari segi fakta dan watak-watak utama.

.

Edisi AS yang diterbitkan Farrar, Straus and Giroux pada 31 Ogos 2010 tidak mempunyai kesilapan cetakan ini.

.

Franzen mendapat perhatian dunia pada 2001 menerusi novel The Corrections yang terjual lebih tiga juta naskhah.

.

Pengarang kelahiran Illinois ini tidak membenarkan The Corrections dibicarakan dalam Kelab Buku Oprah Winfrey tetapi kini membenarkan Freedom dimasukkan dalam senarai.

.

Dalam perkembangan lain, pengarang prolifik Peru, Mario Vargas Llosa, diumumkan sebagai penerima Hadiah Nobel Kesusasteraan 2010 pada 7 Oktober di Stockholm, Sweden.

.

Vargas Llosa, 74, sudah menghasilkan lebih 30 novel, drama dan esei dalam Bahasa Sepanyol, termasuk Conversación en la catedral (1969) yang diterjemahkan kepada Conversation in the Cathedral (1975), La casa verde (1966) diterjemahkan sebagai The Green House (1968) dan La ciudad y los perros (1963) yang diterjemahkan sebagai The Time of the Hero (1966).

.

Pengarang ini lahir di Arequipa, Peru pada 28 Mac 1936 serta membesar bersama ibu dan datuknya di Cochabama, Bolivia sebelum pulang ke Peru pada 1946.

.

Vargas Llosa juga pernah menjadi guru dan wartawan selepas berpindah ke Perancis pada 1959 sebelum mencipta nama sebagai salah seorang pengarang terkemuka Amerika Latin.

.

Pengarang lain yang pernah menerima Hadiah Novel Kesusasteraan termasuk Gao Xingjian (2000), V S Naipul (2001), Orhan Pamuk (2006) dan Doris Lessing (2007), seperti disenaraikan DI SINI.

...

Skrip ini ditulis berdasarkan maklumat dari pelbagai sumber dan disiarkan di halaman “Santai Global” akhbar Sinar Harian pada 9 Oktober 2010.