11 Apr 2010

Wanita

Saya amat menyampah dengan wanita yang tidak mampu berdikari; termasuk dalam soal menggunakan nama sendiri – seperti yang terungkap dalam cerpen “Wanita” (Siru Kambam). .
.
Rata-rata watak wanita, yang kononnya “heroin” dalam kebanyakan filem Tamil, hanya menjadi tempelan dan bahan eksploitasi. Mujurlah pernah ada pelakon seperti Revathi, Saritha, Radhika, Shalini, Shobana dan Suhashini yang ada harga diri.
.
Filem animasi Inggeris pula sering membuai penonton dengan menampilkan watak wanita (remaja, dewasa) yang mengimpikan kehadiran seorang putera yang kaya dan kacak untuk mengahwininya.
.
Baru-baru ini, saya berpeluang menonton tiga filem animasi Inggeris yang benar-benar membuatkan saya menarik nafas lega.
.
The Princess and the Frog (2009) yang diadaptasi daripada novel The Frog Princess (2002) menampilkan watak Tiana, gadis berusia 19 tahun yang bercita-cita tinggi dan mampu berdikari. Dia tidak sekadar menjadikan Putera Naveen, 20 tahun, dari Maldonia (India?) sebagai suami, sebaliknya juga sebagai rakan kongsi perniagaan restoran yang menjadi impiannya sejak kanak-kanak.
.
Barbie and the Three Musketeers (2009) yang diadaptasi daripada novel The Three Musketeers (1844) menampilkan watak Corinne, 17 tahun, bercita-cita menjadi “musketeer” untuk mempertahankan keluarga diraja Perancis. Corinne bersama-sama Viveca, Aramina dan Renee dilatih oleh Helene, seorang wanita tua, sehingga mampu mempertahankan Putera Louis, 18 tahun. Di akhir cerita, keempat-empat “musketeer” itu meneruskan tugas tanpa memikirkan untuk bersenang-lenang di istana.
.
Alice in Wonderland (2010) membuatkan saya sedikit bimbang kerana watak Alice dalam filem baru ini berumur 19 tahun, sedangkan Alice dalam cerita asal (1865) berumur 6 tahun.
.
Namun, selepas menonton filem itu bersama Devishi Prabha Sankari dan Prabhawathy pada 12 Mac 2010, saya berasa amat gembira kerana Alice muncul sebagai wanita yang bertulang belakang dan berwawasan.
.
Mujurlah emansipasi wanita belum mati! [Baca - topik berkaitan]