16 Apr 2010

Lagu “Rasa Sayang” Galak Kanak-kanak Kenali Pantun

Lagu-lagu tradisional seperti “Rasa Sayang” sebenarnya boleh dijadikan medium untuk memperkenalkan pantun serta puisi tradisional kepada generasi muda, khususnya kanak-kanak.
.

Menyedari hakikat ini, Kavyan yang menganjurkan acara bulanan Apresiasi Sastera Kanak-kanak tidak lupa menyelitkan slot menyanyi lagu “Rasa Sayang”.

.

Peserta acara berkenaan rata-rata merupakan murid-murid sekolah jenis kebangsaan Tamil di Selangor. Namun, acara dikendalikan sepenuhnya dalam Bahasa Malaysia oleh beberapa penulis kaum India yang mewakili Kavyan.

.

AJK Kavyan, V. Siva Rubini berkata, murid-murid biasanya terasa amat seronok apabila berpeluang sama-sama menyanyikan lagu “Rasa Sayang” semasa acara Apresiasi Sastera Kanak-kanak berlangsung.

.

Rangkap-rangkap pantun yang tersiar dalam majalah Dewan Pelajar biasanya dipilih untuk dinyanyikan oleh para peserta dengan lenggok yang sesuai. Hasilnya, mereka berpeluang menikmati keunikan dan keindahan puisi tradisional berkenaan.

.

Bermula dari situ, peserta acara akan diperkenalkan dengan ciri-ciri pantun serta cara yang betul untuk melagukan pantun berkenaan bersama-sama lagu “Rasa Sayang”. Peserta juga digalakkan mencipta pantun sendiri untuk dilagukan.

.

Akhirnya, selain berhibur dan menyanyi, kanak-kanak berkenaan turut berpeluang memahami secara mendalam ciri-ciri pantun, mempelajari cara menghasilkan pantun yang berkesan serta menyanyikan pantun itu dengan gaya tradisional.

.

Slot nyanyian lagu “Rasa Sayang” yang diselitkan dalam acara Apresiasi Sastera Kanak-kanak anjuran bersama Kavyan, Kumpulan Karangkraf Sdn Bhd serta Jabatan Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Negeri Selangor merupakan langkah kecil tetapi amat bermakna dalam usaha menghidupkan semula puisi-puisi tradisional di tengah arus pemodenan.

.

Catatan: Laporan ini disiarkan dalam akhbar Bacaria, 20 November 2004 dan masih sesuai dengan aktiviti Program Galakan Membaca anjuran Kavyan.