26 Feb 2010

Tuhan dan saya

Sejak kecil, saya menyedari kewujudan Tuhan – walau apa pun nama yang diberikan kepada-Nya. Dalam senyap, saya mengakui Tuhan Maha Kuasa dan Tuhan Maha Esa. Tanpa perlu bising-bising dan tanpa perlu menunjuk-nunjuk.
.

Tuhan Maha Pengasih dan Tuhan Maha Mengetahui. Tuhan memutuskan untuk melahirkan saya sebagai manusia beragama Hindu. Diciptakan-Nya saya daripada lima unsur alam – api, tanah, air, angin dan angkasa – dan ditiupkan-Nya atma (roh) ke dalam ciptaan-Nya.

.

Maka, mati saya nanti sebagai manusia beragama Hindu; tubuh dikembalikan kepada lima unsur alam – api, tanah, air, angin dan angkasa – dan atma kembali kepada Pencipta. Hanya Tuhan yang boleh mengubah ketetapan ini; jika demikianlah dikehendaki-Nya.

.

Saya bukan seorang penganut agama yang ceremonial. Saya tidak terikut-ikut melakukan apa-apa upacara atau perlakuan yang sifatnya ceremonial dan tidak dituntut Tuhan.

.

Pada ruangan “Religious Views” di Facebook, saya catatkan begini: Hindu inter-faith.

.

Saya yakin, Tuhan yang memutuskan untuk menghantar saya ke muka Bumi sebagai manusia beragama Hindu sesungguhnya melahirkan manusia dalam kepelbagaian dan perbezaan untuk membolehkan manusia yang pelbagai dan berbeza-beza ini saling mengenali, memahami, menghormati, menerima dan mengasihi.

.

Maka, selain daripada ajaran sebenar dan sejarah agama Hindu, minda dan hati saya turut terbuka menerima ajaran sebenar dan sejarah pelbagai agama, anutan dan kepercayaan yang semuanya menjurus kepada kebaikan. Saya yakin, demikianlah dikehendaki Tuhan.

.

Terus terang, saya tidak pernah mencari Tuhan kerana Dia sudah sentiasa berada dalam atma saya, di sekeliling saya; di mana-mana. Tidak perlu ada perantara (medium atau pun orang tengah) untuk saya berhubung dengan-Nya.

.

Saya tidak mahu mewujudkan pengantara (apa-apa yang memisahkan) dengan melakukan apa-apa upacara atau perlakuan yang sifatnya ceremonial dan tidak dituntut Tuhan.

.

Jika mahu mempersoalkan pegangan saya dalam hal-hal ini, tidaklah wajar bertanya kepada saya. Ilmu saya tidak cukup tinggi untuk mampu menjelaskannya.

.

Bertanyalah terus kepada Tuhan. Tidak perlu ada perantara.