10 Sept 2024

Usaha Memupuk Minat Membaca Tidak Boleh Berhenti

“Belum terlambat untuk memupuk budaya membaca. Karya-karya besar mesti ditelaah oleh golongan muda hari ini bagi melawan kebebalan dan mencambah daya fikir yang kritis.”

Demikian antara catatan terawal Anwar Ibrahim selepas menjadi perdana menteri. Ciapan itu menerusi Twitter (kini X) pada 11 Disember 2022 diiringi kartun terbaharu Datuk Lat menunjukkan pekerja di pejabat perdana menteri tekun membaca buku.

Bak kata pepatah, melentur buluh biarlah dari rebung. Begitulah juga usaha memupuk minat dan budaya membaca perlu dimulakan sejak kecil.

Hakikat ini memang disedari pihak sekolah, ibu bapa, perpustakaan, penerbit, dan penulis. Malangnya, sehingga kini, kita masih berdepan masalah ketandusan bahan bacaan dalam Bahasa Malaysia yang sesuai bagi kanak-kanak pelbagai kaum di Malaysia.

Sebagai individu yang terlibat dalam bidang penulisan sejak 1992 serta mengendalikan program galakan membaca di sekolah rendah seluruh negara bersama Pertubuhan Sasterawan Kaum India (Kavyan) sejak 2004 [baca di sini], saya menyaksikan sendiri situasi ini.

Buku cerita berbentuk fonetik dan fonologi memang banyak diterbitkan di Malaysia dalam pelbagai bahasa. Namun begitu, kita perlu faham bahawa tujuan buku-buku itu adalah membantu kanak-kanak belajar mengeja dan membaca.

Suku kata setiap perkataan biasanya dicetak warna berbeza untuk membimbing kanak-kanak berumur bawah enam tahun belajar membaca berdasarkan sebutan dan bunyi suku kata.

Bahan bacaan yang kita perlukan ialah buku-buku yang boleh terus mencambah minat membaca dalam jiwa kanak-kanak selepas “lulus” peringkat belajar membaca dengan bantuan buku suku kata, fonetik dan fonologi.

Memanglah ada lambakan bahan bacaan bagi kanak-kanak dalam bahasa Inggeris tetapi kita masih dahagakan buku cerita kanak-kanak dalam bahasa kebangsaan.

Walaupun ada buku tempatan, ibu bapa mengeluh kerana kandungannya terlalu berbentuk keagamaan dan bersifat etnosentrik sehingga gagal menarik minat kanak-kanak pelbagai kaum di Malaysia.

Berdasarkan pengalaman dan pemerhatian saya, cerita rakyat yang mengangkat watak binatang paling mudah mencuri tumpuan pembaca muda.

Kumpulan cerita rakyat India yang saya ceritakan semula berjudul Nari! Nari! (1995) dan Munis Dengan Harimau (1996). Sambutan bagi kedua-duanya amat menggalakkan.

Apa yang menarik, beberapa pembaca kanak-kanak menghubungi saya selepas mereka berusia belia.


“Buku Nari! Nari! menjadi buku cerita kegemaran saya semasa belajar di SK Convent Aulong, Taiping,” kata Dhayapari Shunmugam Pillai menerusi mesej Facebook pada 3 Jun 2011.

Maklum balas seperti ini tentulah menggembirakan kerana cerita yang saya tulis berjaya meninggalkan kesan mendalam pada jiwa kanak-kanak.

Malah, buku Nari! Nari! diulang cetak pada 2000 kerana mendapat sambutan. Seterusnya, pada 2015, buku itu diterbitkan semula dalam edisi baharu. Pada kali ini, saya meminta sumbangan rakan-rakan untuk membantu menampung sebahagian kos.

[Projek Buku Cerita Rakyat 2025]

Hasilnya, bahan bacaan itu dihadiahkan kepada sekumpulan kanak-kanak seluruh negara daripada keluarga berpendapatan rendah. Buku Nari! Nari! juga dijadikan teks program galakan membaca anjuran Kavyan.

Kumpulan cerita rakyat itu diulang cetak lagi pada 2023 menerusi sumbangan rakan-rakan khusus untuk dihadiahkan kepada perpustakaan beberapa Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT), Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC), dan Sekolah Kebangsaan (SK) seluruh negara.

“Dalam cerita rakyat Orang Asli, binatang dan manusia juga boleh berinteraksi antara satu sama lain. Buku Nari! Nari! sesuai dibaca oleh sesiapa sahaja kerana mempunyai nilai dan mesej tersendiri.”

Demikian kata Nusi Nati, rakan Orang Asli yang membantu menyalurkan buku cerita itu kepada sekumpulan kanak-kanak Orang Asli di Melaka, Negeri Sembilan, Pahang, dan Johor pada 2015.

Pada bulan September 2024, buku Nari! Nari! diulang cetak supaya dapat dihadiahkan kepada lebih ramai kanak-kanak daripada keluarga miskin (B40). Saya turut menghubungi Nusi Nati untuk membantu mengenal pasti kanak-kanak yang layak.

Dari Mei hingga Julai 2024, saya bersama-sama Persatuan Kebajikan Idayakkani mengendalikan program “Temasya Bahasa” melibatkan murid, guru, dan ibu bapa dari 17 buah SJKT di Daerah Larut, Matang dan Selama, Perak.

Pengalaman itu turut membuktikan betapa kanak-kanak masih dahagakan bahan bacaan bermutu yang mampu menarik minat terhadap Bahasa Malaysia. Masalah yang saya perhatikan pada 1990-an nampaknya belum selesai.

Maka, saya meminta bantuan beberapa guru SJKT, SJKC, dan SK mengenal pasti murid yang benar-benar ada minat membaca dan layak diberi hadiah buku cerita.

Selain cerita rakyat, saya juga menulis cerpen kanak-kanak. Sejumlah sepuluh cerita pendek yang ditulis sejak 2003 dikumpul dan diterbitkan dengan judul Ikan Patin dan Beruang Besar (2017).

Sekali lagi, berkat bantuan rakan-rakan dermawan, buku cerpen itu dihadiahkan kepada sejumlah kanak-kanak pelbagai kaum berumur sembilan hingga empat belas tahun.

Cerpen dalam buku itu menampilkan watak pelbagai kaum, agama, dan latar belakang. Aspek kepelbagaian budaya, adat, amalan, dan bahasa juga disajikan secara penuh kreatif.

Sebagai seorang penulis, saya amat gembira kerana masih ada kanak-kanak dan remaja (kini sudah berusia belia) menceritakan bagaimana buku itu berjaya memupuk minat membaca karya bahasa kebangsaan.

Kumpulan cerpen itu juga sudah kehabisan stok. Maka, saya baru sahaja ulang cetak untuk memenuhi permintaan. Sumbangan rakan-rakan juga diperlukan supaya buku Ikan Patin dan Beruang Besar dapat dihadiahkan kepada perpustakaan sekolah rendah dan menengah terpilih.

Kavyan dan Idayakkani sudah mendapat kelulusan Jabatan Pendidikan Negeri Perak untuk mengendalikan program “Temasya Bahasa” di SJKT seluruh negeri.

Maka, kedua-dua buku ini akan dijadikan teks dalam usaha memupuk minat dan budaya membaca buku cerita bahasa kebangsaan dalam kalangan kanak-kanak. [Semak Stok Buku - Di Sini]

(Rencana ini ditulis pada 5 September 2024 dan disiarkan dalam ruangan “Bicara Budaya” di akhbar Utusan Malaysia pada 7 September 2024. © Uthaya Sankar SB. Harap maklum bahawa anda membaca segala kandungan mana-mana blog kendalian Uthaya atas pilihan sendiri.)