28 Jul 2024

Bengkel Penulisan “One-Off” di Puchong

Pengenalan

Sesi Penulisan Intensif (SPI) pernah dianjurkan dengan penuh jaya pada 15-16 Disember 2018, 23-24 Mac 2019, 2 Jun 2019, 10-11 Ogos 2019, dan 9-10 November 2019 [rujuk di sini]. Bengkel Penulisan Intensif (BPI) pula berjaya dikendalikan di Taiping, Perak pada 15-17 Disember 2023 [rujuk di sini], di Bandar Pinggiran Subang, Selangor pada 2-3 Mac 2024 [rujuk di sini], dan di Putrajaya pada 8-9 Jun 2024 [rujuk di sini]. Karya yang terhasil dimuatkan dalam antologi seperti Lakaran Diri (2022) dan Seruling Malam (2024).

 

Bengkel Penulisan “One-Off” di Puchong

Bengkel penulisan kali ini dirancang sebagai kesinambungan kepada pelbagai usaha yang dinyatakan di atas. Ini merupakan bengkel terakhir untuk tahun 2024. Sebuah rumah inap (homestay) di Puchong, Selangor akan ditempah dan dibayar oleh Uthaya. Pengisian bengkel meneruskan model dan modul yang digunakan pada SPI dan BPI kerana terbukti benar-benar berjaya dalam memastikan peserta menghasilkan karya bermutu. Tumpuan kali ini kepada penulisan cerpen (cerita pendek) atau cereka (cerita rekaan).

 

Tarikh

Bermula – 28 September 2024 (Sabtu)

Tamat – 29 September 2024 (Ahad)

(Ini bengkel terakhir untuk tahun 2024)

Rujuk atur cara untuk perincian sesi bengkel

 

Peserta

Bengkel Penulisan “One-Off” di Puchong dirangka bagi peserta dewasa dan peserta remaja (minimum 17 tahun) yang meminati bidang penulisan cerpen (cerita pendek) atau cereka (cerita rekaan). Jumlah peserta dihadkan kepada lima (5) orang sahaja supaya pembimbing (1 orang) boleh memberi tumpuan peribadi kepada setiap peserta. Keutamaan diberi kepada peserta pelbagai kaum yang mahu mendapatkan bimbingan secara intensif dan lebih mendalam dalam penulisan karya Bahasa Malaysia. Individu yang sudah bergelar “pembimbing bengkel penulisan” tidak diterima sebagai peserta.

 

Bahasa

Bengkel dikendalikan dalam Bahasa Malaysia. Karya yang dihasilkan juga dalam Bahasa Malaysia. Peserta perlu mampu berkomunikasi menggunakan Bahasa Malaysia. Individu yang tidak tahu, tidak mahu, atau berpura-pura tidak tahu berkomunikasi menggunakan Bahasa Malaysia diingatkan supaya tidak menyertai mana-mana program anjuran Kavyan. Individu yang tidak tahu menggunakan tanda baca, imbuhan, ejaan, dan kata sendi dengan betul dinasihati tidak mendaftar sebagai peserta kerana ini bukan bengkel tatabahasa.


Baca juga — [Saspens dalam Cerpen] — [Twist dalam Cerpen] — [Plot Twist dalam Cerpen] — [Menulis Intro Cerpen] — [Menulis Ayat Pertama] — [Petua Menulis Cerpen] — [Menulis Cerpen Berbobot]

 

Rangka Atur Cara

Perincian dan jadual lengkap akan diberi kepada peserta berdaftar sahaja. Peserta perlu mematuhi “Waktu Kavyan”. Tentatif seperti berikut:

 

Sabtu (28 September 2024)

3:00 petang – Peserta Bengkel Penulisan Intensif mendaftar masuk ke rumah inap (homestay).

3:30 petang – Sesi sumbang saran (brainstorming) [berkumpulan]

[Peserta diingatkan supaya tidak menyiapkan draf/manuskrip. Sebaliknya, bawa catatan idea sahaja untuk dibincangkan sebelum mula menulis karya.]

4:30 petang – Menulis bahagian awal karya [individu]

6:00 petang – Bedah karya (cerpen/cereka) [berkumpulan]

7:30 malam – Makan malam (di luar) [ikut selera masing-masing]

8:30 malam – Membaiki karya (cerpen/cereka) [individu]

9:30 malam – Membaiki karya (cerpen/cereka) [berpasangan]

10:30 malam – Membaca teks karya dan komen pembimbing

 

Ahad (29 September 2024)

7:30 pagi – Sarapan (di luar) [ikut selera masing-masing]

8:30 pagi – Membaiki karya (cerpen/cereka) [individu]

9:30 pagi – Bimbingan seorang ke seorang (one-to-one) [bersama pembimbing]

10:30 pagi – Membaiki karya (cerpen/cereka) [individu]

11:30 pagi – Kirim karya lengkap kepada pembimbing

12:00 tengah hari – Mendaftar keluar dari rumah inap

 

[Komen Peserta Sesi Jun 2024 - Video di Sini]

 

Bayaran Deposit dan Kos Makan-minum

Setiap peserta dikenakan bayaran deposit  RM50 (Ringgit Malaysia Lima Puluh Sahaja) bagi mengesahkan penyertaan. Deposit RM40 dipulangkan kepada peserta apabila menghadiri bengkel. Bagaimanapun, bayaran tidak dipulangkan jika peserta menarik diri atau gagal hadir atas apa-apa pun sebab dan alasan. Kos makan-minum ditanggung oleh masing-masing peserta. Kos perjalanan dan segala kos lain juga ditanggung sendiri. Bayaran sewa rumah inap ditanggung oleh Uthaya kerana ini bengkel terakhir kendaliannya untuk tahun 2024.

 

Barangan Keperluan Peserta Bengkel

Peserta wajib membawa segala barangan keperluan untuk menulis: Komputer riba, buku tulis, alat tulis, buku/bahan rujukan, kamus, dan seumpamanya. Peserta juga perlu membawa segala barangan keperluan peribadi: Pakaian, tuala, berus gigi, ubat-ubatan, makanan ringan, botol air, pengecas telefon, extension wire, dan sebagainya. Segala barangan ini tidak disediakan.

 

Penginapan Peserta Bengkel

Peserta perlu menginap di rumah inap (homestay) kerana sesi berlangsung hingga lewat malam. Penginapan adalah dalam konsep perkongsian; maknanya tidak boleh mengharapkan satu bilik untuk seorang peserta. Jika peserta memilih untuk tidak menginap, masih perlu membuat bayaran penuh, serta masih perlu akur pada jadual (atur cara). Tidak dibenarkan membawa teman, keluarga, binatang peliharaan, dan sebagainya (bukan peserta) ke tempat penginapan atas apa-apa alasan sekali pun. Bilik berasingan bagi peserta lelaki dan wanita. Bilik air berasingan bagi peserta lelaki dan wanita.

 

Makan-Minum Peserta

Segala kos makan-minum ditanggung sendiri. Dibenarkan keluar untuk sarapan dan makan malam. Peserta boleh membawa makanan ringan dan jajan jika mahu. Dinasihatkan membawa minuman/biskut unuk waktu minum petang. Minuman beralkohol tidak dibenarkan. Merokok (termasuk vape) tidak dibenarkan di rumah inap.

 

Penyelaras dan Pembimbing

Uthaya Sankar SB terlibat dalam bidang penulisan sejak tahun 1991. Beliau berpengalaman mengendalikan program galakan membaca dan bengkel penulisan di seluruh negara sejak tahun 1994. Projek terkini ialah “Temasya Bahasa” bagi murid Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT). Buku terbaharu Uthaya ialah The Painted Cat (2023), Dewi Pertiwi (2024), dan Cerpen (2024). [Baca biodata penuh]

 

Pendaftaran Peserta

Individu yang berminat menulis cerpen/cereka dan benar-benar komited menyertai Bengkel Penulisan “One-Off” di Puchong perlu mendaftar dengan mengirim maklumat diri (nama penuh, nombor telefon, dan alamat e-mel) ke WhatsApp 011-11411952 (Uthaya). Pendaftaran ditutup sebaik cukup lima (5) peserta. Peluang bagi lima individu terawal. Kemudian, peserta akan diminta membuat bayaran deposit RM50 bagi mengesahkan penyertaan. Individu yang mendaftar nama tetapi kemudian menghilangkan diri (senyap) tanpa membuat bayaran deposit akan masuk senarai hitam (blacklist).

 

Maklumat Lanjut dan Pertanyaan

Hubungi e-mel uthayasb@gmail.com atau WhatsApp 011-11411952 (Uthaya) hanya jika jawapan bagi sebarang pertanyaan tidak ada di atas.