Pengenalan
Acara “Baca @ Anak Baba” [Siri 1] diadakan buat julung kali pada 5 Ogos 2023 dan mendapat sambutan yang amat menggalakkan—Maklumat [di sini] dan foto [di sini].
Sambutan semakin bertambah bagai acara “Baca di Anak Baba” [Siri 2] pada 2 September 2023—Maklumat [di sini] dan foto [di sini].
Acara “Baca di Anak Baba” [Siri 3] pada 7 Oktober 2023 juga mendapat sambutan orang ramai—Maklumat [di sini] dan foto [di sini].
Acara “Baca di Anak Baba” [Siri 4] pula berlangsung pada 4 November 2023—Maklumat [di sini] dan foto [di sini].
Selain sesi membaca petikan karya oleh penulis/tokoh yang diraikan, peserta/hadirin juga terlibat dalam sesi soal jawab dan perkongsian berkaitan pelbagai topik menarik dan penting.
Acara Baca Di Anak Baba Siri Ke-5
Memandangkan acara ini mendapat maklum balas positif, maka siri
kelima diatur seperti ketetapan berikut:
Tarikh: 2 Disember 2023 (Sabtu)
Masa: 4.00 – 6.00 petang [Waktu Kavyan]
Tempat: Restoran Anak Baba,
Brickfields
Lokasi: Berdekatan YMCA, dan di
hadapan Menara Sentral Vista/Mamak Cafe
Waze: Anak Baba, Jalan Sultan Abdul
Samad, Brickfields
Penulis (Panel)
Penyertaan terbuka kepada maksimum tiga (3) penulis,
seniman, aktivis, budayawan, sasterawan, wartawan, artis, penyair, dan
seumpamanya yang berminat menjadi panel (panelist).
Setiap penulis diminta membacakan petikan karya sendiri dalam Bahasa Malaysia. Kriteria umum yang
ditetapkan seperti berikut:
a) Bangsa Malaysia, iaitu warganegara
Malaysia.
b) Penulis, aktivis, seniman, artis,
budayawan, karyawan, wartawan, dan sebagainya tanpa mengira bahasa karya.
c) Ada petikan karya sendiri untuk dibacakan. (Terjemahan karya sendiri ke dalam
Bahasa Malaysia amat dialu-alukan. Tidak dibenarkan membaca petikan karya orang
lain. Maklumat lanjut di “Bentuk Pembacaan Teks”.)
d) Mampu berkongsi pandangan
menggunakan Bahasa Malaysia. (Bahasa Inggeris dan bahasa-bahasa lain masih boleh
diselitkan mengikut keperluan.) Individu yang tidak tahu – atau tidak
mahu atau pura-pura tidak tahu –
bercakap dalam Bahasa Malaysia diingatkan supaya tidak menjadi panel.
e) Setiap panel/penulis wajib mendaftarkan
minimum
dua individu sebagai penonton (peserta) bagi acara ini. (Pastikan beri nama
penuh dan nombor telefon mereka.)
Nota: Sudah ada tiga panel untuk sesi 2 Disember 2023. Sudah ada juga tiga panel untuk sesi 6 Januari 2024. Individu yang berminat menjadi panel bagi sesi 3 Februari 2024 (Sabtu) sila hubungi penyelaras (Uthaya Sankar SB) menerusi e-mel uthayasb@gmail.com atau WhatsApp 011-11411952.
Maklumat Panel
Biodata penulis (panel) dipaparkan
di sini. Untuk itu, setiap panel diminta mengemukakan foto terkini dan biodata.
Rujuk contoh biodata [di sini] dan [di sini] dan [di sini] dan [di sini] dan [di sini].
Abdullah Hussaini berasal dari Jerantut, Pahang.
Beliau menulis karya sastera seperti sajak, cerpen, esei, novel, dan juga
menterjemah. Pelbagai karyanya terbit di media cetak dan dalam talian serta
antologi bersama. Pernah menang Hadiah Sastera Kumpulan Utusan (2019) kategori
cerpen media baharu, hadiah utama Hadiah Sastera Selangor (2019 dan 2021)
kategori esei, serta Anugerah Penghargaan Pelancongan dan Budaya Pahang (2022)
kategori rencana. Abdullah Hussaini sudah menghasilkan dua buah novel dan
sebuah kumpulan sajak, selain menterjemahkan lima buah buku. Novel terbarunya adalah
Pakma Kembang di Bilik (2023) terbitan Nusa Centre. Pautan [Facebook].
Daphne Lee ialah seorang editor, penulis, dan ahli sihir. Beliau adalah pengarang
koleksi cerpen Bright Landscapes (2019)
dan editor Malaysian Tales: Retold and
Remixed (2011) dan Remang: An
Anthology of Ghostly Tales (2017). Buku terbaharu Daphne berjudul Women in the Dark dijadualkan terbit
pada akhir 2023 atau awal 2024. Beliau memiliki dua kucing dan lebih daripada
tiga ribu buku. Daphne tidak percaya pada hantu tetapi takut dengannya. Pautan [Facebook].
Lee Hao Jie seorang
penterjemah dan peminat sastera Melayu dan Cina. Setelah berijazah dari kursus
Terjemahan dan Interpretasi (BATI) Universiti Sains Malaysia (USM) pada tahun
2018, beliau terus berkhidmat di Bahagian Penterjemahan dan Penerbitan, Pusat
Kebudayaan Han Malaysia. Buku pertama yang diterjemah ialah buku kanak-kanak Gaun Kecil Berwarna Biru (2018). Lee Hao Jie pernah terlibat dalam projek penterjemahan Kumpulan Cerpen Pilihan Mai Jia (2019), Politik Perkauman Dan Prospek Keharmonian Di Malaysia (2019), Di Mana Ranting Dipatah (2020) dan
sebagainya. Hasrat terkini adalah untuk memperkenalkan karya penulis Melayu
kepada pembaca Cina dan begitu juga sebaliknya. Pautan [Facebook].
Bentuk Pembacaan Teks
Penulis/panel akan membaca petikan karya sendiri sekitar lima
(5) minit sahaja dalam Bahasa Malaysia. Maksimum tujuh (7) minit; supaya hadirin tidak tertidur. Jika karya
bahasa-bahasa lain, maka perlu diberi sinopsis ringkas dalam Bahasa Malaysia;
atau diterjemahkan ke dalam Bahasa Malaysia. Selain membacakan petikan cerpen,
novel, dan rencana/esei, penulis juga boleh mendeklamasi sajak atau menyanyi lagu
puisi. Alat muzik hanya dibenarkan jika dijadikan iringan kepada pembacaan
karya; bukan persembahan muzik instrumental. Penulis wajar menggunakan
kreativiti bagi menarik perhatian dan minat penonton. Penulis yang menampilkan
sebarang unsur lucah, tidak sopan, rasis, dll (lisan, perbuatan, pakaian, dll) atau
menyentuh hal-hal sensitif berhubung 3R (Royal,
Race, Religion) akan diminta menghentikan persembahan serta-merta dan meninggalkan
tempat acara berlangsung.
Peserta (Penonton, Hadirin)
Setiap penulis (panel) wajib memastikan minimum dua individu
mendaftar sebagai peserta (penonton, hadirin). Selain daripada itu, sesiapa
sahaja yang berminat untuk hadir boleh mendaftar sebagai peserta (penonton) sebelum
30 November 2023 (9:00 malam). Untuk
mendaftar, sila kirim nama penuh dan
nombor telefon — bukan hanya nama ringkas
atau nama glamour kerana ini bukan
pasar malam atau kelab malam atau parti liar. Harap maklum bahawa peserta bukan
hanya datang untuk mendengar tetapi amat digalakkan terlibat secara aktif dalam
sesi soal jawab dan perkongsian idea bersama penulis (panel). Harap maklum
bahawa hanya peserta berdaftar dibenarkan terlibat dalam sesi soal jawab. Peserta yang
tidak mendaftar masih boleh hadir tetapi hanya menjadi penonton dan pendengar –
tidak boleh bertanya soalan.
4) Koh Yok Hwa
5) Alexander Tan
6) Bissme S
Cenderamata Buku
Cenderamata berupa buku disediakan untuk tiga kategori berikut:
1. Tiga (3) panel menerima buku Suvarna Bhumi (2022) dan Kavya Sastra (2021) sebagai tanda
penghargaan.
2. Peserta/hadirin/penonton
berdaftar (sudah memberi nama penuh dan nombor telefon kepada
Uthaya sebelum 30 November 2023) menerima sebuah buku Peluru
Aksara (2020) sebagai cenderamata jika bertemu Uthaya
di lokasi acara sebelum pukul 4:00 petang. Buku tidak diberi kepada peserta
yang tiba selepas acara bermula. Dan cenderamata ini hanya bagi peserta
berdaftar; bukan untuk peserta walk-in.
3. Enam (6) peserta (penonton, hadirin)
yang mengemukakan pertanyaan bernas dalam sesi soal jawab menerima hadiah buku Vetalam dan Vikramaditya (2020) sebagai
cenderamata.
Makan-minum
Juadah ringan (kuih-muih) dan/atau sedikit minuman
disediakan oleh tuan rumah (Victor Low) bagi meraikan para penulis,
peserta, dan hadirin. Orang ramai juga digalakkan merujuk menu dan membeli
makanan/minuman lain mengikut selera masing-masing. Sila buat bayaran di
kaunter semasa membuat pesanan makan-minum
tambahan. Penting:
Makanan luar tidak dibenarkan dibawa masuk ke premis ini.
Pendaftaran
Sesiapa yang mahu hadir sebagai peserta (penonton) perlu mendaftar nama penuh kepada penyelaras (Uthaya Sankar SB) menerusi WhatsApp 011-11411952 sebelum 30 November 2023 (9:00 malam). Individu yang berminat menjadi panel pada sesi 3 Februari 2024 sila hubungi penyelaras (Uthaya).