Walaupun masyarakat pelbagai kaum di Malaysia hidup bersama, masih wujud jurang yang amat luas dalam soal interaksi antara hasil sastera dan karya penulisan.
Saya berpeluang melihat
sendiri perkara ini, khususnya dalam kalangan penulis dan pembaca karya Bahasa Malaysia dan Tamil sejak tahun
1990-an.
Pelbagai maklumat berkaitan
perkembangan penulisan Bahasa Tamil sempat saya kongsi menerusi makalah “Dilema Sastera Tamil” (The Malaysian Insider, 7 April 2015).
Pada 10 Mei 2015, saya berpeluang
pula menghadiri majlis pelancaran dua novelet karya K. Balamurugan di Wisma Tun Sambanthan, Kuala Lumpur.
Dalam budaya penerbitan buku
Tamil di Malaysia, khalayak yang hadir hanya berpeluang membeli dan membaca
buku apabila majlis pelancaran selesai.
Realiti ini turut digambarkan
oleh V. Rajeswary menerusi cerpen
berjudul “Raja Kehilangan Tampuk” yang diterjemahkan oleh mendiang M. Balachandran dan termuat dalam antologi Seruling di Persimpangan (1999).
Maka, pada majlis pelancaran
novelet Ahpe Kadaiyil Nadantha
236-Aahwathu Mehsai Uraiyaadal dan Mohini
Malayin Ragasiyamum Paaladaintha Maaligaiyum, khalayak hanya mendengar
tentang buku yang belum dibenarkan dibeli sebelum majlis selesai.
Pengasas Yayasan Tamil, K. Arumugam dalam ucapannya menyebut
bagaimana sasterawan luar negara biasanya mengkritik golongan pemerintah,
politikus, dan kuasawan. Bagaimanapun, katanya, kelompok penulis Tamil di
Malaysia ketara mengangkat, memuji, dan memuja golongan kuasawan dan politikus
yang menindas mereka.
Menerusi cerpen “Datuk Datang Ke Kampung Kami” (Dewan Sastera, Februari 1997),
dihuraikan bagaimana masyarakat dan penulis Tamil bergantung hidup pada ihsan
politikus.
Ternyata gambaran itu (yang
saya tulis berikutan pemerhatian selama tiga tahun) masih mewakili realiti
dalam kalangan penulis dan pembaca karya Tamil pada masa kini.
Realiti masyarakat masa kini dalam karya
Suatu lagi amalan dalam
kalangan penulis Tamil di Malaysia adalah sikap terlalu “berkiblatkan” karya
dan penulis dari Tamil Nadu, India. Masalah ini yang saya timbulkan menerusi
rencana “What Tamil Writers?” (New Straits Times, 11 Februari 2004)
pernah menimbulkan kemarahan kelompok penulis Tamil.
Shammuga
Siva yang turut berucap pada majlis pelancaran novelet
Balamurugan menjentik pemikiran hadirin dengan menyatakan betapa kisah yang
ditulis oleh Akilan dalam novel Paalmara Kaatinilea sebenarnya merupakan
kisah-kisah yang boleh diceritakan secara lebih berjaya oleh warga emas dari
ladang getah seluruh Malaysia.
“Bezanya, Akilan melihat
sekilas lalu kehidupan penoreh getah kaum India di Malaya dan menulis sebuah
buku yang tidak menggambarkan realiti sebenar perjuangan pekerja ladang di
Malaya pada masa lalu,” kata doktor bertauliah itu yang banyak menulis
buku-buku berkaitan psikologi kanak-kanak dan remaja.
Perkara yang ditimbulkan oleh
Shanmuga Siva wajar diberikan perhatian kerana penulis dan pembaca karya Tamil
di Malaysia perlu mula menyedari kehebatan karya-karya tempatan berbanding
karya dari India.
Wartawan dan penulis, Yogi Sandru mengulas novelet
kanak-kanak yang berlatarbelakangkan misteri Gunung Jerai di Kedah.
Agak menarik kerana kisah
mengenai “sejarah yang cuba disembunyikan” yang hampir senada diceritakan
kepada saya oleh ramai penduduk, penulis, dan pengkaji sejarah tempatan sewaktu
saya melawat Lembah Bujang pada Januari 2014. [Contoh — “Siapa Kisah Lembah Bujang?”]
Ramai orang Tamil percaya
terdapat pelbagai bahan bukti mengenai Empayar Chola yang tersembunyi di dalam
gua di gunung berkenaan. Kononnya ada usaha bagi memastikan bahan-bahan itu
tidak diketahui umum.
Memang menarik apabila
Balamurugan berjaya mengadunkan sedikit kisah daripada kontroversi itu secara
penuh kreatif bagi menghasilkan sebuah novelet yang sesuai bagi bacaan
kanak-kanak.
Mengulas sebuah lagi novelet, N. Patchaibalan menyatakan kekaguman
atas kemampuan penulis bercerita mengenai realiti belia kaum India yang
terlibat dalam pelbagai masalah sosial dan jenayah sejak terpaksa berhijrah ke
bandar selepas ladang yang menjadi tempat tinggal turun-temurun dibersihkan
bagi pembangunan.
Isu-isu berkaitan kehidupan di
estet bukan sesuatu yang baharu dalam penulisan cerpen dan novel Tamil sejak
tahun 1930-an. Bezanya di sini, Balamurugan memperkatakan mengenai realiti
sosial pada masa kini tanpa sekadar bernostalgia tentang kehidupan masa lampau.
Pengarah MySkills Foundation, S. Pasupathi turut berkongsi cerita
mengenai realiti masalah keciciran pelajar, masalah sosial, dan gengsterisme
kaum India yang terungkap dalam karya Balamurugan.
Tanggungjawab penulis generasi muda
Sekiranya orang ramai mahu
memahami sejarah dan wajah sebenar kaum India di Malaysia sejak tahun 1900-an,
cerpen dan novel Tamil merupakan bahan rujukan terbaik.
Walaupun ada kelompok Sasterawan Kavyan yang menghasilkan
cerpen dan novel secara asli dalam Bahasa Malaysia, ruang lingkup dan isu yang
lebih mendalam mengenai kehidupan di estet dan ladang getah hanya dapat
dihayati menerusi cerpen dan novel Tamil.
Atas sebab itulah juga Kumpulan Sasterawan Kavyan (Kavyan) sentiasa
mengalu-alukan usaha menterjemah cerpen dan novel Tamil bermutu ke Bahasa
Malaysia agar boleh dibaca oleh khalayak pelbagai kaum.
Dalam pada itu, usaha
menggalakkan kelahiran lebih ramai penulis Tamil yang mampu menghasilkan karya
bermutu tidak boleh diabaikan. Tambahan pula terdapat lebih 500 Sekolah Jenis
Kebangsaan Tamil (SJKT) di Malaysia.
Perkara ini disentuh oleh
pegawai Pejabat Pelajaran Daerah Kajang, P.
M. Murthy yang pernah terlibat secara langsung dalam usaha menggalakkan
pembelajaran subjek Sastera Tamil pada peringkat UPSR dan PMR/PT3 di seluruh
negara.
Beliau menceritakan perihal
cabaran dalam mempertahankan dan memasyarakatkan sastera Tamil dalam kalangan
generasi muda. Menurutnya, hanya sekitar 3,000 calon Sijil pelajaran Malaysia
(SPM) mengambil subjek Sastera Tamil.
Isu yang ditimbulkan wajar
diberikan perhatian kerana selain daripada memastikan wujud penulis karya
sastera bermutu, perlu ada juga khalayak pembaca yang mampu menghayati karya
sastera bermutu itu.
Murthy menyebut, berbanding
sastera Bahasa Malaysia, tidak wujud genre sastera kanak-kanak dan sastera
remaja dalam sastera Tamil di Malaysia. Akibatnya, tidak ramai penulis Tamil
yang menghasilkan karya khusus bagi pembaca kanak-kanak dan remaja.
Dalam keadaan seperti ini,
kejayaan Balamurugan menghasilkan novelet kanak-kanak wajar dipuji. Buku yang
dilancarkan baru-baru adalah siri kedua daripada sepuluh novelet kanak-kanak
yang beliau rancang.
Menurut Balamurugan dalam
ucapannya, buku pertama berjudul Marma
Kugaiyum Oonai Manithargal mendapat sambutan di luar jangkaan daripada
kanak-kanak SJKT, guru, dan ibu bapa.
Maka, saya percaya lebih ramai
penulis Tamil akan mula menghasilkan buku kanak-kanak dan remaja.
Sesungguhnya tugas,
tanggungjawab, dan peranan mengangkat mutu dan martabat sastera Tamil di
Malaysia terletak pada pundak kelompok penulis generasi muda terpelajar seperti
Balamurugan dan rakan-rakannya.